Skip to main content

Hiburan

Sebulan Menikah, Malik Mccrone Ucap Hati Berbunga: “8 Bulan Pujuk Adik Down Sndyrome Saya”

Sebulan Menikah, Malik Mccrone Ucap Hati Berbunga: “8 Bulan Pujuk Adik Down Sndyrome Saya”

Sekilas

  • Pelakon Malik Mccrone selamat berkahwin dengan Tina dalam majlis sederhana di Batu Pahat, Johor pada 9 Oktober lalu tanpa hebahan awam.
  • Perkahwinan mereka mendapat restu adik perempuan Malik yang menghidap Down syndrome, dan Tina kini rapat serta menjadi kawan baik adiknya.
  • Malik mengambil masa lapan bulan untuk memastikan adiknya menerima Tina dengan ikhlas sebelum mereka melangsungkan pernikahan.
Advertisement

Ada kebahagiaan berganda yang sedang dirasai pelakon Malik Mccrone pada saat ini.

Bintang Good Boys Go to Heaven itu bukan sahaja selamat menikah dan bergelar suami sejak sebulan lalu, dia juga bersyukur kerana perkahwinan bersama isteri yang dipanggil Tina mendapat ‘lampu hijau’ daripada adik perempuannya seorang orang kelainan upaya (OKU) Down syndrome.

Advertisement

Berbicara lanjut mengenai pernikahan yang berlangsung tanpa hebahan pada 9 Oktober lalu, Malik, 32, berkata ia merupakan keputusan bersama yang diambil bersama isteri.

Menurut Malik, Tina, 25, sebagai seorang wanita yang sangat menjaga privasi sementelah dia sendiri tidak mahu terlalu berkongsi cerita peribadi terutama tentang percintaan kerana bimbang hubungan kandas di tengah jalan.

“Saya baru sebulan menikah dan majlis berlangsung dengan sangat sederhana di kampung isteri di Batu Pahat, Johor. Ia hanya dihadiri keluarga, saudara dan rakan terdekat.

Advertisement

“Dan kami sengaja melangsungkan pernikahan secara sederhana kerana isteri seorang yang sangat menjaga privasi,” beritahu Malik saat ditemui di Peranakan Place, Pelating Street.

Katanya lagi, keputusan menikah yang diambil juga dipengaruhi kuat oleh dua faktor. Pertama kerana Tina sempat bertemu dan bersalaman tiga hari sebelum ibunya meninggal dunia.

Ironi, mereka sempat berhubungan sekitar tujuh hingga lapan bulan kerana Malik masih berduka atas kepulangan ibunya ke Rahmatullah.

Namun, hubungan mereka kembali terjalin dan Malik menyifatkan pertemuan semula itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi selepas melalui fasa berduka.

Malah, dia masih mengingati pesanan arwah ibunya yang sentiasa mengharapkan dirinya mendapat pasangan terbaik.

“Arwah ibu selalu pesan, kalau mahu buat keputusan besar, buatlah solat istikharah dan carilah yang terbaik.

“Saya sangat bersyukur sebab Tina sempat bersalaman dengan ibu tiga hari sebelum meninggal dunia pada September 2024.

“Bagi saya, itu satu kenangan yang sangat sentimental. Selepas melalui fasa kehilangan dan kembali berhubung dengannya, saya rasa sangat berbunga-bunga,” katanya.

Kedua, kerana wanita itu disifatkan sebagai seorang yang ikhlas menerima keberadaan adiknya seorang Down syndrome.

Menurut Malik, sebelum ini adiknya sering meluahkan hasrat untuk mempunyai seorang kawan, namun dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu merealisasikan keinginan tersebut.

Bagaimanapun, kehadiran Tina dalam keluarga mereka seolah-olah menjawab persoalan itu apabila isterinya kini menjadi individu yang cukup rapat dengan adiknya.

“Adik saya berusia 26 tahun dan dia memang selalu beritahu yang dia nak ada kawan. Saya selalu fikir macam mana nak carikan dia seorang kawan.

“Bila saya kenalkan Tina, saya bersyukur sebab mereka boleh rapat. Sekarang mereka dah macam best friend, malah ada aktiviti sendiri bersama,” ujarnya penuh bahagia.

Malik juga memberitahu mengambil masa sekitar lapan bulan untuk memujuk adiknya menerima kehadiran Tina sebagai kakak ipar di dalam hidupnya.

“Sebelum berkahwin, saya ambil masa kira-kira lapan bulan untuk memujuk adik supaya menerima Tina. Saya mahu dia benar-benar ikhlas dan percaya bahawa Tina boleh menerima serta menjaga adik saya yang istimewa ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Tina sangat memahami dan saya gembira melihat hubungan mereka sekarang,” katanya.

Ditanya adakah dia dan isteri merancang mengatakan sebarang majlis resepsi di ibu kota, pantas jawab Malik: “Tidak, tiada perancangan.

“Cukup majlis di Batu Pahat dan yang penting kami sudah selamat menikah.”

Anda mungkin berminat dengan

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

Must Watch Video

Advertisement