Sekilas
- Aina Abdul mengaku mudah terpengaruh membeli tudung bercorak dan tudung instant tempatan di TikTok, sehingga sanggup beli banyak helai.
- Dia kini menggunakan akaun palsu untuk membeli-belah di TikTok bagi mengelak perhatian ramai dan lebih mengutamakan produk tempatan yang murah dan cepat.
- Aina juga jarang beli baju fizikal dan lebih suka membeli secara bundle di TikTok, yang dianggapnya sebagai platform utama untuk berbelanja.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui dirinya antara individu yang mudah 'teracun' dengan pelbagai produk di TikTok, terutama apabila melibatkan tudung bercorak dan tudung instant keluaran jenama tempatan.
Menurut Aina, dia mempunyai kelemahan terhadap tudung bercorak, malah sanggup membeli dalam kuantiti yang banyak jika menemui rekaan yang diminati.
"Entah, saya terbeli tudung sebab teracun dekat TikTok, itu jawapannya. Saya memang suka beli banyak-banyak benda, tanya Zizi (pengurus) kalau tak percaya.
"Saya memang suka beli tudung bercorak. Saya tak boleh kalau nampak orang jual tudung instant, printed bawal instant. Memang saya akan beli sampai 10 helai,"katanya kepada Gempak.
Aina turut mendedahkan dia kini menggunakan akaun palsu ketika membeli-belah di TikTok bagi mengelakkan perhatian ramai.
"Pernah dulu orang perasan saya beli, tapi sekarang saya pakai akaun palsu. Saya tak malu pun. Ini masa untuk berjimat.
“Kita kena beli benda yang cepat dan murah. Pada masa sama saya memang suka menyokong produk tempatan," ujarnya.
Dalam pada itu, Aina mengakui dia bukan seorang yang terlalu cerewet ketika membeli-belah dan lebih mengutamakan nilai serta harga yang berpatutan.
"Saya memang akan beli secara bundle. Cuma sekarang ini saya dah jarang beli baju. Kalau berbelanja pun, kebanyakannya dekat TikTok. TikTok is life," tambahnya.
Terdahulu, Aina menjadi perhatian netizen selepas tampil dengan gaya hijab baharu yang disifatkan lebih segar dan elegan.
Malah, penampilannya turut menerima pujian ramai selepas seorang pengguna Threads berkongsi rasa kagum terhadap imej terbaharu penyanyi berkenaan yang dilihat anggun dan manis.