Sekilas
- Dayang Nurfaizah tidak menyangka lagu raya terbarunya, Senyum Gugur di Penghujung Doa, mendapat sambutan hangat walaupun bukan projek besar.
- Dia berasa bersyukur kerana lagu itu berjaya menyentuh hati pendengar dan diterima baik oleh peminatnya.
- Lagu tersebut membawa mesej tentang menghadapi perasaan kehilangan dengan mengingati momen indah bersama orang tersayang, bukan untuk diratapi.
Penyanyi, Dayang Nurfaizah tidak menyangka lagu rayanya yang berjudul Senyum Gugur di Penghujung Doa yang dilancarkan baru-baru ini menerima sambutan hangat daripada peminat walaupun pada awalnya ia tidak dirancang sebagai projek besar.
Menurut Dayang, dia berasa sangat bersyukur apabila lagu tersebut mendapat perhatian ramai dan menyentuh hati pendengar yang menghayati setiap bait lirik disampaikan.
“Saya rasa sangat bersyukur lagu itu diterima semua terutamanya peminat saya. Daripada tak merancang, tiba-tiba dapat sambutan,” katanya kepada Gempak.
Tambah Dayang lagi, mesej utama yang cuba disampaikan melalui lagu tersebut adalah tentang bagaimana seseorang berdepan dengan perasaan kehilangan.
“Terima kasih kerana suka dengan lagu itu, mengamati setiap bait liriknya. Apa yang saya cuba sampaikan adalah kesedihan kehilangan itu bukan untuk diratapi.
“Tetapi adakalanya kita tidak perlu terlalu memendam rasa sehingga menangis, tetapi lebih kepada mengingati momen bersama orang yang tersayang,” jelasnya.