Sekilas
- Bekas anggota Big Bang, Seungri, mengumumkan sudah berkahwin dan bakal menimang cahaya mata pertama pada Januari 2027.
- Pasangan Seungri kini menetap di Gangnam, Seoul, dan fokus pada kehidupan berkeluarga tanpa merancang majlis perkahwinan.
- Seungri sedang disiasat polis berhubung dakwaan serangan di restoran, namun pihaknya menafikan melakukan kekerasan.
Bekas anggota kumpulan Big Bang, Seungri, bukan sahaja mengumumkan dirinya sudah berkahwin malah bakal menimang cahaya mata pertama apabila isterinya dilaporkan dijangka bersalin pada Januari 2027.
Pengumuman tersebut dilaporkan media Korea Selatan yang antaranya mengatakan pasangan tersebut sudah mendaftarkan perkahwinan mereka.
Sehubungan itu, Seungri dan pasangannya, seorang wanita berusia lingkungan 20-an dan bukan dalam kalangan selebriti kini memberi tumpuan untuk hidup sebagai suami isteri dengan menetap di
sebuah kediaman di daerah Gangnam, Seoul.
Meski berita dirinya berkahwin sudah tersebar, penyanyi berusia 36 tahun tersebut tidak mempunyai perancangan untuk mengatakam majlis perkahwinan.
Seungri sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada persiapan menyambut kelahiran anak mereka, lapor The standard.
Menerusi temu bual bersama akhbar tempatan, Seungri dipetik berkata dia kini merasakan tanggungjawab yang lebih besar ketika bersiap sedia untuk memulakan kehidupan berkeluarga.
Dia turut meluahkan rasa kesal atas kesilapan lalu serta kekecewaan dan luka yang pernah ditimbulkan terhadap orang lain.
Seungri berkata, dia akan menjalani kehidupan secara sederhana dan ikhlas bagi membuktikan perubahan dirinya.
Dalam masa sama, dia berharap orang ramai dapat memahami kehidupan baharunya dan tidak membuat spekulasi berlebihan mengenai isteri serta anaknya yang bukan figura awam.
Bagaimanapun, berita mengenai kehidupan keluarganya itu hadir ketika Seungri berdepan dakwaan berasingan berkaitan kes serangan di sebuah restoran di daerah Gangnam, Seoul, pada Ogos lalu.
Pihak Seungri bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Mereka mengakui Seungri ada mengangkat sebotol soju, namun menafikan dia menghayunkan botol berkenaan atau memukul lelaki itu.
Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Untuk rekod, Seungri memulakan kerjaya bersama Big Bang pada 2006 sebelum meninggalkan industri hiburan susulan skandal Burning Sun berkaitan pemerdagangan seks pada 2019.
Dia kemudian didapati bersalah atas sembilan pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan. Seungri selesai menjalani hukuman itu pada Februari 2023.