Sekilas
- Shaheizy Sam berkata kakaknya, Datin Seri Zizie Izette, kini kelihatan lebih tenang selepas sembilan bulan pemergian suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Disember tahun lalu.
Walaupun jarang berkongsi perasaan, Zizie kini dilihat lebih tenang dan mula terbuka berkongsi kehidupan peribadi di media sosial.
Pelakon, Shaheizy Sam menyifatkan kakaknya, Datin Seri Zizie Izette sebagai seorang wanita yang kuat dalam menghadapi kehidupan selepas pemergian suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun kata Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, walaupun sudah kira-kira sembilan bulan berlalu, namun dia tidak pernah berborak secara mendalam dengan Zizie mengenai kehidupannya kerana kakaknya itu jarang berkongsi mengenai apa yang dilalui.
“Dia nampak okay tetapi dia memang seorang yang sangat kuat dari segi mental dan fizikal.
“Tapi orang yang kuat pun, kalau duduk seorang diri kita takkan tahu keadaan dia. Mungkin ketika itu dia baru lepaskan emosinya tetapi kalau berjumpa, dia memang seorang yang sangat kuat.
“Dia memang tak (bercerita). Kalau dia duduk sekali dengan keluarga, dia akan berseronok sahaja, tiadalah dia nak mengadu sangat,” ujarnya.
Sam berkata demikian ketika ditemui pada majlis penghargaan filem Chelot di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkongsi lanjut mengenai Zizie, Sam berkata kakaknya kelihatan seperti seorang yang tenang kerana sudah melalui pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupan.
“Mungkin dia nampak lebih tenang sekarang ni. Biasalah dalam kehidupan macam-macam dia lalui.
“Selepas kehilangan seseorang, dia nampak lebih reda dengan apa sahaja kerana hidup mesti diteruskan,” ulasnya.
Mengulas mengenai Zizie yang kini dilihat lebih kerap berkongsi mengenai kehidupan peribadinya di media sosial, Shaheizy berkata dia melihat perubahan itu sebagai sesuatu yang positif memandangkan kakaknya sebelum ini lebih selesa menyimpan hal peribadi daripada pengetahuan umum.
“Mungkin dia nak mula untuk lebih terbuka dengan orang ramai. Sebelum ini kehidupannya lebih privasi, jarang berkongsi.
“Manusia perlu berubah kan, tak boleh nak terlalu selesa dalam apa jua keadaan.
“Mungkin dia nak mula untuk lebih terbuka dengan orang ramai. Sebelum ini kehidupannya lebih privasi, jarang berkongsi.
“Manusia perlu berubah kan, tak boleh nak terlalu selesa dalam apa jua keadaan,” katanya.
Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Mokhtar pada 2009 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata selain membesarkan dua anak angkat.
Terdahulu, Bung Mokhtar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.