Sekilas
- Shuib Sepahtu menerima setiap ujian dalam hidupnya sebagai tanda kasih sayang Allah dan mengajak orang ramai untuk berlapang dada serta mengakui kesilapan jika ada.
- Shuib memohon maaf kepada Jep atas sindiran yang dibuat dalam podcast Dol’s Podcast berkaitan isu pembahagian bayaran dalam kumpulan Sepahtu.
- Jep menjelaskan bahawa perkongsiannya mengenai zakat perniagaan bukan untuk bermegah tetapi sebagai bukti dia tidak mengambil hak orang lain dalam kumpulan.
Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu memilih untuk menerima setiap ujian yang berlaku terhadapnya ketika ini dengan hati yang terbuka.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad, dia percaya dugaan dan ujian yang hadir merupakan salah satu cara Allah SWT menunjukkan kasih sayang kepada hamba-Nya.
“Hidup saya ni macam roller coaster. Tapi, bila kadang-kadang tengok video-video berkaitan saya di media sosial, saya anggap ini adalah cara Allah SWT nak berkasih sayang.
“Kadang-kadang cara Allah nak berkasih sayang dengan kita memang dahsyat dan saya selalu ingatkan diri saya tentang itu.
“Saya pernah cakap tentang perkara ini kepada Arwah Sarah dan Watie, ‘Kalau I tak ada dugaan kadang-kadang I risau’. Saya takut bila tak ada dugaan seolah Allah pandang aku tak? Bila Allah duga sebenarnya itulah waktu yang kita rasa kita betul dekat dengan Allah. Itulah cara Allah berkasih sayang,” kongsinya menerusi satu siaran langsung baru-baru ini.
Tambah Shuib, ketika berdepan dugaan, seseorang itu juga akan lebih terdorong untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, termasuk memperbanyakkan solat, berdoa dan bersujud.
Justeru, dia mengingatkan orang ramai supaya menerima setiap perkara yang berlaku dengan hati terbuka, selain berani mengakui kesilapan sekiranya melakukan kesalahan.
“Kalau kita salah, kita kena akui kesalahan kita. Kita kena jadi orang yang besar hati.
“Percaya satu benda saya cakap, bila mana kita berbesar hati, kita akan tenang. Insya-Allah, tenang sebab kita dah lepas bahagian kita,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shuib sekali lagi memohon maaf sekiranya ada mengguriskan hati mana-mana pihak.
Terdahulu, Shuib tampil memohon maaf kepada Jep atas sindirian yang dilakukan terhadap rakannya itu ketika mengendalikan audio siar yang diberi nama Dol’s Podcast.
Sebelumnya pada 8 Oktober lalu, Jep menyorot perhatian apabila memuat naik potongan klip daripada sebuah episod podcast yang memaparkan pelawak Shuib dan Mamat meminta pandangan pelawak Azlee Senario mengenai isu pembahagian bayaran dalam kumpulan yang didakwa dilakukan secara tidak adil.
Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, perkongsian berkenaan dipercayai seolah-olah merujuk kepada Jep yang juga merupakan anggota kumpulan Sepahtu.
Jep dalam hantaran sama turut menasihati Shuib supaya menyelesaikan perkara yang lebih penting, termasuk isu potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perniagaannya yang pernah tertunggak sebelum ini.
Jep kemudiannya tampil memuat naik resit pembayaran zakat perniagaan yang dilunaskan setiap tahun.
Menurut Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin, perkongsian tersebut bukan bertujuan untuk bermegah dengan jumlah zakat yang dibayar, sebaliknya sebagai bukti bahawa dia tidak pernah mengambil hak orang lain.
Sumber: TikTok