Skip to main content

Hiburan

Siti Nurhaliza Hargai Semua Yang Terlibat Di Sebalik Tabir Konsert Legasi 30 Dan Gema Bumantara - “Apabila Melihat Kepuasan Penonton…”

Siti Nurhaliza Hargai Semua Yang Terlibat Di Sebalik Tabir Konsert Legasi 30 Dan Gema Bumantara - “Apabila Melihat Kepuasan Penonton…”

Sekilas

  • Datuk Seri Siti Nurhaliza menghargai usaha seluruh pasukan yang menjayakan Konsert Legasi 30 dan Gema Bumantara, termasuk kru, pengarah muzik, penari, dan penaja.
  • Siti memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga penganjur, dengan persiapan rapi dari penjualan tiket hingga hari persembahan.
  • Konsert tersebut mencatat rekod ASEAN dan Asia dengan jumlah penonton terbesar, iaitu 145,000 orang, serta pengiktirafan untuk konsert solo muzik tradisional terbesar oleh artis wanita.
Advertisement

Kejayaan Konsert Legasi 30 dan Gema Bumantara bukan milik seorang penyanyi semata-mata, sebaliknya hasil pengorbanan ramai insan yang bekerja keras merealisasikan harapan serta impian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan, Siti berkata, kedua-dua persembahan itu tidak mungkin dapat dijayakan tanpa sokongan mereka yang berada di atas pentas mahupun di belakang tabir.

Menurutnya, setiap pihak memainkan peranan penting, daripada pengurusan, pasukan teknikal, pereka pentas, sistem bunyi dan pencahayaan hinggalah pengarah persembahan.

“Kejayaan ini tidak akan berlaku jika saya berdiri seorang diri di atas pentas. Malam ini adalah malam untuk kita semua.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada pasukan yang terlibat,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Konsert Legasi 30 dan Konsert Gema Bumantara, malam tadi.

Penghargaan turut ditujukan kepada pengarah muzik, Aubrey Suwito, barisan pemuzik, penari serta kru yang bertungkus-lumus memastikan persembahan berjalan lancar.

Siti juga berterima kasih kepada penaja dan rakan strategik yang memberikan kepercayaan terhadap visi pasukannya.

“Tak lupa juga kepada para penaja dan rakan strategik yang mempercayai visi kami sehingga Konsert Legasi 30 dan Gema Bumantara dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.

Mengulas perjalanan menjayakan dua konsert tersebut, Siti mengakui tanggungjawabnya bukan hanya tertumpu kepada nyanyian, malah turut memikul amanah sebagai penganjur.

Katanya, persediaan menuntut latihan berterusan serta perhatian terhadap setiap aspek, bermula daripada penjualan tiket sehingga hari persembahan.

“Memasang cita-cita itu mudah, tetapi menempatkan cita-cita itu menjadi kenyataan menuntut pengorbanan yang sangat besar.

“Saya bukan sahaja hadir sebagai seorang penyanyi yang ingin memberikan persembahan di atas pentas, tetapi juga memikul tanggungjawab sebagai penganjur,” jelasnya.

Bagaimanapun, segala kesukaran dirasakan berbaloi apabila melihat reaksi penonton yang menikmati persembahan.

“Apabila melihat senyuman, kepuasan dan titisan air mata kegembiraan daripada para penonton serta anda semua, segala penat lelah itu hilang serta-merta.

“Segala kepayahan itu berbaloi,” tuturnya.

Dalam ucapan sama, Siti memberikan penghargaan khusus kepada pengurusnya, Rozi Abdul Razak atau Kak Zie yang setia bersamanya sejak zaman persekolahan.

Menurutnya, keserasian mereka membolehkan Rozi memahami serta merancang perjalanan seninya sehingga kini.

“Beliau menjaga saya daripada saya sekolah. Kita berjumpa di sekolah dan dia menjaga saya dari sekolah sampailah saya dah ada anak dua orang.

“Daripada umur saya 12 tahun sampailah umur saya 47 tahun, beliau setia bersama dengan saya,” kongsinya.

Siti turut mengiktiraf sokongan kuat suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang menjadi antara kekuatan di sebalik usaha seninya.

“Selagi Allah izinkan, saya akan terus berikan yang terbaik untuk industri yang saya usahakan sekarang ini.

“Setiap daripada kerja-kerja saya, kalau tidak ada sokongan kuat daripada suami saya pun tak akan berlaku juga,” katanya.

Pada majlis sama, Siti turut menerima pengiktirafan ASEAN Records dan Asia Records menerusi dua pencapaian konsert solonya.

Rekod pertama membabitkan jumlah penonton gabungan terbesar bagi dua konsert solo stadium oleh artis rakaman berbahasa Melayu, iaitu seramai 145,000 orang menerusi Konsert Legasi 30 pada 10 Januari dan Gema Bumantara pada 17 Oktober lalu.

Gema Bumantara turut diiktiraf sebagai konsert solo muzik tradisional terbesar dan paling ramai penonton oleh artis rakaman wanita apabila menghimpunkan 73,000 penonton.

Konsert tersebut menyaksikan Siti mempersembahkan 34 lagu tradisional sepanjang tiga jam 30 minit.

Anda mungkin berminat dengan

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

PUMA BMW M Motorsport Essentials Logo Tee Men

PUMA BMW M Motorsport Essentials Logo Tee Men

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Men White JM8396

adidas Football Germany 26 Home Jersey Men White KD8363

adidas Football Germany 26 Home Jersey Men White KD8363

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

Must Watch Video

Advertisement