Sekilas
- Fikry Ibrahim mengesahkan dirinya sudah berpisah dengan bekas isteri, Siti Khalizah Alihan, sejak 173 hari lalu melalui kenyataan di Instagram.
- Fikry mengambil masa sebelum berkongsi berita perpisahan itu untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan, serta menegaskan tiada siapa yang perlu dipersalahkan.
- Fikry mendoakan kebahagiaan dan ketenangan untuk bekas isterinya dan dirinya sendiri selepas perpisahan tersebut.
Status perkahwinan Fikry Ibrahim akhirnya terjawab selepas pelakon itu mengesahkan dirinya kini sudah berpisah dengan bekas isterinya, Siti Khalizah Alihan.
Berita itu dimaklumkan sendiri oleh Fikry menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram hari ini.
Menurut Fikry, perpisahan tersebut berlaku sejak 173 hari lalu dan memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi mengenai perkara berkenaan.
Jelas Fikry, keputusan untuk tidak berkongsi lebih awal bukan kerana mahu menyembunyikan keadaan sebenar, sebaliknya dia memerlukan ruang untuk mengumpul kekuatan serta menerima ketentuan yang telah ditetapkan.
“Bismillahirahmannirahim. Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri telah berpisah sejak 173 hari yang lalu.
“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.
“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuanNya.
“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza.
“Saya doakan semoga dia sentiasa dipelihara Allah, dipermudahkan segala urusannya, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.
“Dan saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fikry turut menitipkan doa buat bekas isterinya agar sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.
Pada masa sama, dia turut berdoa agar diberikan ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan selepas melalui fasa perpisahan tersebut.
“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.
“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa, dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya.
“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” maklumnya.
Sekadar info, isteri kepada Fikry iaitu Khalizah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Mei tahun lalu.
Khalizah kemudiannya menarik semula permohonan cerai sebulan kemudian dan mengakui tindakannya yang memfailkan cerai dibuat dalam keadaan terburu-buru.
Untuk rekod, Fikry dan Khalizah melangsungkan perkahwinan pada 12 Februari lalu di sebuah masjid di Jitra, Kedah.