Sekilas
- Aina Abdul tidak malu dengan muzik video lagu Kelip-Kelip walaupun kembali jadi perhatian netizen di media sosial.
- Dia terkejut wajah lamanya muncul di platform Threads dan menganggap kritikan netizen sebagai perkara yang sudah berlalu.
- Lagu Kelip-Kelip diinspirasikan daripada Twinkle Twinkle Little Star dan Aina percaya rezeki boleh datang bila-bila masa walaupun selepas bertahun-tahun.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul tidak mengambil hati apabila muzik video lagu Kelip-Kelip kembali menjadi perhatian dan diperkatakan oleh netizen di media sosial.
Menurut Aina, dia tidak malu dengan hasil kerja terdahulu kerana pada ketika itu, dia sememangnya mahu mencuba pelbagai perkara dan meneroka sisi kreatifnya sebagai seorang anak seni.
“Cakaplah apa nak cakap pun, saya bangga dengan apa yang saya buat. Pada ketika itu saya masih baharu dalam industri ini dan saya mahu buat macam-macam benda.
“Sampai satu muzik video boleh tukar sehingga 10 baju,” katanya ketika ditemui pada sesi pendengaran eksklusif di Rex KL, Petaling Street, Kuala Lumpur pada Khamis.
Pelantun lagu Sadis itu juga mengakui terkejut apabila mendapati wajah lamanya kembali muncul di platform Threads sehingga membuatkan dia tertanya-tanya mengenai perkara tersebut.
“Saya pun terkejut apabila buka Threads, tiba-tiba nampak muka lama saya. Saya tertanya-tanya, apa yang terjadi dan kenapa anda semua macam ini?
“Dengarlah lagu yang baharu. Tapi saya gembira apabila ada yang suka,” ujarnya.
Bagaimanapun, Aina menganggap segala kritikan dan komen yang diberikan netizen sebagai sesuatu yang tidak perlu dipandang serius memandangkan perkara tersebut sudah berlalu.
“Saya gembira kerana ada yang suka dan ada yang kutuk. Suka hatilah nak kutuk pun, benda itu sudah lepas.
“Saya gembira ramai yang sedar saya ada lagu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut berkongsi bahawa karya berkenaan mendapat inspirasi daripada lagu kanak-kanak popular, Twinkle Twinkle Little Star.
Menurutnya, lagu tersebut mungkin kurang mendapat perhatian ketika pertama kali diperkenalkan, namun dia percaya rezeki dan tuah seseorang boleh hadir pada bila-bila masa, termasuk bertahun-tahun selepas sesebuah karya dilancarkan.
“Lagu ini mendapat inspirasi daripada Twinkle Twinkle Little Star.
“Masa itu mungkin lagu ini kurang mendapat perhatian. Kadang-kadang kita tak tahu, mungkin tuah seseorang itu datang selepas bertahun-tahun,” kongsinya.