Sekilas
- Sufian Suhaimi bersyukur isteri, Rania Al Sadat, tidak mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan anak pertama mereka.
- Rania kekal aktif dengan rutin harian termasuk berjalan tiga kilometer selepas solat subuh walaupun sedang hamil hampir 37 minggu.
- Sufian berkongsi berita gembira ini ketika menghadiri majlis rumah terbuka Rusa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sedang menghitung hari bergelar seorang bapa, penyanyi Sufian Suhaimi meluahkan rasa syukur apabila isterinya iaitu Rania Al Sadat tidak mengalami alahan yang teruk.
Malah Sufian juga memberitahu tiada perubahan dari segi permakanan sepanjang hamil anak pertama memandangkan isterinya juga tidak melalui fasa mengidam.
“Alhamdulillah, dia sangat kuat. Tak ada apa-apa yang ekstrem. Alahan pun ringan saja masa trimester pertama. Muntah pun tak banyak, mungkin tak sampai 10 kali.
“Rasanya tak ada mengidam. Biasa saja sebab kami memang suka makan dan food hunting. Jadi sebelum dan selepas mengandung pun tak banyak beza. Kalau dia teringin makan apa-apa, saya terus saja layan,” kata Sufian kepada Gempak.
Sufian berkongsi berita gembira itu ketika ditemui di majlis rumah terbuka Rusa yang diadakan di Courtyard By Marriot Kuala Lumpur South, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Di Matamu ini turut memuji kekuatan isterinya yang masih aktif melakukan rutin harian seperti berjalan sekitar tiga kilometer setiap kali selesai menunaikan solat subuh bersama.
“Walaupun dia nampak manja dan lembut, sebenarnya dia kuat. Dia masih aktif, bukan jenis yang tak boleh buat apa-apa. Setiap hari lepas Subuh, kami cuba berjalan sekitar tiga kilometer. Malah dia yang selalu dorong saya.
“Jadi dari segi dia sebagai bakal ibu, memang dia sangat kuat dan saya bersyukur sebab tak ada apa-apa yang terlalu merisaukan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Sufian berkongsi berita gembira mengenai isterinya yang kini sedang hamil cahaya mata pertama dan usia kandungan sudah hampir mencecah 37 minggu.
Untuk rekod, Sufian mendirikan rumah tangga dengan Rania pada 2 Mei tahun lalu.