Skip to main content

Hiburan

Tak Beri Kerjasama Selesaikan Isu Nafkah, Raja Azura Iklankan Bekas Suami Di Akhbar - “Saya Bukan Merayu, Cuma Mahu Dia Hadir Mahkamah”

fffdf

Sekilas

  • Raja Azura menyiarkan iklan pencarian di akhbar untuk menjejaki bekas suaminya, Adzmin Osman, bagi menyelesaikan tuntutan nafkah tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
  • Langkah ini diambil selepas Adzmin didakwa tidak memberi kerjasama dalam urusan penyerahan dokumen mahkamah dan sebagai perintah mahkamah untuk memaklumkan tarikh sebutan kes pada 3 Disember.
  • Raja Azura berharap bekas suaminya hadir dan membuat pengakuan tentang hutang nafkah tertunggak tanpa perlu mencari secara peribadi bagi mengelakkan perselisihan.

Pengacara, Raja Azura, mengambil tindakan menyiarkan iklan pencarian di akhbar bagi menjejaki bekas suaminya, Adzmin Osman, untuk menyelesaikan tuntutan nafkah tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Raja Azura, atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, berkata langkah itu terpaksa diambil selepas bekas suaminya didakwa tidak memberikan kerjasama dalam urusan penyerahan dokumen mahkamah.

“Sebelum ini, penyerahan afidavit tidak berjaya selepas dia tidak mahu memberi maklum balas, jadi saya terpaksa memohon penyampaian ganti,” katanya kepada Gempak.

Raja Azura ditemui pada Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Menurut Raja Azura, penyiaran iklan tersebut juga adalah perintah mahkamah bagi memastikan Adzmin menerima makluman tentang tarikh sebutan kes meskipun tidak dapat dihubungi.

“Bila iklan dah keluar, barulah saya boleh beritahu umum kerana itu perintah mahkamah. Saya harap dia hadir dan selesaikan apa yang perlu.

“Dia kena datang sendiri dan membuat pengakuan tentang hutang nafkah tertunggak sebelum kes boleh diteruskan,” jelasnya.

Tambahnya, dia sendiri tidak tahu keberadaan bekas suami itu dan tidak mahu mencari secara peribadi kerana bimbang timbul perselisihan.

Selain itu, Raja Azura juga memaklumkan dirinya hanya mahukan kerjasama daripada bekas suaminya dan tidak mahu mencari Adzmin sendiri kerana bimbang akan mencetuskan pergaduhan.

“Saya bukan merayu… tidak. Saya cuma mahu dia hadir. Saya pun tak tahu dia di mana, dan kalau saya cari sendiri, nanti jadi gaduh.

“Saya nak cara yang damai dan tenang. Kami pun dah berumur, takut nanti terkejut sakit jantung,” ujarnya.

Difahamkan, mahkamah menetapkan 3 Disember sebagai tarikh kehadiran Adzmin bagi prosiding tersebut.

Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada tahun 2001.

Mereka kemudian bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20 tahun.

Must-Watch Video

Advertisement