Sekilas
- Liyana Jasmay mengalami tekanan sehingga sukar tidur dan berat badannya naik empat kilogram kerana risau tentang penerimaan penonton terhadap filem sulung arahannya, Pemuja Syaitan.
- Beliau sangat pentingkan emosi dalam filem dan berharap penonton dapat merasai pengalaman yang cuba disampaikan menerusi karya tersebut.
- Filem Pemuja Syaitan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober dan menampilkan pelakon seperti Zul Ariffin dan Elizabeth Tan.
Pelakon dan pengarah Liyana Jasmay mengakui mengalami tekanan sehingga sukar tidur dan berat badannya meningkat empat kilogram gara-gara terlalu memikirkan penerimaan penonton terhadap filem sulung arahannya, Pemuja Syaitan.
Menurut Liyana, 38, kebimbangan paling besar adalah sama ada penonton dapat merasai emosi serta pengalaman yang cuba disampaikan menerusi naskhah berkenaan.
“Tak boleh tidur dan berat badan saya menaik. Sampai dah naik empat kilogram.
“Risau sebab penerimaan. Saya sangat pentingkan rasa, jadi saya takut kalau orang tak boleh rasa apa yang mereka sepatutnya rasa dalam filem ini,” katanya.
Liyana berkata demikian ketika ditemui pada tayangan khas Pemuja Syaitan yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur malam Rabu.
Tambahnya, antara perkara yang banyak diterapkan sepanjang proses pembelajaran dalam bidang perfileman adalah kepentingan membuatkan penonton benar-benar terhubung secara emosi dengan sesebuah karya.
“Kalau seorang pun rasa apa yang kita buat, kita dah berjaya.
“People have to feel whenever you write a script, whenever you make a movie. Itu yang sangat saya risau,” ujarnya.
Dalam masa sama, Liyana berseloroh bahawa tekanan tersebut turut menyebabkan rutin pemakanannya berubah sehingga diet yang diamalkan sebelum ini ‘ke laut’.
“Patutnya orang risau tak makan, saya pula makan.
“Saya selalu cakap saya diet gula, tapi sekarang dah tak tahu ke mana diet itu pergi. Sebab saya sangat risau dan stres,” katanya.
Bagaimanapun, Liyana berkata tekanan tersebut turut datang daripada rasa tanggungjawab terhadap rakan produksi serta pihak yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghasilkan filem berkenaan.
“Kita ada partners yang percaya pada kita. Ramai orang menaruh harapan.
“Mereka percaya kepada kami, jadi sudah tentu kami nak beri yang terbaik,” katanya.
Pemuja Syaitan merupakan karya sulung arahan Liyana Jasmay yang dibintangi Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan Aila Azizul.
Terbitan Mermaid Studio, filem tersebut bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober depan.