Sekilas
- Aliff Aziz kini melihat 'comeback' sebagai usaha memperbaiki diri dari segi dalaman dan memaafkan diri sendiri, bukan sekadar penerimaan orang ramai.
- Dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang dan fokus pada perkara yang boleh dikawal serta diperbaiki dalam hidup dan kerjaya.
- Aliff mendapat kekuatan daripada doa ibu bapa dan sokongan keluarga serta rakan, sambil mengekalkan sikap optimistik dan menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Selepas melalui beberapa episod jatuh bangun sepanjang berada dalam industri seni, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz mengakui istilah ‘comeback’ atau kemunculan semula membuatkan dirinya berasa risau.
Menurut Aliff, 35, definisi kemunculan semula baginya kini bukan lagi mengenai penerimaan orang ramai atau peluang kembali aktif dalam industri, sebaliknya lebih kepada usaha memperbaiki diri dari sudut dalaman.
“Perkataan ‘comeback’ sebenarnya membuatkan saya risau. Jadi, erti ‘comeback’ buat masa sekarang berbeza sedikit.
“Daripada melihat perkara luaran, saya tengok dari segi dalaman. Maksudnya, apa perkara yang boleh saya perbaiki.
“Saya kena jujur dengan diri dan apa sahaja kelakuan pada masa silam, saya harus mencari kaedah untuk memaafkan diri sendiri.
“Hanya dengan itu baru saya boleh bergerak ke hadapan,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Teater Muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya, baru-baru ini.
Tidak menafikan masih mengingati perkara yang pernah berlaku sepanjang berada dalam industri, Aliff bagaimanapun enggan membiarkan kisah silam terus menghalangnya daripada meneruskan kehidupan.
“Bukan saya tidak fikirkan apa yang berlaku dalam kisah silam sepanjang berkecimpung dalam industri ini, tetapi sampai bila?
“Saya sudah berumur 35 tahun dan nak habiskan sisa-sisa kehidupan dalam industri ataupun kehidupan secara umumnya dengan sesuatu yang positif.
“Jadi, ia bermula dengan menyedari kelemahan dan kekurangan diri sendiri,” ujarnya.
Pelantun lagu Sayang Sayang itu turut memilih untuk tidak lagi terlalu memikirkan pandangan orang ramai terhadap dirinya.
Sebaliknya, dia menerima setiap pendapat dengan hati terbuka dan memberi tumpuan terhadap perkara yang masih mampu dikawal serta diperbaikinya.
“Apa orang nak kata atau apa pendapat mereka, saya terima dengan hati terbuka.
“Nama pun pendapat, betul atau tidak, bukan untuk saya menilai. Itu di luar bidang kuasa saya untuk mengubah persepsi orang.
“Apa yang saya boleh fokus adalah bangkit semula. Apa yang Allah bagi, saya ambil dan betul-betul fokus,” katanya.
Tambah Aliff, pegangan terhadap konsep rezeki turut memberikan ketenangan dalam meneruskan perjalanan kerjaya seninya.
“Alhamdulillah, perkara itu memberi saya ketenangan.
“Saya percaya dengan konsep rezeki. Di mana ada rezeki saya, di situ saya akan berusaha,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kekuatan untuk terus positif selepas berdepan pelbagai kontroversi, Aliff berkata doa kedua-dua ibu bapanya menjadi antara sumber kekuatan utama.
Dia turut bersyukur kerana masih dikelilingi individu yang tidak pernah putus memberikan sokongan.
“Alhamdulillah, masih ada doa ayah dan umi.
“Sokongan lain pun saya dapat daripada adik-beradik, sahabat-sahabat jemaah serta kawan-kawan dalam industri. Mereka banyak memberikan kata-kata semangat,” ujarnya.
Bagaimanapun, Aliff tidak mahu menggambarkan proses untuk bangkit sebagai sesuatu yang mudah kerana dia juga mempunyai hari baik dan buruk seperti manusia lain.
“Saya tidak mengatakan perkara ini sesuatu yang mudah kerana saya juga manusia biasa yang mempunyai perasaan.
“Kadang-kadang ada hari yang baik, kadang-kadang ada hari yang buruk.
“Sahabat saya pernah cakap, ‘Aliff, bila kita bawa kereta, kita tengok depan atau cermin pandang belakang?’
“Cermin pandang belakang kita tengok untuk lihat apa yang ada di belakang, tetapi kita kena fokus dekat depan.
“Mungkin sebelum ini saya terlalu lama tengok ‘cermin pandang belakang’. Bila kita tengok lama sangat, maka akan terlanggarlah lagi,” katanya.
Kini, Aliff memilih menjalani kehidupan lebih optimistik selain memberikan perhatian terhadap kesihatan fizikal dan mental.
“Saya cuba untuk jadi optimistik dan lebih sihat. Saya luangkan masa di gimnasium dan jaga makan.
“Perkara-perkara beginilah yang mungkin boleh membuatkan saya menjadi lebih baik dan meneruskan kehidupan ke hadapan.
“Apa yang terjadi semalam, saya jadikan pengajaran tetapi saya akan terus ke hadapan.
“Saya berterima kasih kepada semua yang telah memberi peluang untuk saya berkarya semula,” katanya.