Sekilas
- Mark Wahlberg menunjukkan sikap mesra dan rendah diri ketika bertemu peminat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
- Pelakon Hollywood itu tetap beramah mesra walaupun ditemani pengawal peribadi yang tidak mengganggu interaksi dengan orang ramai.
- Wahlberg kini berada di Malaysia untuk penggambaran filem Netflix terbaru, The Big Fix, yang turut dibintangi Riz Ahmed dan pelakon lain dari Asia.
Pelakon Hollywood, Mark Wahlberg sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila sikapnya yang mesra dan rendah diri ketika bertemu peminat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna yang dikenali sebagai Khal_Ziq, pelakon itu dilihat meluangkan masa menyapa dan bergambar bersama peminat yang berada di LTAPP.
“Siap bagi salam lagi. Memang sempoi habis Mark Wahlberg. Jumpa lagi bro ! 🔥,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Khal turut memuji tahap profesionalisme pasukan keselamatan yang mengiringi pelakon berusia 54 tahun itu.
Menurutnya, walaupun Mark ditemani pengawal peribadi, kehadiran mereka tidak menghalang pelakon tersebut daripada beramah mesra dengan orang ramai.
“Bodyguard tu ade, tapi tak over. dengan makcik2 akak2 pun dia lambai tak menyombong 👍🏼 gini baru padu. A list hollywood actor tetap tunduk ke bumi,” tambahnya.
Difahamkan, Wahlberg kini berada di Malaysia bagi menjalani penggambaran filem terbaharu terbitan Netflix berjudul The Big Fix, yang turut dibintangi pelakon British, Riz Ahmed.
Filem itu dilaporkan mengisahkan seorang pegawai Interpol yang mempunyai kaitan dengan FIFA sebelum membongkar sindiket mengatur perlawanan bola sepak di peringkat antarabangsa, sekali gus mencetuskan siasatan berisiko tinggi.
Produksi The Big Fix menjalankan penggambaran utamanya di Sydney, Australia, manakala beberapa babak tambahan dirakam di beberapa negara, termasuk Malaysia.
Selain Wahlberg dan Riz Ahmed, filem berkenaan turut dibintangi pelakon Singapura, Chin Han, pelakon India, Vipin Sharma serta pelakon kelahiran Malaysia yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, Nuha Jes Izman.
Sumber: Threads