Skip to main content

Berita

Tak Mahu Buat Ala Kadar, Dayang Nurfaizah Belum Yakin Adakan Konsert Mega - “Saya Sudah Ada Bayangan…”

Dayang Nurfaizah ketika membuat persembahan di showcase Janji With Dayang yang berlangsung di Top View @ The Top, KOMTAR

Penyanyi, Dayang Nurfaizah akui dirinya masih belum bersedia untuk tampil dengan konsert solo berskala mega.

Jelas Dayang atau nama lengkapnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44  penganjuran konsert bukanlah perkara kecil dan dia tidak mahu melakukan konsert ‘sekadar ada’ untuk menunjukkan dirinya mampu melakukan konsert solo.

"Saya tidak mahu buat konsert sekadar ala kadar atau hanya untuk tunjuk saya mampu. Kalau hendak buat, ia mesti benar-benar sempurna dan meninggalkan impak.

"Dalam kepala, saya sudah ada bayangan daripada segi pentas, visual, susunan muzik dan produksi. Rujukan saya pastinya artis luar negara. 

“Tetapi, semua ini membabitkan kos besar dan pasukan kerja yang benar-benar faham kehendak saya," katanya kepada Gempak. 

Dayang ditemui Gempak selepas menjayakan Showcase Janji With Dayang yang berlangsung di Top View @ The Top, KOMTAR baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Lemah itu juga akui keutamaannya dalam menganjurkan konsert adalah memastikan peminat mampu hadir ke konsertnya tanpa terbeban dengan harga tiket.

"Kalau boleh, saya hendak semua peminat dapat turut serta dan berseronok. Sebab itu, banyak perkara perlu ditimbangkan. Saya tidak mahu kerana keinginan menghasilkan produksi gah, akhirnya, peminat rasa terbeban.

"Kalau ada bajet besar, saya mahu lebih memberi tumpuan kepada kualiti muzik," ujarnya. 

Advertisement

Must-Watch Video