Sekilas
- Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red mengesahkan kehadirannya ke mahkamah bukan untuk rujuk semula dengan bekas isteri, Adira Suhaimi, tetapi untuk mendapatkan kepastian status lafaz rujuk mereka.
- Beliau menafikan pernah meletakkan syarat seperti tuntutan RM100,000 atau gugurkan saman sivil bagi membatalkan kes pengesahan lafaz rujuk seperti yang didakwa sebelum ini.
- Kes pengesahan lafaz rujuk antara Adira dan Datuk Red masih belum selesai dan ditangguhkan ke 25 Jun untuk proses seterusnya.
Bekas suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu mengakui sedia untuk melepaskan semula bekas isternya itu sekiranya prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung baru-baru ini diputuskan sah oleh mahkamah.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkongsi kehadirannya ke mahkamah bukan untuk kembali rujuk, sebaliknya hanya bagi mendapatkan kepastian terhadap status lafaz berkenaan.
“Ada wartawan tanya betul ke saya minta RM100,000 daripada Adira. Jawapan saya mudah, jika prosiding pada Khamis itu mahkamah mengesahkan lafaz rujuk kami sah, keluar daripada mahkamah, saya mahu lepaskan dia.
“Sebab selama ini, ramai orang cakap saya tidak ‘move on’, saya gila talak dan sebagainya. Ingin saya tegaskan, saya hadir ke mahkamah adalah untuk mengesahkan kes lafaz rujuk sahaja.
“Saya cakap dengan wartawan, jika keputusan prosiding tersebut tidak sah, itu lebih baik. Sebab sah, saya sendiri akan buat permohonan itu. Tak payah RM100,000. Saya akan lepaskan semua, tak payah dia yang pergi sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Datuk Red juga tidak mahu terlalu memikirkan mengenai presepsi negatif oleh netizen.
“Jika kalian nak cakap saya putar belit cerita, kaki bankrup, itu terserah pada kalian. Sebab prosiding kami masih tertangguh, belum ada keputusan lagi,” ujarnya.
Terdahulu, kes pengesahan lafaz rujuk antara Adira dan Datuk Red yang difailkan di mahkamah masih belum menemui penyelesaian dan telah ditangguhkan kepada 25 Jun depan bagi proses seterusnya.
Sebelum ini, Adira terkejut apabila bekas suaminya didakwa mengemukakan beberapa syarat untuk membatalkan kes pengesahan rujuk, termasuk menggugurkan saman sivil berkaitan tuntutan hutang serta bayaran tunai sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun, Datuk Red tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat termasuk tuntutan wang seperti yang diperkatakan.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Disember 2015 sebelum berpisah pada April 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.