Sekilas
- Datuk Seri Vida berharap anaknya, Cik B, dapat muncul juara dalam program Talk To My Manager 2 dan bersedia menerima apa jua keputusan dengan positif.
- Cik B mengakui tidak kecewa dengan keputusan tempat ketiga dan menganggap juara layak diberikan kepada Anggrek yang berdisiplin dan berbakat.
- Cik B merasa sedih kerana pertandingan sudah berakhir dan tidak lagi dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan yang dianggap seperti keluarga.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Datuk Seri Vida mengakui meletakkan harapan tinggi untuk melihat anaknya, Cik B, muncul sebagai juara untuk program berkenaan.
Menurut usahawan kosmetik terkenal itu, dia sememangnya menantikan pengumuman tempat pertama dan mahu mengetahui aspek yang boleh diperbaiki sekiranya mereka tidak berjaya meraih gelaran tersebut.
“Dapat tengok muka saya terkejut? Saya sebenarnya menunggu untuk diumumkan menjadi nombor satu. Maaflah, ekspektasi saya memang tinggi.
“Saya hanya mahu tahu kenapa kami tidak dapat nombor satu? Saya nak tahu apa yang boleh diperbaiki lagi. Anggrek memang layak menjadi juara,” katanya kepada Gempak.
Tambah DSV, kedudukan yang diraih bukanlah perkara utama kerana mereka tetap berpuas hati apabila berjaya menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.
“Malah, Cik B juga mahu memberi laluan kepada Anggrek untuk menang. Dapat nombor berapa pun, kita tetap satu keluarga. Dapat menjadi tiga terbaik pun sudah cukup bagus.
“Yang penting penonton di dewan dan studio puas hati,” ujarnya.
Dalam masa sama, Vida meluahkan rasa bangga melihat perkembangan dan transformasi Cik B sepanjang 10 minggu pertandingan berlangsung.
“Sejak awal persembahan lagi, saya sudah katakan, ini adalah malam Cik B. Saya yakin persembahan Cik B akan terus terpahat di hati peminat.
“Ketika nak masuk program ini dahulu, Cik B pernah cakap dia nak banggakan saya. Ketika ini, saya sangat bangga dengan Cik B. Persembahannya sentiasa di luar kotak.
“Kalau tak masuk program ini, kita tak akan tahu bakat dan skil Cik B,” katanya.
Sementara itu, Cik B turut mengakui dia tidak kecewa dengan keputusan yang diraih kerana berpendapat gelaran juara sememangnya layak diberikan kepada Anggrek.
“Saya memang nak ikut jejak langkah idola saya iaitu Auddra yang turut mendapat tempat ketiga. Juara memang seharusnya diberikan kepada mereka yang layak.
“Anggrek memang sepatutnya menang. Dia baru berusia sembilan tahun dan saya sendiri nampak usahanya setiap hari. Dia sangat berdisiplin,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik rasa bangga itu, Cik B tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila memikirkan perjalanan TTMM2 yang sudah berakhir.
Menurutnya, perkara yang paling sukar diterima bukanlah kedudukan dalam pertandingan, tetapi hakikat bahawa dia tidak lagi dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
“Walaupun bangga dapat masuk ke final namun, saya sedih kerana hari ini mungkin hari terakhir kami semua dapat bersama.
“Saya tak kisah dapat nombor berapa pun. Bila difikirkan semula, esok saya sudah tidak boleh nak berjumpa mereka. Jika tidak, kita akan ada meeting, kelas vokal dan kelas menari bersama.
“Ia membuatkan saya termenung juga. Saya sudah 10 minggu bersama mereka. Saya sudah rasa terikat dengan Anggrek. Saya anggap dia seperti adik sendiri,” katanya.