Sekilas
- Amin dan Abid Othman, pempengaruh kembar, tercalon dalam kategori Lifestyle di TikTok Awards SEA dan bersyukur atas pengiktirafan yang diterima.
- Mereka menggunakan platform TikTok untuk mempromosikan bidang Pendidikan TVET dan STEM secara kreatif kepada masyarakat luas.
- Mereka menyeru generasi muda supaya berani menunjukkan bakat masing-masing dan memanfaatkan peluang yang ada di TikTok untuk berjaya di peringkat Asia Tenggara.
Pempengaruh kembar, Amin Othman dan Abid Othman meluahkan rasa syukur selepas tercalon dalam TikTok Awards SEA bagi kategori Lifestyle.
Menurut Abid, pengiktirafan yang diterima setakat ini bukan sahaja membantu meningkatkan jenama sendiri, malah membuka ruang untuk mempromosikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, setakat ini kami sudah menerima tiga anugerah di Malaysia menerusi kandungan yang dihasilkan. Pengiktirafan itu sedikit sebanyak membantu meningkatkan jenama kami, sekali gus mempromosikan bidang TVET dan STEM.
“Insya-Allah, menerusi pencalonan dalam kategori Lifestyle di TikTok Awards peringkat Asia Tenggara, kami berharap dapat memperkenalkan kandungan kami kepada lebih ramai penonton di rantau ini.
“Kami mahu membuktikan bahawa kandungan berbentuk pendidikan juga mampu menarik perhatian masyarakat apabila disampaikan secara kreatif. Jadi, kepada semua yang berada di luar sana, kalau ada kelapangan, kami amat berbesar hati sekiranya anda dapat mengundi kami dalam kategori Lifestyle di TikTok Awards,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Amin dan Abid turut menyeru generasi muda supaya berani mengetengahkan bakat masing-masing dan tidak menganggap kelebihan yang dimiliki sebagai sesuatu yang biasa.
Malah, mereka percaya platform seperti TikTok mampu menjadi ruang untuk anak muda memperkenalkan bakat kepada khalayak lebih luas, termasuk di peringkat Asia Tenggara.
“Sebab itulah kami mahu memberikan kesedaran kepada generasi muda bahawa bakat yang dimiliki merupakan kekuatan semula jadi mereka.
“Tidak kisahlah sama ada seseorang itu pandai memasak, melukis atau mempunyai kemahiran lain, mereka sebenarnya boleh berjaya dengan memanfaatkan platform TikTok. Bakat yang ada boleh membawa seseorang pergi jauh, malah sehingga ke peringkat Asia Tenggara.
“Nasihat saya, TikTok sekarang sudah tidak sama seperti dahulu. Kalau dahulu, kebanyakan pengguna hanya mengikuti trend atau menghasilkan video tarian, tetapi sekarang platform ini sudah membuka lebih banyak peluang.
“Kalau anda mempunyai bakat, jangan takut untuk menunjukkannya. Tidak perlu terlalu mengikut apa yang dilakukan oleh orang lain kerana setiap individu mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri.
“Gunakan bakat itu dengan sebaik-baiknya. Siapa tahu, suatu hari nanti anda boleh pergi lebih jauh dan mencipta kejayaan dengan cara sendiri,” kata Amin.
Selain Amin dan Abid, turut tercalon dalam kategori yang sama adalah Deadpudds dan Norpadilahdiycrafter.
Pada masa sama, Khairul Aming dan Sofyank juga turut tercalon dalam kategori Creator Of The Year.