Sekilas
- Aina Abdul berkongsi pengalaman membela kucing pertamanya, Hiro, yang mengajar dia erti kesabaran dan kasih sayang walaupun kucing itu mempunyai masalah kesihatan.
- Hiro dan kucing kembarnya, Susu, menjadi penawar hati Aina ketika dia menghadapi tekanan dan mengajar dia untuk lebih bertanggungjawab dan penyayang.
- Selepas kehilangan Hiro, Aina masih bergelut menerima pemergian kucing kesayangannya yang menjadi teman setianya selama dua tahun.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui pengalaman membela kucing banyak mengubah dirinya terutama dari segi kesabaran dan kasih sayang.
Menurut Aina, Hiro merupakan kucing pertama yang dipeliharanya dan mengambil keputusan untuk terus menjaganya meskipun mengetahui kucing tersebut mempunyai masalah kesihatan.
“Sebenarnya kawan-kawan saya pernah warning saya juga, sakit hilang kucing itu lain. Dan sekarang saya tahu sebab saya memang penakut kucing.
“Ada yang cakap, ‘Baru dua tahun, jahatnya mulut awak.’ Bagi saya, ini kucing pertama saya. Paling penting Hiro dah tak sakit, sebab ramai yang tanya kenapa dengan Hiro. Dia adalah kucing yang sakit.
“Saya tetap ambil keputusan untuk bela dia sebab saya dah ambil dia. Saya tak nak abaikan Hiro,” katanya dalam keadaan sebak.
Tambah Aina, pengalaman tersebut membuatkan dirinya kini lebih memahami perasaan mereka yang membesarkan dan menjaga kucing sebagai sebahagian daripada keluarga.
“Sekarang saya dapat rasa apa yang cat parents rasa dan ia sangat susah. Kadang-kadang saya tertanya macam mana mereka lalui semua ini, lebih-lebih lagi bila ada yang menyebut nama dia,” ujarnya.
Mengimbas kembali kenangan bersama Hiro, Aina mengakui kucing tersebut banyak membantunya menjalani hari-hari susah bersama kembarnya, Susu.
Jelas Aina, kehadiran Hiro dan Susu sedikit sebanyak membantunya mengalihkan perhatian daripada tekanan yang dihadapi, selain membuatkan dirinya kembali memikirkan tanggungjawab yang perlu dilakukan.
“Semua orang tahu saya tinggal sendiri, saya buat semua benda pun sorang. Sometimes I'm very hard with myself, saya balik rumah pun saya stres. So Hiro dan kembar dia, Susu, sentiasa menjadi penawar hati saya.
“Saya boleh fikirkan saya ada tanggungjawab depan saya. Diorang guling-guling depan saya semasa saya tengah stres, main dekat kaki, jadi ia merawat hati saya. Hiro made me a better person. Dia membuatkan saya lebih menjadi seorang manusia, lebih tahu untuk berkasih sayang, lebih banyak bersabar.
“Semenjak saya ada kucing, saya rasa saya banyak gila sabar,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Aina Abdul meluahkan rasa sedih selepas kehilangan kucing kesayangannya, Hiro.
Menerusi hantaran di Instagram, Aina mengakui masih bergelut untuk menerima hakikat bahawa Hiro yang menjadi peneman hariannya selama dua tahun kini telah pergi buat selamanya.
Aina turut mengakui sebelum ini dia sering tertanya-tanya bagaimana rasanya kehilangan kucing kerana ramai rakannya sudah melalui pengalaman tersebut.
Namun, selepas mengalaminya sendiri, barulah dia memahami betapa dalamnya kesedihan yang dirasai.