Pempengaruh, Iddin Ramli tampil memohon maaf secara terbuka susulan tindakannya yang didakwa membalas komen netizen secara kasar di media sosial baru-baru ini.
Menurut Iddin, dia mengakui kesilapan tersebut berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri dan seharusnya lebih berlapang dada dalam berdepan dengan sebarang kritikan atau provokasi daripada netizen.
“Bercakap mengenai isu tersebut saya akui itu salah saya. Sebagai seorang Mualim Muda tak seharusnya trigger dengan soalan atau provokasi daripada netizen.
“Jadi saya nak minta maaf, saya akui kekhilafan saya. Kerana sebagai seorang manusia bila ditekan-tekan adakalanya kita terlepas, namun saya tetap minta maaf atas apa yang terjadi,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, peserta Mualim Muda itu juga mengakui tekanan hidup serta kritikan berterusan di media sosial turut memberi kesan terhadap emosinya.
Tambahnya lagi, dia sedar tindakannya itu mungkin mengecewakan sebahagian peminat dan pengikut yang meletakkan harapan tinggi terhadapnya sebagai seorang figura berimej positif.
“Dengan tekanan-tekanan yang ada dalam kehidupan saya, dan bila ditekan-tekan buat saya jadi lebih tertekan tapi apa jua alasan saya hanya mahu memohon maaf dan saya dah padam komen-komen saya tempoh hari.
“Saya tahu pasti ada peminat atau pengikut yang kecewa melihat tindakan saya tempoh hari, saya akan cuba perbaiki saya punya ketenangan dalam berhadapan dengan komen-komen negatif,” tambahnya.
Terdahulu, Iddin Ramli didakwa membalas komen netizen secara ‘kasar’ di media sosial selepas ditanya mengapa tidak membuat sebarang hantaran mengenai pendapat menyambut hari natal bagi umat Islam.