Sekilas
- Titi Kamal mengaku minatnya terhadap dunia seram bermula sejak remaja dan gemar meneroka lokasi berhantu bersama rakan-rakan.
- Pelakon itu pernah keluar mencari pengalaman mistik pada awal pagi ketika di sekolah menengah.
- Filem seram terbaru Titi, Perumahan Laddaland, menggabungkan elemen jump scare dan drama kekeluargaan, akan ditayangkan pada 13 Ogos.
Pelakon terkenal Indonesia, Titi Kamal, mendedahkan minatnya terhadap dunia seram atau mistik bukan sekadar di layar perak, malah sudah menjadi hobinya sejak usia remaja.
Bintang yang muncul dengan filem seram terkini berjudul Perumahan Laddaland itu mengakui dia memang gemar meneroka lokasi yang dikatakan berhantu bersama rakan-rakan yang turut berkongsi minat sama.
Menurut Titi, rasa ingin tahu terhadap kisah-kisah mistik membuatkan dia tidak pernah jemu mengunjungi pelbagai lokasi terbiar, termasuk bangunan kosong dan kawasan perumahan lama.
"Saya memang sukakan cerita seram. Saya juga suka memburu lokasi misteri dan kebetulan ramai kawan saya pun peminat dunia horor," katanya seperri dilaporkan Liputan6.com.
Lebih mengejutkan, Titi mendedahkan keberanian itu sudah wujud sejak di bangku sekolah menengah apabila dia pernah keluar bersama rakan-rakan pada awal pagi semata-mata mahu mencari pengalaman mistik.
"Memang dari dulu lagi. Masa sekolah menengah, saya dan kawan-kawan pernah keluar sekitar jam 3 pagi untuk cari hantu," katanya lagi.
Sementara itu bercerita mengenai filem Perumahan Laddaland, Titi memegang watak sebagai seorang ibu yang berpindah ke sebuah kawasan perumahan baharu sebelum keluarganya diganggu pelbagai kejadian misteri.
Filem adaptasi daripada karya seram popular Thailand itu dijangka menemui penonton pada 13 Ogos depan.
Menurut Titi, naskhah berkenaan bukan sekadar bergantung kepada babak mengejutkan, malah turut menampilkan jalan cerita kekeluargaan yang penuh emosi.
Katanya, gabungan dua elemen tersebut menjadikan watak yang dibawanya lebih mencabar kerana dia perlu memastikan setiap perubahan emosi dipersembahkan dengan meyakinkan.
"Memang banyak babak jump scare dari awal hingga akhir, tetapi drama kekeluargaannya juga sangat kuat. Itu yang membuatkan saya benar-benar dicabar sebagai pelakon kerana emosi watak perlu berkembang dengan baik," katanya.