Lelaki berketurunan Tionghua yang membesarkan tiga beradik yatim piatu Melayu, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, meluahkan rasa terharu selepas menonton lakonan Andy Teh yang membawakan wataknya dalam filem Abah Saya Uncle Mike.
Advertisement
Menurut Uncle Mike, 55, Andy berjaya menjiwai karakter dirinya sehingga membuatkan dia beremosi ketika tayangan perdana filem itu.
“Saya nak bagi 10 ke 10 sebab tiba-tiba rasa macam saya sedang ada dalam layar tu bila Andy melakonkan watak saya.
“Feel dia betul-betul sampai. Anak saya di sebelah pun tanya, kenapa nangis. Jadi terima kasih Andy, berjaya membawa watak tu sebab saya tahu dia banyak bertanya dan perhatikan saya sebelum berlakon,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan di ibu negara baru-baru ini.
Tambah Uncle Mike, mesej utama filem itu perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan takut untuk berbuat baik kepada semua orang.
“Saya menangis beberapa kali dalam panggung kerana hati masih bergelora dengan kisah ini walaupun ia tentang diri saya. Harapan saya, ia jadi cerita inspirasi untuk seluruh Malaysia bahawa kita satu bangsa dan tak ada perbezaan,” ujarnya sebak.
Selain memberikan didikan agama sempurna, kisah Uncle Mike pernah tular sebelum ini kerana pengorbanan serta kasih sayang tulusnya membesarkan tiga anak angkat Melayu sehingga menyentuh hati ramai.
Untuk info, dalam naskhah bergenre drama yang sudah ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos ini, Andy memegang watak sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang secara tidak sengaja terlibat dalam kehidupan tiga beradik yatim piatu Melayu iaitu Rafie, Rasyid dan Rahman.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong yang membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani dan penghormatan kepada agama Islam.
Dedikasi Uncle Mike turut mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas jasa serta pengorbanannya.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama strategik Etika Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan dengan mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.
Menampilkan pelakon Andy Teh bersama gandingan muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, Abah Saya Uncle Mike turut menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Kantonis bagi mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Sinopsis Abah Saya Uncle Mike:
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh penderaan bersama adik-adiknya demi mencari kehidupan lebih baik. Namun, apabila mereka dipisahkan, Rafei diselamatkan oleh seorang lelaki Cina baik hati bernama Uncle Mike. Dalam usahanya menyatukan kembali keluarga, ketiga-tiga beradik itu akhirnya sedar makna sebenar sebuah keluarga – bahawa ‘Keluarga Bukan Sekadar Pertalian Darah’.