Sekilas
- Rashdan Baba, peserta Kilauan Emas Selebriti 2026, mendapat pujian netizen kerana wajahnya yang masih muda dan segak pada usia 57 tahun.
- Rashdan berkongsi rutin penjagaan kesihatan termasuk pengambilan air suam lebih lapan liter sehari dan amalan makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang yang diwarisi daripada arwah bapanya.
- Kilauan Emas Selebriti 2026 akan bermula pada 22 Ogos selama tujuh minggu dan boleh distrim melalui Astro GO, Sooka serta diikuti melalui Diari dan podcast khas.
Penampilan pelakon Rashdan Baba di konti radio SINAR baru-baru ini bagi memperkenalkan dirinya sebagai salah seorang peserta Kilauan Emas Selebriti mencuri perhatian netizen apabila ramai memuji wajahnya yang masih kelihatan muda dan segak pada usia 57 tahun.
Mengakui membaca komen-komen tersebut, Rashdan menganggap pujian diterima sebagai satu bonus selain percaya faktor genetik turut memainkan peranan terhadap penampilannya.
“Memang ada yang cakap begitu. Kalau tengok komen di SINAR baru-baru ini, bila saya tengok komen itu, alhamdulillah.
“Sebenarnya benda itu bonus. Arwah bapa saya dulu pun, kalau saya jalan dengan arwah bapa, orang kata kami abang dan adik.
“Mungkin ada sedikit faktor genetik di situ,” katanya ketika ditemui Gempak baru-baru ini.
Menurut Rashdan, arwah bapanya juga seorang yang sangat mementingkan penjagaan kesihatan dan gemar mengambil pelbagai suplemen.
“Saya pernah jadi duta produk sebelum ini, terutamanya ‘stem cell’. ‘Stem cell’ itu sebenarnya bagus untuk regenerasikan semula sel-sel dalam badan.
“Mungkin daripada arwah bapa juga sebab kalau arwah bapa balik rumah, suplemen penuh atas meja macam farmasi.
“Pantang ada produk yang bagus, memang dia akan beli,” ujarnya.
Berkongsi mengenai rutin penjagaan kesihatan, Rashdan berkata, individu yang sudah memasuki usia 40 tahun ke atas perlu mula memberikan perhatian terhadap tubuh termasuk memastikan pengambilan air mencukupi.
“Dari segi kesihatan, bila kita cecah umur 40 tahun ke atas, kita dah kena mula ambil suplemen dan minum air yang cukup.
“Sebab kalau air tak cukup, itu yang kita cepat kedut. Bila kita minum air yang cukup, insya-Allah kulit akan jadi lembap.
“Selalunya saya minum juga teh tarik, sirap, Milo ais, semua kita belasah,” katanya.
Tambahnya, antara amalan yang diwarisi daripada arwah bapanya adalah minum segelas air suam sebelum tidur dan selepas bangun pagi.
“Alhamdulillah, ajaran daripada arwah bapa, sebelum tidur minum air suam segelas.
“Bangun tidur, sebelum gosok gigi, air liur basi masih melekat lagi itu, minum. Itu amalan saya daripada dulu,” jelasnya.
Malah, Rashdan mendakwa pengambilan air suam hariannya boleh mencecah lebih lapan liter sehari.
“Saya rasa lebih daripada lapan liter satu hari sebab saya banyak minum air suam.
“Kalau di kedai saya akan pesan air suam. Kalau minum teh tarik pun, teh tarik separuh sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, Rashdan turut menitikberatkan aspek pemakanan dan percaya penjagaan perut penting dalam memastikan tubuh kekal sihat.
“Kadang-kadang tak habis pun sebab sebenarnya nak rasa dekat lidah sahaja.
“Bila masuk dalam perut dia dah jadi racun. Sama macam makan, sesedap mana pun, bila masuk dalam perut dia jadi racun.
“Bayangkan sampah ikat seminggu tak buang, rasa-rasa apa ada dalam itu? Ulat semua keluar, sama macam perut kita.
“Punca segala penyakit daripada perut. Jadi jagalah perut anda. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rashid merupakan antara selebriti veteran yang bakal berentap dalam Kilauan Emas Selebriti 2026 yang akan membuka tirai pada 22 Ogos ini.
Kilauan Emas Selebriti 2026 bakal berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.
Dalam masa sama, penonton boleh mengikuti perjalanan peserta termasuk sesi latihan vokal, persiapan persembahan serta misi bantuan kemasyarakatan menerusi Diari Kilauan Emas Selebriti 2026 bermula 17 Ogos.
Podcast Kilauan Emas Selebriti yang dikendalikan penyampai radio Sinar, Faliq pula akan menemui penonton bermula 14 Ogos bagi menyelami kisah perjalanan dan pengalaman lampau peserta.