Sekilas
- Vokalis Slam, Zamani, memuji usaha Yuni Shara merakam semula lagu ikonik Gerimis Mengundang yang asalnya ciptaan Saari Amri.
- Lagu Gerimis Mengundang yang dilancarkan pada 1995 pernah mendapat pelbagai pencalonan dan pengiktirafan di Malaysia dan Indonesia.
- Zamani menganggap lagu ini sebagai masterpiece dengan melodi mellow yang sukar dicari, menjadikannya popular di Malaysia, Indonesia, dan Singapura.
Vokalis Slam, Zamani melahirkan pendapatnya selepas mengetahui lagu ikonik Gerimis Mengundang milik kugiran tersebut dinyanyi semula oleh penyanyi senior Indonesia, Yuni Shara.
Yuni Shara diketahui merakam semula lagu ciptaan komposer Saari Amri tersebut selepas berkongsi potongan dengan versi miliknya di platform media sosial.
Gerimis Mengundang merupakan lagu yang dimuatkan dalam album Terbaik Slam pada 1995. Pernah tercalon dalam Anugerah Juara Lagu pada 1996 dan tercalon menerusi kategori Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-4, Gerimis Mengundang kemudian menerima pengiktirafan sebagai Lagu Terbaik AIM Indonesia pada tahun yang sama.
Maka tidak hairan bagaimana kakak penyanyi Kris Dayanti yang memang terkenal membawa semula lagu atau cover song memilih Gerimis Mengundang sebagai ‘produk’ terkini miliknya.
Bercakap mengenai Gerimis Mengundang yang dirakam semula oleh Yuni, Zamani menyifatkan ia sebagai inisiatif yang baik dalam menghidupkan lagu malar segar buat generasi kini.
Beliau malah mengucapkan terima kasih kepada Yuni kerana sudah memilih untuk merakamkan semula lagu tersebut dalam versinya.
“Sebenarnya saya pun baru lihat dan dengar versi Yunia Shara. Menurut saya okay, not bad (boleh tahan) dan bagus kerana dia masih mengekalkan melodi cuma mendendangkan menerusi gaya dan versi beliau.
“Jadi saya mahu ucapkan terima kasih kepada Yuni Shara kerana usaha ini dan semoga ia dapat dilanjutkan pada masa akan datang buat didengari generasi masa kini,” ujar Zamani kepada Gempak.
Ditanya mengenai kekuatan lagu tersebut sehingga ia dipilih oleh penyanyi seberang untuk dirakam semula, Zamani menyifatkan Gerimis Mengundang sebagai masterpiece yang pernah dihasilkan oleh Saari Amri.
“Sebenarnya bila lihat penyanyi menyanyikan semula Gerimis Mengundang, bukan Kembali Terjalin misalnya buat saya terfikir tentang keistimewaan lagu tersebut adalah pada melodinya.
“Melodi mellow seperti itu susah mahu dicari dan Gerimis Mengundang adalah masterpiece dari Saari Amri walaupun kemudian menerusi komposer sama kami buat sambungannya iaitu Andai Gerimis Lagi,” ujarnya.
Ironi selain Yuni, Gerimis Mengundang telah dialih bahasa kepada lebih 20 bahasa di seluruh Asia dan menjadi lagu malar segar paling hit bukan hanya di Malaysia tetapi Indonesia serta Singapura.