Sekilas
- Zarif Ghazzi menegaskan populariti perlu disertai dengan kualiti lakonan untuk kekal relevan dalam industri seni.
- Pelakon KUDRAT 1968 ini menerima kritikan sebagai maklum balas untuk memperbaiki mutu lakonannya.
- Filem KUDRAT 1968: High Council lakonan Zarif kini sedang ditayangkan di pawagam bersama barisan pelakon lain yang hebat.
Pelakon, Zarif Ghazzi tidak menganggap populariti yang diraih merupakan satu tiket untuknya bermegah-megah.
Malah, pelakon filem KUDRAT 1968: High Council ini berpendapat bahawa populariti yang diperoleh perlulah seiring dengan kualiti lakonan bagi memastikan dirinya terus relevan dalam industri seni.
Ujar Zarif, perhatian yang diberikan peminat merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dijaga sebaik mungkin.
“Populariti saya perlulah selaras dengan kualiti lakonan saya. Sebab itulah saya percaya apabila menjadi terkenal dan dikenali ramai, segala projek saya mendapat perhatian, itu semua adalah tanggungjawab saya.
“Tanggungjawab saya untuk menjaga kualiti lakonan dan nama baik kerjaya saya,” katanya kepada Gempak.
Zarif berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Dua Nyawa bertempat di Diamond Lounge, Pavillion Damansara Heights, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Zarif memaklumkan dia juga sedia menerima sebarang kritikan mengenai lakonannya malah akan menjadikan komen itu sebagai cara untuknya memperbaiki segala kelemahan.
“Sudah tentu ada (komen tentang lakonan). Saya percaya semua itu sebenarnya nasihat untuk saya.
“Walaupun ada antara mereka yang menyampaikannya dengan kasar mengenai lakonan saya dan pelbagai kekurangan lain, saya mengambil semua itu sebagai maklum balas.
“Saya anggap itu adalah maklum balas untuk saya terus memperbaiki dan meningkatkan kualiti setiap lakonan serta naskhah yang saya jayakan.
“Terima kasih atas segala nasihat, DM, maklum balas, komen, kritikan dan juga pujian. Terima kasih atas semua sokongan anda,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Zarif iaktu KUDRAT 1968: High Council kini sedang ditayangkan di pawagam.
Selain Zarif, filem arahan Zulaikha Zakaria ini turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain seperti Mierul Aiman, Dai Fuad, Akmal Asyraf, Chech Harith, Evertts Gomes dan ramai lagi.