Sekilas
- Pelakon Zila Bakarin mempersoalkan tindakan Abiejam yang memuat naik video balas selepas dia meninggalkan komen spontan pada hantaran usahawan itu di media sosial.
- Zila tidak bersetuju komen tersebut dikaitkan dengan penampilannya yang berhijab dan statusnya sebagai ibu, serta menolak untuk mengulas lanjut isu berkenaan.
- Isu bermula apabila Zila memberi komen pada hantaran Abiejam yang berkongsi pembelian permainan squishy bernilai RM12,000 untuk kanak-kanak, yang kemudian mendapat pelbagai reaksi netizen.
Pelakon, Zila Bakarin mempersoalkan tindakan pempengaruh dan usahawan, Abiejam yang memuat naik video mengenai dirinya selepas dia meninggalkan komen pada satu hantaran dimuat naik pempengaruh itu di media sosial, baru-baru ini.
Menurut Zila atau nama penuhnya Rosmawati Bakarin, komen ‘tak bodoh, bijak pun tidak’ yang ditinggalkan hanyalah reaksi spontan terhadap pertanyaan yang dibuat Abiejam.
Pelakon yang terkenal dengan jolokan Ratu Threads itu kemudiannya terkejut dan tidak menyangka Abiejam akan memuat naik video balas mengenai komen tersebut.
“Saya juga netizen di situ. Salah ke saya cakap begitu? Fikirlah sendiri.
“Saya pun terkejut bila tengok video dia. Mungkin nak jadikan benda itu hype,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Zila turut mempersoalkan tindakan Abiejam mengaitkan komen tersebut dengan penampilannya yang kini sudah berhijab.
Ujar Zila, dia merasakan perkara tersebut tidak mempunyai kaitan ditambah pula dengan statusnya sebagai seorang ibu turut dibangkitkan.
“Dia boleh komen tentang saya dah berhijab, apa kena mengena? Apa kaitan dengan saya sudah berubah?
“Kenapa nak kaitkan saya sebagai ibu dan sebagainya? Tiba-tiba dia komen beritahu ibunya peminat saya dan telah paksa untuk benci saya. Saya hanya balas ‘kirim salam dekat mak’, kongsinya.
Bagaimanapun, Zila memilih untuk tidak memanjangkan isu berkenaan dan enggan mengulas lebih lanjut mengenai video yang dimuat naik usahawan itu.
Terdahulu, isu berkenaan tercetus selepas Zila meninggalkan komen pada hantaran Abiejam yang berkongsi tindakannya membelanjakan RM12,000 untuk membeli permainan squishy bagi diberikan kepada kanak-kanak.
Abiejam mendakwa komen tersebut memberi kesan kepadanya apabila tindakannya itu mengundang pelbagai kecaman daripada pengguna media sosial.
Usahawan berkenaan turut mempersoalkan komen Zila kerana beranggapan ia tidak selari dengan imej pelakon itu yang kini berhijab dan bergelar ibu.