Sekilas
- Zul Huzaimy sentiasa mengingati pesanan arwah ibunya untuk menjaga nama baik dan berperibadi mulia sepanjang hayatnya.
Arwah ibunya menasihati Zul supaya menjadi insan yang baik dan menjaga adab supaya disayangi orang dan selamat dunia akhirat.
Pelakon terkenal, Zul Huzaimy mengakui tidak pernah melupakan pesanan arwah ibunya dan akan berpegang kepada nasihat itu sampai bila-bila.
Menurut Zul, arwah ibunya sentiasa mengingatkan dirinya agar sentiasa menjaga nama baik dan berperibadi mulia.
“Mak saya ni satu sahaja, dia nak saya jaga nama baik baik, apa sahaja yang dia pesan semuanya yang baik baik sahaja.
“Kalau dia rotan atau marah pun, sekarang bila sudah berkahwin dan ada anak, baru saya tahu kenapa saya kena buat begitu juga,” katanya ketika ditemui Gempak.
Kongsi Zul, antara pesanan paling diingati adalah sentiasa menjadi insan yang baik dan menjaga adab.
“Salah satu pesanan yang saya tak akan lupa adalah dia kata kita ini kena jadi orang, maksudnya jangan buat sebarangan.
“Bila orang sayang kita pun selamat dunia akhirat, begitulah pesanannya kepada saya.
“Namun bila kita ni manusia kita tak akan lari daripada buat kesilapan, tak semua orang suka, kita cubalah ke arah itu, insya-Allah,” kongsinya.
Zul merupakan bintang dalam program Muzikal Lawak Superstar 5 (MLS5) bersama kumpulannya iaitu Jozon yang dianggotai oleh Joey Daud dan Norreen Iman.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Jozon apabila kumpulan itu diumumkan sebagai bintang yang tersingkir di minggu suku akhir MLS5.
Selain Jozon, kumpulaj Genzi yang dianggotai oleh Aziz M Osman, Acony dan Ilham juga diumumkan sebagai bintang yang tersingkir.
Tersahulu, ibu Zul, Azmi Ibrahim meninggal dunia pada 4 November 2025 akibat komplikasi buah pinggang.