FAKTA 1

Tahukah anda, puisi ‘Kota Anak Generasi' karya Raihani Mohd. Saaid telah ditukang semasa usia penulisnya belum mencecah 16 tahun? Walaupun dikerjakan semasa penulisnya masih memanaskan bangku sekolah tingkatan empat, puisi ini telah diumumkan memenangi Hadiah Puisi ESSO-GAPENA II dan beliau merupakan pemenang paling muda dalam sejarah sayembara tersebut. Malah ketika majlis sidang akhbar pengumuman pemenang Hadiah Puisi ESSO-GAPENA II dilangsungkan pada 1995, penulis datang ke sidang akhbar dengan beruniform sekolah!

FAKTA 2

Puisi ‘Kota Anak Generasi’ tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan, yakni kurang daripada seminggu sahaja. Drafnya tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapa pun, hatta kepada ibu penulis yang juga seorang penggiat sastera iaitu Yang Berbahagia Dato’ Dr. Zurinah Hassan (Sasterawan Negara ke-13).

Penulis puisi mengambil rentetan peristiwa sejarah dan sudut pandang seseorang yang berpesan kepada anak generasi supaya menjaga ‘kota’ yang diwariskan kepada mereka. Paling istimewa, puisi ini masih dan sangat relevan sebagai renungan dan inspirasi buat millennial tahun 2017, malah untuk para anak muda dekad-dekad hadapan.

FAKTA 3

Lukisan ‘Kota Anak Generasi’ yang dipaparkan dalam video ini telah melalui empat kali saringan idea. Fasa idea yang pertama dan kedua menghasilkan dua lukisan yang berbeza. Berikut merupakan draf pertama dan draf kedua.

FAKTA 4

Pada peringkat saringan idea yang ketiga, kedua-dua pelukisnya, Aizat Amir Ahmad dan Muhammad Hazul Abu Bakar bersepakat menggunakan watak seorang kanak-kanak lelaki sebagai subjek utama lukisan. Subjek ini lebih fokus malah amat signifikan dengan kandungan puisi ‘Kota Anak Generasi’ yang berpesan kepada anak-anak muda supaya menjaga dan mempertahankan maruah negara.

FAKTA 5

Aizat Amir Ahmad dan Muhammad Hazul Abu Bakar merupakan pelajar Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ASWARA, anak didik kepada Pensyarah ASWARA bernama Mohd Safwan Ahmad yang bertindak sebagai Koordinator Lukisan.

FAKTA 6

Hasil perbincangan bersama Pengarah dan pasukan video InTrend, topeng putih ala topeng adiwira yang menutup wajah kanak-kanak lelaki dalam lukisan, digugurkan daripada lukisan. Maka inilah hasil akhir.

FAKTA 7

Tahukah anda, budak lelaki yang dipotretkan dalam lukisan ‘Kota Anak Generasi benar-benar wujud? Untuk menghidupkan watak kanak-kanak lelaki dalam lukisan ‘Kota Anak Generasi’ ini, pelukis menggunakan foto anak lelaki Pensyarah mereka sebagai rujukan dan sumber ilham. Hasilnya, figura adik Muhammad bin Mohd Safwan yang kini berusia 2 tahun 4 bulan dan 29 hari, terpotret segak.

FAKTA 8

Puisi ‘Kota Anak Generasi’ merupakan ‘adik’ kepada sebuah puisi patriotik yang berjudul ‘Istana Kemerdekaan’. Ia ditulis untuk mengiringi penyertaan Puisi ‘Istana Kemerdekaan’ yang dihantar untuk bertanding dalam Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA II, hasil dorongan semangat pembimbing bengkel penulisan puisi iaitu Allahyarham Penyair Zahari Hasib.

FAKTA 9

Lukisan ‘Kota Anak Generasi’ telah didrafkan secara digital. Apabila dipindahkan ke kanvas bersaiz 8 kaki tinggi dan 8 kaki lebar, ia direalisasikan dengan apikasi cat minyak JOTUN Majestic True Beauty dengan penggunaan warna-warna asas seperti putih, hitam, merah, biru dan kuning.

FAKTA 10

Kedua-dua deklamator ‘Kota Anak Generasi’ melalui proses ‘rehearsal’ sebanyak dua kali sebelum menjalani penggambaran sebenar yang berlangsung pada hari Isnin, 14 Ogos 2017, yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar jam 8.00 malam.

JOM TONTON VIDEO PENUH "KOTA ANAK GENERASI"

MOMEN DI BALIK TABIR YANG ANDA PERLU LIHAT