Walau tak mampu mengubati pedih dan peritnya kehilangan, namun kekuatan itu harus dicari dan dikumpul demi meneruskan kehidupan selepas ini. Betapa sakitnya rindukan insan yang telah pergi buat selamanya hanya yang pernah merasainya saja bisa tahu perasaan itu. Rasa itu yang kian mencengkam segenap sanubari.


Kredit Foto: Google

Dan mungkin itulah yang dirasai bahkan mungkin lebih bagi Bunga Citra Lestari selepas 10 hari pemergian suami tercinta. Rumah agam Bunga tidak pernah sunyi dan berhenti daripada terus diziarahi rakan taulan dan sahabat handai. Mengimarahkan rumahnya dengan mengadakan tahlil dan bacaan doa selamat selama tempoh ini, selebriti tersohor Indonesia ini masih memerlukan masa untuk mengumpul kekuatan saat susuk suaminya tiada lagi disisi menemani. Kumpulan anak-anak madrasah dan jemaah masjid silih berganti memohon kepada Yang Esa agar diberi kekuatan buat seluruh kerabat keluarga juga titipan doa buat Allahyarham Ashraf Sinclair.

Kredit Foto: IG Beepdo.com

Malah menjadi rutinnya dan keluarga mengunjungi pusara Allahyarham suami saban hari. Menitip doa dan menggamit rindu mengenang segala kenangan yang pastinya tersimpan kemas dalam memori. Kesedihan dan rindu itu pasti tiada penghujung kerana semuanya berlalu dengan begitu singkat. Sehingga artikel ini ditulis, masih tiada muat naik foto terbaru di laman Instagram milik Bunga yang mempunyai 14.4 juta pengikut. Hanya ruangan ‘tagged photos’ sahaja yang membolehkan pengikutnya melihat wajah terkini Bunga.


Kredit Foto: IG Bclashraf.sinclair


Selain kiriman doa, tahukah anda terdapat beberapa lagi amalan yang boleh disampaikan buat mereka yang sudah tiada? Ikuti penjelasan ini:
  1. Sedekah
Diriwayatkan dari Saidatina Aishah r.a. menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; ‘Sesungguhnya ibuku telah mati. Aku mendapatinya jika sekiranya ia berpeluang bercakap (ketika hampir matinya) nescaya ia akan bersedekah (yakni menyuruh agar dikeluarkan sedekah dari hartanya). Maka apakah baginya pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?’. Jawab baginda s.a.w.; ‘Ya’. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa sedekah orang yang hidup memberi manfaat untuk si mati.
  1. Doa
“Rasulullah s.a.w. masuk kepada jenazah Abu Salamah (pada hari kematiannya) dan sesungguhnya matanya terbuka, lalu baginda memejamkannya (yakni baginda menutup kelopak matanya dengan tangan baginda). Kemudian Nabi bersabda: “Sesungguhnya ruh ketika dicabut, diperhatikan oleh mata (yakni ketika ruh ditarik keluar dari badan, mata melihat ke mana ruh pergi)”. Lalu beberapa orang dari keluarganya berpekikan. Maka Nabi bersabda: “Janganlah kamu menyeru kepada mayat-mayat kamu melainkan dengan suatu kebaikan kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan”. Kemudian Nabi s.a.w. berdoa yang bermaksud: “Ya Allah! Berilah keampunan kepada Abi Salamah. Angkatlah darjatnya di kalangan orang-orang yang diberi petunjuk. Jadilah penggantinya bagi anak-anaknya yang masih tinggal. Kurniakanlah keampunan untuk kami dan untuknya, wahai Tuhan sekelian alam. Lapangkanlah untuknya di dalam kuburnya dan terangilah untuknya di dalam kuburnya”. (Riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa doa orang hidup akan memberi manfaat kepada si mati sekalipun doa itu bukan datang dari anaknya.

Sumber: http://koleksi-alqalam.blogspot.com/
  1. Membaca Al-Quran
Kelebihan membaca Al-Quran dan secara umumnya apabila diniatkan kepada si mati, pendapat menyatakan sampai pahala tersebut. Disertai dengan doa kepada si mati yang mana ia sudah pasti akan diperolehi oleh si mati. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” Riwayat Muslim (4310), Abu Daud (2882), al-Nasa'ie (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)
Sumber: https://muftiwp.gov.my/

Semoga dengan amalan ini dapat meningkatkan keimanan kita kepada-Nya selain dapat menyampaikan pahala buat mereka yang sudah tiada. Al-Fatihah.


Kredit Foto: IG Kiaisauraa