gaya hidup

Allah Uji Dengan Kegagalan Buah Pinggang Kronik. Tapi Semangatnya Kuat, “Sebab Utamanya Saya Boleh Lagi Bekerja,” – Ahmad Fuad

gempak
Huda Hussain
20/08/2021
10:00 MYT
Sponsor Banner
Allah Uji Dengan Kegagalan Buah Pinggang Kronik. Tapi Semangatnya Kuat, “Sebab Utamanya Saya Boleh Lagi Bekerja,” – Ahmad Fuad
Faktor gaya hidup, pemakanan yang tidak dikawal mungkin antara faktor penyumbang mengapa semakin ramai golongan muda yang mengalami penyakit buah pinggang.
Dan ketika hos Luar Biasa, Norman Hakim mengajukan soalan ini kepada Pakar Nefrologi, UPM Serdang, Dr Nor Fadhlina Zakaria, jawabnya, “Sebenarnya 35% daripada pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan dialisis adalah mereka yang berumur dibawah 45 tahun. Dan mereka inilah yang patutnya keluar bekerja, menanggung keluarga, melakukan aktiviti sihat. Tapi malangnya 35% itu sudah mulakan rawatan dialisis. Banyak faktor yang kita perhatikan kenapa mereka terpaksa melalui rawatan dialisis. Penyebab utama adalah kencing manis malah kebanyakan daripada kita cara pemakanan pun dah tak betul sekarang, makanan segera, duduk main game misalnya kurang aktiviti fizikal yang menjadi punca kepada masalah obesiti. Sekali gus mudah untuk dapat penyakit kencing manis dan darah tinggi. Satu lagi faktor yang dikenal pasti adalah pengambilan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit yang tidak dipantau dengan betul, tidak menggunakan dos yang tepat. Dan satu lagi adalah suplemen nak cantik, nak kulit putih, nak sado dan semua itu kalau tidak berbincang dengan pakar, mungkin akan memudaratkan.” Ulasnya terperinci.
Kredit Foto: Astro Prima
Kisah Luar Biasa Ahmad Fuad Sallehuddin Bekerja di GD Express sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan, dia yang juga peserta Program Return To Work (RTW) menggunakan rawatan Continuos Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD) kerana masalah kegagalan buah pinggang yang kronik. Dalam nada sebak, luahnya kepada kru Luar Biasa, “Pada mulanya saya tak tahu yang saya alami masalah buah pinggang. Sebab sebelum ni saya cuma ada demam denggi biasa saja. Bila masa dah sedar, saya terkejut tiba-tiba dah ada di ICU. Macam-macam mesin ada sekeliling saya.” Kongsinya mengimbau detik yang takkan pernah luput diingatannya.
Maklum mengenai perihal mencarum dengan Perkeso, ceritanya lagi “Keluarga dan pihak hospital ada beritahu tentang Perkeso untuk bantuan. Selepas berjumpa dengan Encik Hammad, daripada situ dia terangkan mereka boleh bantu dari segi alat perubatan. Saya gembira mendengar apa yang diterangkan sebab bila tahu kosnya agak tinggi” luahnya syukur.
Kredit Foto: Astro Prima
Normal Baharu Cara Kerja Fuad Berkongsi bersama kru produksi mengenai bagaimana dia mengendalikan mesin dan peralatan untuk melakukan hemodialisis APD ini, ujar Fuad, “Macam normal baharu. Saya perlukan tempat yang bersih, kemudian saya tak boleh nak buat kerja-kerja berat. Syukur majikan memahami keadaan saya sebab utamanya saya boleh lagi bekerja. Dengan bantuan yang diberi pihak Perkeso, saya dapat menguruskan rutin harian dan kerja saya dengan lebih teratur,” tuturnya mengakhiri perbualan. Dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes ini, Pengurus Kes Pejabat Perkeso Putrajaya; Hammad Mohd Saidi mengimbas semula semasa kali pertama berjumpa dengan Fuad. “Waktu saya jumpa dengan Encik Ahmad Fuad, keadaannya memang lemah sebab baru lepas buat rawatan dialisis. Walaupun saya nampak dia lemah, tapi saya dapat rasakan yang dia bersemangat untuk bekerja semula dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya ringkas.
Kredit Foto: Astro Prima
Melanjutkan perkongsian, bagi Hammad “Perkeso membantu dalam konteks pekerjaan Encik Fuad. Jadi peranan saya sebagai Pengurus Kes adalah berjumpa dengan pihak majikan, menghadiri lawatan ke tempat majikan untuk mengetahui bagaimanakah persekitaran tempat kerja, apa job demand dari segi fizikal dan mental,” tuturnya lagi.
Peranan Majikan Bagi Ketua Jabatan Sumber Manusia GD Express Sdn Bhd, Seh Pei Fang pihak syarikat telah melakukan beberapa perubahan setelah mengetahui pekerjanya, Fuad sudah berupaya kembali bekerja. “Perubahan yang ketara adalah waktu kerjanya. Selain itu, penyelianya ada melakukan perubahan dan pengubahsuaian dari segi tugasan. Tiada lagi kerja-kerja yang melibatkan pergerakan fizikal," terangnya.
Kredit Foto: Astro Prima
Di awal segmen sebelum itu, Luar Biasa yang diterajui dua hos iaitu Norman Hakim dan Shiha Zikir membincangkan topik Program Sokongan Pekerjaan bagi pesakit penyakit buah pinggang. Mengupas lanjut mengenai topik minggu ini, Ketua Cawangan Pemulihan & Perkhidmatan Perubatan Perkeso, Dr Mohamad Faznin Mohamed Talib dijemput ke set bersama Pakar Nefrologi, UPM Serdang, Dr Nor Fadhlina Zakaria. Antara kemudahan rawatan dialysis kepada pencarum Perkeso yang mengalami penyakit buah pinggang adalah:
  1. Hemodialisis
Rawatan ini dilakukan tiga kali seminggu, 4 jam setiap sesi rawatan.
  1. Peritoneal Dialisis
Rawatan ini boleh dilakukan dirumah atau di tempat kerja. Terdapat dua jenis rawatan: APD – Automated Peritoneal Dialysis. Rawatan ini dilakukan pada waktu malam ketika pesakit sedang tidur. Lapan hingga 10 jam setiap sesi. CAPD – Continuos Ambulatory Peritoneal Dialysis. Rawatan ini dilakukan empat kali sehari, 20-30 minit setiap sesi.
Kredit Foto: Astro Prima
Konklusinya, bagi orang berinsurans yang didiagnosis menghidap masalah kegagalan buah pinggang kronik; ketahuilah bahawa ia bukanlah titik akhir dalam hidup anda. Banyak pilihan rawatan disediakan dan konsultasi bersama pakar amat penting untuk merungkai dilema anda. Sematkan tekad dan iltizam untuk meneruskan kehidupan dan jalani rutin seperti biasa kerana dibawah Perkeso banyak skim dan program sesuai ditawarkan untuk anda.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024