Aidilfitri sememangnya sinonim dengan amalan bermaaf-maafan. Tangan diluhur, maaf dipinta sebagai simbolik memohon kemaafan atas segala salah silap yang sengaja mahupun tidak yang pernah dilakukan sebelum ini. Maaf zahir batin. Itulah skrip yang dilang-ulang. Tiga perkataan keramat ini cukup singkat tetapi amat mendalam maksudnya. Betapa kemaafan itu dipohon dari lubuk paling dalam dan seikhlasnya dilafazkan sambil mengharapkan yang sama jua berbalik kepada diri sendiri.

Kredit Foto: Google

Sungguh, bagi mereka yang pernah melalui betapa sukarnya mahu merelakan diri menerima permohonan maaf daripada sesiapa yang pernah menyakiti bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi jika luka dan parut itu masih bersisa, masih berbekas dan terasa.

Tetapi pernahkah terfikir selama mana mahu menyimpan dendam, jiwa tak tenang dan fikiran kusut memikirkan itu dan ini? Waima apa jua kesalahan yang dilakukan, berilah ruang dan masa untuk perlahan-lahan mengubatinya. Besar atau kecil, berat atau ringan itu semua terpulang kepada penilaian kita untuk memohon maaf dan menerima permohonan maaf.

Ingatlah, semakin bertambahnya usia kita semakin singkat masa yang berbaki untuk kita. Tidakkah ralat atau terkilan andai si fulan pergi berhijrah ke negeri abadi tanpa kita merelakan diri menerima permohonan maafnya? Selama mana mahu menyimpan dendam kesumat yang semakin lama hanya akan meninggalkan titik hitam dalam hati kita?

Kredit Foto: Google

“Ahhh, engkau tak ada di tempat aku. Mana mungkin engkau faham betapa sakitnya hati ini dilukakan?” Mungkin itu antara skrip yang seringkali bermain dalam fikiran sekali gus menjadi alasan kita melengahkan masa untuk menerima dan mempertimbangkan permohonan maaf. Memaafkan tapi tak mungkin melupakan, bukankah itu tidak ikhlas namanya?

Jangan ambil kerja Tuhan untuk menjatuhkan hukum. Kita tidak berhak jauh sekali layak. Justeru apa yang kita ada? Lapangkan dada tenangkan jiwa dengan rela seikhlasnya memohon maaf dan menerima maaf. Buang yang keruh ambil yang jernih. Jika kuku kamu panjang, yang dipotong adalah kuku bukan jari atau tangan. Jika berlaku salah faham atau masalah sesama ahli keluarga, yang perlu dibuang adalah ego dan perbalahannya bukan silaturahim yang sedia ada terjalin. Renungkanlah.

Kredit Foto: Google