Hal pandemik ini membawa impak yang besar kepada dunia. Bukan hanya berkisar perihal kesihatan, malah mengubah pelbagai sisi kehidupan daripada segi ekonomi, sosial dan keluarga sendiri.


Ramai yang kehilangan ahli keluarga terutamanya orang tua ketika pandemik ini terjadi. lebih memeritkan apabila ia berlaku pada kala Perintah Kawalan Pergerakan diistiharkan kerajaan, yang mana membataskan pergerakan kita untuk menguruskan pelbagai hal termasuklah menjenguk ibu dan ayah di kampung.


Syukur, dan hari ini kes dilihat semakin menurun dan kerajaan juga sudah melonggarkan beberapa syarat SOP. Antara yang sangat ditunggu rakyat adalah kebenaran untuk merentas negeri.


Ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman bertemu ayah, ibu dah ahli keluarga yang sudah lama tidak ketemu dek Covid-19 yang menggila. Atas faktor patuh pada arahan kerajaan, raai terpaksa menanggung rindu berjauhan berbulan-bulan malah ada yang bertahun tidak dapat menatap wajah orang tua tersayang.


Di sana sini, ramai anak-anak yang berkongsi momen indah saat pulang ke kampung disambut Ayah dan Ibu di depan pintu rumah. Ada yang berpeluk cium, makan besar bersama, berjemaah dan berbual sehingga ke dini hari, melepaskan kerinduan yang mendalam.


Sebaliknya juga, ada yang turut pulang ke kampung dalam suasana sayu. Apabila kaki menjejak laman rumah Ayah Ibu, tiada lagi susuk yang menyambut membuka pintu. Tiada lagi tangan untuk dicium.


Yang ada hanyalah pusara mereka untuk dikunjungi sebagai pengubat rindu. Ada yang pertama kali dapat pulang setelah ibu ayah kembali ke rahmatullah. Sayu dan hiba mengenangkan situasi itu.


Tidak kurang juga yang sudah berbulan-bulan tidak dapat jumpa, akhirnya pulang hanya dengan menatap jenazah yang sudah terkujur kaku. Begitulah takdir sesetengah orang di kala PKP berlarutan.


Justeru, bagi kalian yang masih punya kedua susuk tubuh mulia ini, sayangilah mereka, luangkan selama mana masa yang ada untuk bersama mereka. Jika berkesempatan pilihlah untuk pulang ke kampung dari pergi bercuti kerana ajal maut tidak mampu diramal.


Bagi yang sudah kehilangan, pujuklah hati. Perpisahan hanya seketika, Insya Allah di alam sana nanti kita pasti bertemu semula. Doakan mereka dan teruskan silaturahim yang ditinggalkan.