Highlights

Berniagalah Mencari Berkat – Apa Pun Lagak ‘Marketing’ Kita, Pastikan Tidak Tergadai Maruah dan Moral.

gempak
Afiza Kamarulzaman
16/09/2020
02:20 MYT
Sponsor Banner
Berniagalah Mencari Berkat – Apa Pun Lagak ‘Marketing’ Kita, Pastikan Tidak Tergadai Maruah dan Moral.
Perasaan bangga memang ada apabila melihat orang kita mampu bergelar jutawan hasil daripada berniaga. Sudah dikatakan bahawa, 9 daripada 10 rezeki itu datangnya daripada berniaga. Apatah lagi, dengan kewujudan platform digital hari ini memudahkan lagi jalan seseorang untuk bergelar usahawan.
Cuma, yang sedikit mendukacitakan apabila melihat keterujaan dan kemudahan itu kini semakin disalahgunakan oleh segelintir peniaga yang terlalu rakus dan ‘jahil’ dalam mencapai cita-cita dan mimpi. Ada yang sanggup menggadai maruah dan moral atas alasan ‘marketing’ dan melariskan jualan.
Jangan Sampai Diri ‘Bertelanjang’
Sangat menyedihkan apabila melihat ada sesetengah usahawan atau peniaga yang sanggup menjual produk dengan cara yang amat memalukan dan seperti tidak bermoral. Hilang semua adab dan kesopanan di tengah khalayak apabila ada yang sanggup memakai pakaian mencolok mata hanya untuk menarik perhatian pelanggan. Juga melakukan aksi-aksi lucah.
Tidak kurang juga yang sanggup bercerita dan membuat pendedahan yang keterlaluan sehingga mencelak kisah dalam kain dan suami isteri dengan menggunakan ayat-ayat lucah atau double meaning. Cara seperti ini sangat bercanggah dengan etika kita dan di mana perginya rasa malu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada orang Islam?
Ada juga dilihat menggunakan kata-kata jahat, mencarut, berbahasa kasar semata-mata mahu kelihatan ‘sempoi’ dan ‘real’ apabila melayani pelanggan dan followers di media sosial mereka. Kita yang melihat pun terasa malu, bagaimana dengan keluarga dan anak-anak mereka sendiri?
Kredit Foto: Google
Dan, Kenapa Masih Ada Yang Menyokong?
Bukan niat untuk meletakkan pasir ke periuk nasi orang yang berniaga. Namun, jika ini berlarutan dan dilakukan tanpa rasa bersalah, kita bimbang ia membawa virus dalam masyakarat terutamanya kepada anak-anak muda. Kita bimbang anak-anak akan berasa berbuat seperti itu sebagai ‘tidak mengapa’ dan normal.
Ia tidak normal! Memperagakan tubuh badan dengan pakaian mencolok mata, berkata dengan perkataan lucah dan mengajak orang ke arah kerosakan moral adalah sesuatu yang harus ditegah dan diboikot. Kita mahu membantu orang kita untuk mencari rezeki tetapi kita juga mahu bantu masyarakat kita berada pada landasan moral yang sebenar.
Berniagalah Dengan Adab dan Keberkatan
Percayalah pada rezeki Allah. Jika kita meninggalkan cara pemasaran yang lagha itu, pasti ada jalan lebih baik yang Allah ilhamkan nanti. Tidak semua cara melariskan jualan itu halal hukumnya. Di sinilah, Allah mahu menguji kita sama ada mampu memujuk nafsu agar tidak melakukannya meskipun menjanjikan pulangan yang lumayan.
Fikir kembali, adakah berkat hasil jualan dan keuntungan kita itu jika dengan melanggar hukum Allah. Memperagakan tubuh, berpakaiakan mendedahkan menggoda, membongkar aib rumah tangga, hal dalam selimut, berkata yang kesat, menipu dan mengiyakan keberkesanan yang palsu – semua itu contoh ‘marketing’ yang tidak baik dan memudaratkan. Bukan hanya diri kita, malah masyakarat.
Berniagalah dengan rasa tanggungjawab. Hidup ini bukan tentang diri kita sahaja. Bagus untuk berniaga sambil membuka peluang rezeki kepada orang lain tetapi biarlah dengan jalan yang lurus. Tak mengapa jika pulangannya tidak sebanyak mana, asalkan yang sedikit itu halal dan bekat di sisi Allah. Insya Allah. Belum terlambat untuk mengubahnya...
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live