gaya hidup

Bulan Ini Waktu Terbaik Dekatkan SAF Suami Isteri – Refresh Hubungan, Suburkan Iman. Solat, Sahur, Berbuka Bersama.

gempak
Afiza Kamarulzaman
14/04/2021
14:10 MYT
Sponsor Banner
Bulan Ini Waktu Terbaik Dekatkan SAF Suami Isteri – Refresh Hubungan, Suburkan Iman. Solat, Sahur, Berbuka Bersama.
Banyak hikmah yang Allah kurniakan dalam bulan Ramadan ini. Ia bukan hanya tentang puasa menahan lapar dan dahaga. Jika difikir dalam-dalam, sebenarnya banyak rahmat dan kelebihan yang Allah selitkan secara kita tidak sedar.
Bulan inilah masanya untuk kita melipat gandakan amalan yang mungkin tercicir pada bulan-bulan biasa. Inilah detiknya untuk kita memperlahankan sedikit pecutan duniawi untuk melebihkan pengisian akhirat.
Ramadan Merapatkan Hubungan Keluarga
Secara tidak langsung juga, masa inilah kita dapat lihat bagaimana sebuah rumah kembali meriah penuh dengan aktiviti merapatkan silaturahim, diimarahkan lagi dengan agenda keagaaman yang jarang dapat dilakukan pada bulan biasa.
Jika sebelum ini, suami isteri sibuk dengan urusan kerja sehingga jarang dapat makan semeja. Tahu-tahu sudah berada di bilik untuk tidur sahaja. Namun, dengan adanya ibadah puasa, dapatlah sebulan ini suami dan isteri bersahur dan berbuka bersama.
Lebih indah lagi jika suami dan isteri mencuri peluang yang ada dengan bersolat jemaah bersama-sama dan lebih manis jika disusuli dengan solat sunat tarawih bersama-sama. Malah ada yang sama membaca Quran sepanjang bulan puasa itu sehingga dapat khatam serentak.
Kredit Foto: Google
Detoks Hubungan Menjadi Lebih Suci dan Aman
Entah kenapa bulan Ramadan ini nikmatnya lain macam. Menjalani hari-hari di dalamnya terasa begitu berbeza dengan bulan lainnya. Terasa sangat bersih dan tenang sahaja dari subuh hingga ke tengah malamnya.
Jadi, untuk bertelagah dan bermasam muka dengan pasangan pun tidak terfikir. Lebihnya masa yang ada dipenuhi dengan pengisian yang baik dan positif. Inilah antara tanda keberkatan yang diberikan Allah kepada hamba Nya dalam menghayati bulan mulia ini.
Sebagai suami, pemimpin rumah tangga, apa kata ajak isteri untuk selalu solat berjemaah jika ada peluang waktu. Susuli dengan sunat tarawih, bertazkirah dan mengaji bersama-sama. Masa ini jugalah waktu terbaik untuk mendidik anak isteri menuju jalan yang lebih baik.
Buat isteri pula, berlatihlah untuk menjadi isteri solehah yang taat dan sentiasa berlemah-lembut dengan suamimu. Inilah juga waktunya untuk mengejar pahala dengan mudah. Gerakkan seisi rumah untuk bersahur, masakkan makanan berbuka antara yang boleh dilakukan menambah manisnya iman di bulan ini.
Semoga Ramadan tahun ini menjadi Ramadan terbaik yang pernah dilalui sepanjang kehidupan kita.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live