Ramai pesan, zaman sekarang jangan memilih kerja. Dalam ketenatan ekonomi dan situasi pandemik yang melanda dunia, sambar saja apa peluang yang ada di depan mata. Selagi ia memberi pulangan rezeki halal.


Yang menyedihkan, kebanyakan anak muda hari ini mengeluh apabila sukar mendapat tempat bekerja, apa lagi untuk mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain. Di mana silapnya? Adakah majikan yang menghadkan penggunaan sumber manusia atau orang kita sendiri yang semakin memilih kerja?


Ada sesetengah keluhan majikan yang menyalahkan generasi muda hari ini yang semakin ‘fragile’ apabila berdepan cabaran kerja sebenar. Mereka tidak bersedia fizikal dan mental serta menganggap dunia pekerjaan sebenar seumpama padang permainan di zaman belajar dulu. Masih mahu main-main dan acuh tak acuh.


Mungkin, bingkisan pengalaman daripada wanita ini boleh dijadikan sumber inspirasi buat kalian yang masih mencari lapangan kerjaya yang ingin diterokai. Galilah sebanyak mana peluang yang ada selagi usia masih muda, kelak nanti tidak menyesali apa yang sudah dibaziri.







Boleh ceritakan sikit latar belakang perjalanan kerjaya dari awal dulu?

Sejujurnya perjalanan kerjaya saya bermula 18 tahun dulu ketika bermula sebagai pelatih industri di salah sebuah agensi periklanan terkenal di Malaysia, McCann Erickson. Boleh dikatakan saya teramat ‘hijau’ ketika itu.

Namun segala tugasan yang diberikan walau sekecil mana pun saya pastikan dilaksanakan sebaiknya. Ini kerana sejak kecil lagi saya memegang teguh amanat arwah Abah saya di mana dia sering berpesan, “Walau kita ni kerja sebagai tukang sapu sekalipun, jadilah tukang sapu yang terbaik di dunia.”

Usai tamat pengajaran dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi Massa khusus dalam Periklanan dari UiTM Shah Alam, saya terus memulakan kerjaya di sebuah agensi pemasaran di Kuala Lumpur. Biarpun tidak terkenal namun banyak yang dapat saya belajar di sana.

Bagaimana pun, hati saya masih belum tenang, dan masih ada mimpi yang ingin dikejari. Ya, saya mahu jadi penulis. Kebetulan batchmate saya ketika di UiTM bekerja di majalah Jelita di bawah naungan syarikat Berita Publishing. Walaupun, gaji saya terpaksa di potong hampir separuh, saya begitu teruja memulakan kerjaya sebagai penulis di bawah tunjuk ajar, Puan Pengarang, Wan Sabariah Shikh Ali.

Namun kerana faktor gaji dan ekonomi, saya terpaksa tinggalkan meja editorial itu dan menerima tawaran bekerja di agensi periklanan di Naga DDB dan kemudiannya di Ogilvy & Mather sebagai penulis iklan.

Sejujurnya saya suka bekerja di agensi kerana pengurusan yang sistematik selain dikelilingi dengan kelompok manusia yang ‘kreatif gila’. Cumanya, pada ketika itu saya berasa kurang puas menulis dalam bidang periklanan berbanding media cetak. Alhamdullilah, rezeki murah.



Bagaimana pula permulaan kerjaya di majalah fesyen berprestij selepas itu?

Saya menerima panggilan telefon daripada figura legenda bidang media cetak waktu itu. Siapa lagi kalau bukan the one and only, Editor tersohor, Wirda Adnan. Daripada penulis di GLAM dan akhirnya dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Gaya Hidup, saya kemudiannya ditawarkan pihak pengurusan Blu Inc ke majalah Cosmopolitan sebagai Timbalan Pengarang. Pejam celik, lapan tahun juga saya di Blu Inc.

Kerjaya di situ banyak mengajar dan membuka mata saya terhadap dunia glitz and glamor. Tidak mustahillah mengapa dalam filem The Devil Wears Prada, kerjaya ini dikategorikan sebagai, “A million girls would kill for this job.”

Saya menghargai tahun-tahun sebagai penulis majalah dan bila tibanya masa saya melangkah pergi dan kembali ke bidang periklanan yang telah saya tinggal selama beberapa tahun, saya jadi lebih bersedia. Dan betul lah kata orang, pengalaman mematangkan kita.

Ternyata hijrah selama enam tahun di Leo Burnett (LB) membuka lebih banyak rezeki dan peluang. Menjadi Ketua Kreatif (Creative Group Head) di LB antara highlight terbesar di dalam kerjaya saya selama ini.







Boleh kongsikan bagaimana anda terjebak dari bidang periklanan ke e-commerce?

Sebenarnya saya dah lama berminat ingin menceburi bidang digital dan e-commerce sejak di LB. Apatah lagi saya berkesempatan untuk melaksanakan beberapa kempen yang hanya fokus kepada dunia digital sebelum ini jadi minat itu semakin memuncak.

Sejujurnya, saya begitu selesa dengan kerjaya di LB. Yelah saya memiliki team, majikan dan client yang terbaik. Apa lagi yang saya mahukan? Cumanya, saya mahu mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa.

Kebetulan selepas Ibu saya meninggal, trauma kehilangan itu mengajar saya untuk mengejar impian selagi terdaya. Kerana esok belum tentu ada. Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari. Biar gagal kerana mencuba daripada gagal kerana tidak berusaha.

Bagaikan takdir, saya menerima pelbagai tawaran daripada syarikat e-commerce dan akhirnya memilih kerjaya sebagai Pengarah Kreatif di The dUCk Group. Sama juga seperti pekerja lain, saya juga ditemuduga sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif nya, Datuk Fadza dan Pengasas Bersama, Datin Vivy Yusof.



Apa perbezaan antara kedua kerjaya ini? Cabaran keduanya?

Sebenarnya jurang perbezaannya tidak terlalu ketara. Bidang kreatif masih menjadi fokus utama. Cumanya saya perlu mempersiapkan diri mengenali selok-belok operasi perdagangan secara digital serta beberapa aspek teknikal lain yang perlu dimahirkan. Seperti yang saya katakan tadi, pengalaman di beberapa buah industri seperti, pemasaran, periklanan dan media cetak banyak membantu saya melaksanakan tugas-tugas harian. Jadi tidaklah terlalu kekok.




Boleh ceritakan pengalaman ketika bersama McDonald’s Malaysia?

Seperti yang saya katakan tadi, it was an experience yang akan dikenang sehingga akhir hayat. Mengenali dengan lebih mendalam jenama yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia ini menjadikan kemahiran saya lebih meluas di dalam merancang sesuatu strategi.

Ditambah pula dengan client kami yang cukup memahami dan sama-sama membangunkan jenama ini hari demi hari, memudahkan segala cabaran yang dihadapi. Kenangan yang paling manis tentunya apabila kami berjaya menaikkan nama McDonald’s Malaysia sehingga dianugerahkan anugerah Platinum di Putra Brand Awards 2019!







Ketika bersama McD, team anda berjaya hasilkan antara iklan yang sangat impactful ketika itu, boleh kongsikan?

Antara yang manis adalah apabila kami berjaya menghasilkan kempen iklan yang menggunakan ASMR sebagai tema untuk Ayam Goreng McD! Bayangkan dek kerana iklan itulah, Ayam Goreng McD sold out dalam masa seminggu selepas pelancarannya. Dalam pengiklanan, kita mesti faham apa produk kita dan kenal siapa pelanggan kita?



Based on your experiences, sejauh mana keberkesanan pengiklanan kepada sesebuah jenama terutamanya pada zaman kemajuan digital kini?

Semestinya! Cuma pada zaman 2021 hari ini, iklan lebih subtle. Contohnya; penggunaan KOL untuk setiap kempen. Kadang-kadang tanpa kita sedar, content yang dihasilkan mereka adalah sebenarnya ‘iklan’. Industri periklanan akan sentiasa maju ke depan, sejajar dengan perubahan teknologi dan masa. Cuma kita perlu peka atas apa jua kehendak pelanggan pada masa ini. It has to be quick!



Dengan pengalaman kerja yang menimbun, terfikir untuk membina perniagaan sendiri satu hari nanti?

Kalau nak diikutkan saya ni adalah orang yang kuat berangan dan mempunyai pelbagai cita-cita. Haha! Walaupun dari segi luaran saya ni langsung tiada ciri-ciri usahawan namun dengan pengalaman yang saya peroleh selama ini, ada juga terdetik untuk memulakan perniagaan sendiri. Yang pastinya ia tiada kaitan dengan produk tetapi lebih kepada perkhidmatan. Namun ianya hanyalah sebuah angan-angan buat setakat ini.



Nasihat anda kepada anak muda sekarang yang masih tercari peluang kerjaya?

Walau apa jua bidang yang kita ceburi, buatlah sehabis boleh sebelum kita menyerah. Namun, kegagalan hari ini adalah kejayaan di hari esok. Kalau kita tidak berjaya di dalam sesuatu bidang, tidak semestinya kita akan gagal di dalam bidang yang lain. Teruskan mencari sehingga kita menemui bakat kita nanti. Yang penting, always trust the process and enjoy it!