Kalau kamu peminat dunia solekan dan suka ‘mengintip’ media sosial jurusolek-jurusolek tempatan, pasti kenal wanita dari Tanjung Dawai, Kedah ini. Dia orang biasa – sangat biasa. Asal-usulnya tiada yang membanggakan. Kisah hidupnya juga tiada mencatatkan apa-apa sejarah. Tidak langsung berpendidikan tinggi, malah tiada siapa pun kenal kaum kerabatnya. Bukan selebriti mahupun artis. Tidak pernah ke akedemi solekan atau memanjat tangga universiti, namun satu yang Tuhan beri kepadanya; bakat luar biasa yang diasah menjadi pedang yang tajam!


Seketika sahaja penulis mengirimkan WhatsApp kepada pembantunya, Atikah mengusulkan hajat untuk menemubual Bella, segera dibalas pada ketika itu juga. Tidak sampai sehari, penulis dapat berbual dengannya. Seperti yang sudah dijangka, orangnya ‘super peramah’. Dengan loghat Kedahnya, perbualan kami bagaikan kawan karib yang sudah lama kenal. Bersahaja dan begitu jujur setiap jawapan yang terpacul daripada Bella atau nama sebenarnya Nor Nabila yang kini berusia 28 tahun. Jom, kenali siapa dia ini yang tiba-tiba viral dan menjadi ‘jurusolek segera’ yang berjaya meraih jutaan pengikut di media sosial hingga tercalon sebagai Influencer Meletop untuk Anugerah Meletop tahun ini.



Kredit Foto: IG Mua Bellaz




Khabarnya, Bella asalnya dari keluarga yang sangat susah dan ini bukan cerita rekaan untuk meraih simpati netizen?

Ya, susahnya kehidupan Bella dulu bukan susah yang biasa-biasa. Kesusahan yang umpama kais pagi makan pagi. Rumah pun tiada kelengkapan seperti dapur atau peti ais. Memasak pun masih menggunakan dapur kayu, percayalah! Bapa Bella orang Turki dan bekerja sebagai nelayan manakala emak orang Melayu dan tidak bekerja. Ada masanya bapa terpaksa ke pulau beberapa hari, maka selama itulah kami anak-beranak bercatu makan. Kalau setakat makan nasi dengan ikan kering, kicap atau telur goreng itu sudah menjadi kebiasaan. Bella anak ke empat daripada tujuh beradik tetapi anak perempuan sulung dalam keluarga. Selalunya anak perempuan ni rasa tanggungjawab dia lebih kuat walaupun ada abang-abang atas Bella. Jadi, Bella mengambil keputusan untuk bekerja sambil bersekolah. Kalau waktu persekolahan, Bella membantu di kedai makan pada sebelah petang dan malam. Apabila cuti, Bella akan buat dua jenis kerja sekaligus; bekerja di kedai ikan (tugas asing-asingkan ikan) dan di kedai makan. Dengan duit itulah dapat membantu keluarga. Susahnya Bella waktu sampaikan Bella pernah nak telefon rancangan Bersamamu untuk datang ke rumah Bella sebab Bella memang jenis tak malu mengaku diri ini susah dan kadang-kadang apabila melihat orang-orang yang dibantu dalam rancangan itu tidaklah sesusah keluarga Bella, rasanya macam tak adil, rumah mereka ada peti ais, televisyen. Hahaha...



Bella memutuskan untuk berkahwin pada usia muda, kenapa?

Kerana kesusahan keluarga dan Bella tidak mahu terus membebankan mak dan ayah. Apabila suami ajak kahwin, terus Bella setuju yakni pada usia Bella 20 tahun. Walaupun suami bukanlah orang senang, suami hanya bekerja sebagai runner di sebuah syarikat waktu itu, Bella tidak kisah. Dan, yang paling Bella happy sebab suami ada kereta Kancil, hahaha. Teringat dulu, masa kami baru bertunang, suami suruh Bella ajak adik-adik ikut keluar makan. Cerita ini sampai bila-bila Bella tak akan lupa. Selepas sudah sampai di kedai makan, Bella dan suami sudah pun turun dari kereta. Kemudian, tengok adik-adik masih belum turun. Apabila Bella tanya kenapa tak turun? Mereka kata tak tahu macam mana nak buka pintu kereta? Nah, punyalah kami ni miskin naik kereta pun tak pernah tau!



Belek2 fon Lama... Alahai terjumpaaa gmbar awal2 kawen masa ni kmi dah sarat 9 bulan nk lahir eica.... Masa nilahhh makan cukup2 apa ada saja laki bini.... Dia sorg ja berkrja cek suri rumah sepenuh masa... Nk beli apa2 smua kena hold pikiaq nk belnja keprluan harian2..start makeup masa ni smpai lani alhmdulilah rezeki suami isteri.. Pling syg tu belakang kami jentera bawak kami ke sana sini.. Bnyak jasa diaaa....tpi awt laki kmi matain lahhh.. ??

A post shared by MUABELLAZ (@muabellaz) on





Bagaimana mula-mula terjebak dengan dunia solekan?

Seperti yang selalu Bella beritahu di media sosial Bella, daripada hanya suka-suka, tak buat apa di rumah, Bella conteng-conteng muka untuk isi masa lapang. Bella sebenarnya suka melukis dan apabila dah mula mekap, baru Bella sedar yang melukis dan mekap ni lebih kurang sama sahaja tekniknya. Kemudian, lepas dah mekap, Bella pun post lah di Facebook. Dulu, tak lah ramai yang komen dan like, waktu itu tahun 2011. Tapi makin lama, makin ramai pula yang tegur kata solekan Bella cantik. Boleh dikatakan dalam sehari dua kali Bella tukar-tukar mekap, sampaikan mak mertua pun tegur (duduk dengan mak mertua), nak ke mana cantik-cantik ni? Dalam hati, eh mak mertua pun kata cantiklah. Lagilah bersemangat!



Mana dapat duit beli barang mekap waktu itu?

Ni nak cerita ni, disebabkan kita ni tak bekerja, harapkan duit suami saja, maka beli jelah produk-produk cap ayam yang murah-murah tu. Kalau sebatang celak itu, Bella boleh multi fungsikan ia menjadi pembayang mata, gincu juga sebagai pemerah pipi. Jimatlah sikit. Pernah sekali tu, suami bawa pergi pasar malam, Bella ternampaklah satu palet pembayang mata jenama Miss Rose. Mintalah dekat suami belikan, bukan mahal pun RM15 je tapi suami kata tak usah dululah, tunggu gaji. Waktu itu memang Bella sedih, balik rumah pun muka monyok. Lepas beberapa hari tu, suami buat kejutan. Dia kata; “pergilah tengok bawah bantal tu...” Rupa-rupanya, suami belikan juga palet yang Bella nak tu. Ya Allah, masa tu punyalah seronok macam dapat rantai emas!



Daripada hanya suka-suka, bagaimana boleh menjadi jurusolek sebenar?

Makin lama, makin ramai yang follow Bella di media sosial. Bella teringin juga nak masuk kelas mekap, tetapi apabila tanya yurannya, aduhai tak mampu. Ada yang sampai RM1800. Jadi, Bella belajar dari Youtube dan Instagram saja. Asyik mengadap telefon sampai habis data, kesian suami yang kena top up. Kemudian, ada seorang follower ni tanya Bella ada mekapkan orang tak? Dengan yakinnya, Bella cakap ada! Dalam hati, alamak! Dia orang Kuala Lumpur tapi majlis di Pendang, Kedah. Apabila dia tanya berapa caj? Bella tak retilah nak jawab sebab tak pernah mekapkan orang. Bella pun cakaplah, bagi jelah duit minyak dan upah sikit, dalam RM50 boleh? Terkejut orang tu! Dia kata murahnya.





Makeupbybellaz Cantik x look ni ??

A post shared by MUABELLAZ (@muabellaz) on





Dan, Bella pergi mekapkan dia menggunakan alat solek jenama cap ayam itu?

Ya, manalah kita ada duit nak beli produk label-label terkenal. Lagipun dulu orang tak berapa tahu sangat bab-bak mekap ni, kan? Dengan yakinnya, Bella bimbit beg mekap Avon yang biasa, bukan yang macam makeup artist selalu guna tu, yang bertingkat-tingkat tu. Suami sanggup ambil cuti hantarkan Bella ke situ sambil bawa anak kecil. Sebelum masuk ke rumah pengantin, Bella siap-siap susukan anak dan letak kepada suami untuk tengokkan. Duduklah dua beranak tu tunggu bawah pokok sebab kereta tiada aircond. Nak tahu, untuk solekan pertama kalinya itu, Bella mekapkan dia selama tiga jam! Punyalah lama sebab buat sepenuh hati. Alhamdulillah, sebaik tengok ke cermin, pengantin itu sangat seronok dan memuji-muji hasil solekan Bella walaupun pakai bulu mata kedai dua ringgit! Hahaha...




Bagaimana seterusnya kerjaya persolekan Bella memuncak naik?

Oh, selepas Bella memuat naik gambar pengantin tu, ramailah yang komen cantik dan mulalah mereka mahu cuba servis Bella. Dua tahun itu memang rezeki Bella dihujani dengan job mekapkan pengantin sana sini. Oh, masa itu dah pandai beli barang mekap di Watsons, habis hati dapat beli produk jenama seperti in2it, Maybelline dan sebagainya. Lama-kelamaan, dah pandailah masuk Sephora pula, hahaha... Kemudian, ada yang bagi cadangan kenapa Bella tidak adakan kelas mekap? Pada 2015, Bella mula anjurkan kelas mekap dari satu negeri ke satu negeri. Satu kelebihan Bella, Bella agak cepat bab teknologi ni. Jadi, Bella mula create FB page; Makeup by Bellaz, Z tu singkatan huruf pertama nama ayah, untuk berkongsi pelbagai aktiviti Bella di samping buat live. Bella ni kan tak berapa pandai Bahasa Inggeris, dekat FB tu kan kena letak status apa kita nak, jadi Bella pun letaklah Public Figure. Sangka Bella public tu awam, mungkin maksudnya orang awam, Bella kan orang awam. Beranganlah kita letak diri ni Public Figure. Hahaha...





Wey kami nak live ..... Stg tgk naa hihihi

A post shared by MUABELLAZ (@muabellaz) on





Bagaimana mengecapi kemuncak sebagai bintang media sosial, terkenal dan berpengaruh sekelip mata?

Ya, Bella pun tak sangka. Daripada Bella selalu buat makeup live itulah, nama Bella mula dikenali. Daripada hanya ditonton oleh lima orang sahaja sehinggalah puluhan ribu orang yang menonton. Ada yang kata mereka suka tengok aksi bersahaja Bella apabila buat demo mekap. Nampak real walaupun sambil buat tu anak datang kacau, ada bersidai baju-baju kat belakang tu, orang suka tengok. Demi Allah, Bella tidak rancang semua ini sebagai strategi ke atau apa saja untuk terkenal dan sebagainya. Bella sekadar buat apa yang Bella suka dan kongsikan secara jujur dengan orang ramai.



Khabarnya, pengaruh Bella cukup kuat apabila memperkenalkan sesuatu produk itu?

Aduhai, Bella pun tak tahulah macam mana ini semua berlaku. Bella boleh katakan kemuncak populariti Bella (amboi...) adalah pada tahun 2017. Waktu itu, memang kehidupan Bella berubah 360 darjah. Rasa macam mimpi semua ni. Betul tu, apa sahaja yang Bella tayangkan di media sosial akan memberi impak yang besar. Contohnya, Bella makan bubur kacang, tak lama lepas tu bubur kacang mak cik di kampung Bella ni habis dijual! Pernah sekali tu, orang tanya Bella pakai pencuci muka apa, kulit Bella nampak elok. Apabila Bella beritahu jenama pencuci muka itu dan dibeli di Watsons, produk itu ‘sold out’. Sehinggakan, pengurus Watsons telefon Bella mengucapkan terima kasih dan siap beri duit dan baucar kepada Bella. Dan, selepas itu terjadi juga satu peristiwa apabila Bella buat live menggunakan produk Tarte Brow Gel yang Bella beli di Sephora, kemudian produk itu pun ‘sold out’. Bos Tarte tu telefon Bella dan hantarkan produk Tarte bernilai RM10 ribu ke rumah. Ya Allah, punyalah seronok! Sesuatu yang kita tak sangka, bukan kita buat tu untuk harap apa-apa balasan pun.



Setahun hanya sekali ja bellaz travel class Kelas makeup by bellaz di alor setar fully book Nah .. Just tinggai beberapa seat lagi di Kuala lumpur 21/3/20 Shah alam 22/3/20 Penang 10/4/20 Kelantan 17/4/20 Datang bawak diri sahaja .. Semuaaa disediakan tau ... Basic to advance demo practical.. Nk belajar Untuk diri sendiri , nk improve skill meh laa join .. Whtap sbelum penuh.. 017-419 3269 Kl 017-419 3261 shah alam 017-8112312 kelantan 017-419 3269 peneng

A post shared by MUABELLAZ (@muabellaz) on





Dalam mengecapi kegemilangan sebegitu, pasti ada juga kecaman yang diterima, boleh kongsikan?

Ya, ada. Sekitar tahun 2017 itu juga, Bella ada membuat pengumuman untuk membuat amal jariah berupa servis mekap percuma kepada orang Kedah yang mahu berkahwin tetapi tak mampu untuk membayar harga jurusolek, Bella sedia untuk solekkan, bayar seikhlas hati pun tak apa. Niat Bella hanya untuk beramal dan sebelum bersetuju, Bella akan buat sesi interview dulu untuk pastikan mereka memang tidak mampu. Bukan sembarangan. Tak sangka pula ada yang melenting dan tidak senang dengan perbuatan Bella itu. Ada yang kata Bella kacau harga pasaran jurusolek. Teruk juga Bella kena, dimaki, dicarut. Ada yang sampai buat fintah kata sepupunya yang disolekkan Bella hasilnya macam ‘taik’! Tetapi, gambar itu tidak pula diletakkan. Memang waktu itu, Bella menangis. Yang lagi buat Bella terkilan apabila tiga pelanggan Bella cancel booking pada satu hari yang sama dan minta refund dek kecaman yang Bella terima itu. Bella diam sajalah. Hikmah daripada kes itu, makin ramai pula yang follow dan tonton live Bella.



Dan, sekarang bergelar usahawan dengan pelbagai cabang perniagaan, memiliki banyak aset dan syarikat yang semakin kukuh, komen?

Alhamdulillah. Bella mula memperkenalkan produk di bawah jenama Bella sendiri menerusi set berus mekap. Untuk permulaan, Bella berani ambil 5000 set sahaja dulu tetapi sungguh tak diduga ia habis dalam masa tiga hari saja! Daripada duit hasil jualan berus itulah Bella pusing balik buat studio dan road tour kelas mekap. Kemudian, Bella minta suami berhenti kerja untuk bantu Bella. Syukurlah, suami seorang yang bijak juga dalam perniagaan. Sekarang kami sudah punya perniagaan dobi, homestay, rumah sewa dan dalam perancangan mahu menternak ayam kampung. Tapi, apabila sudah banyak perniagaan ini, LHDN pun datang mengintip. Hahaha... Alhamdulillah, sudah mampu bayar cukai. Sebenarnya, apabila kita konsisten bayar cukai, menjadikan urusan kita lebih lancar dan mudah. Tambahan pula sekarang syarikat Bella sudah berdaftar sebagai sendirian berhad.





Salam maghrib.. Alhmdulilah........ Lepas hbs live bergambar dgn titik peluh sat..

A post shared by MUABELLAZ (@muabellaz) on





Apakah tips atau petua murah rezeki dan sukses Bella?

Macam yang Bella cakap tadi, apa yang Bella buat memang ikhlas. Tiada apa-apa niat lain pun. Jujur berkongsi untuk kebaikan semua. Rezeki Allah itu datang sendiri dan tanpa diduga. Mungkin itulah rahsianya. Ada orang yang datang jumpa Bella cakap seronok tengok live Bella sebab Bella tidak berlakon dan mereka suka tengok gaya Bella yang bersahaja. Ada juga seorang pesakit kanser tu datang jumpa Bella beritahu yang sebelum ini dia kemurungan, tetapi selepas menonton live Bella, hidup dia ceria dan sudah boleh ketawa semula. Siapa sangka, perkara yang kita anggap kecil sebenarnya besar untuk orang lain. Lagi satu, pesan Bella kena jaga kewangan dengan baik. Bella bukan jenis yang boros. Ada duit, Bella suka pusingkan menjadi modal berniaga. Dan, jangan lupa banyakkan bersedekah. Jangan tunggu kaya untuk sedekah kerana dengan sedekahlah kita akan menjadi kaya.





Alhmdulilah.. Petang ni bellaz bersama geng² #gabunganRXzutara diwakili boss @arabkitchen88 berkesempatan menziarahi keluarga abang Dan kakak ni.... Sedih sgt tgk... Kmi Dan rkan2 bantu yg termmpu untk kluarga akak abg ni bg meringankan serba sedikit beban yg ditanggung.... ..ingt bila kita ckp kita susah ada lagi susah pd kita... Bersyukurlah.....

A post shared by MUABELLAZ (@muabellaz) on