Highlights
Ditinggalkan Dan Pemergian Insan Tersayang – Berbeza ‘Sakitnya’. Kisah Raya Ini Pasti Ada Yang Pernah Merasainya.
Allah berikan ujian sesuai dengan kemampuan setiap hamba-Nya. Diuji dengan pemergian insan tersayang, terputusnya ikatan sah suami isteri itu tandanya Allah sayang. Kerana setiap ujian yang Allah beri, pasti ada hikmah disebaliknya. Semakin Allah sayang kepada seseorang hamba-Nya, semakin kuat ujian buatnya. Apa yang tersirat disebalik semua ini adalah untuk mentarbiyah manusia agar menjadi hamba yang beriman, bertaqwa dan meletakkan sepenuh kebergantungan pada-Nya.
Kredit Foto: Google
Syawal Pertama Tanpa Status Isteri
Jika tidak, pada ketika ini Intan sibuk uruskan kelengkapan dan persediaan menyambut raya. Kuih-muih dan bingkisan untuk seisi keluarga diisi di dalam beg untuk dibawa pulang ke kampung. Bagasi berisi pakaian untuk ziarah raya pertama hingga ketiga sudah tersusun rapi semuanya mengikut warna tema pilihan. Begitu juga dengan pemberian duit raya, semuanya lengkap bernama siapa pemiliknya. Namun, semua itu tidak lagi dilakukannya tahun ini bahkan mungkin untuk tahun akan datang.
Ditalakkan suami hujung tahun lalu, lain benar rasanya sambut raya kali ini. Bukan sahaja raya bahkan puasa juga tak terasa meriahnya seperti tahun-tahun sebelumnya. Lebih-lebih lagi balik kampung tidak dibenarkan, maka berayalah dia seadanya. Merancang mahu mengambil anak-anak dari bekas suami menjelang malam raya, hajatnya itu termakbul jua.
Kredit Foto: Google
Bekas mentua mengajak Intan beraya dirumah mereka tetapi ditolak sebaiknya. Bagi Intan, luka lama masih terasa pedih dan peritnya. Waima demi anak sekalipun dia tak mampu berbaik semula dengan bekas suami. Kerana kisah silam kecurangan Izat tidak mungkin dilupakannya begitu sahaja. Ya, Intan bertuah dikurnia bekas mentua yang cukup memahami dan tidak pernah sekali memaksanya balik ke pangkuan Izat. Biarlah kuasa Allah yang menentukan kelangsungan hidupnya setelah bergelar ibu tunggal kepada sepasang cahaya mata, Isabella dan Iskandar.
Segala kelengkapan beraya diadakan seadanya sahaja. Baju raya hanya diulang pakai tahun sebelumnya. Tetapi juadah raya tetap disediakannya. Lontong kuah lodeh dan ketupat daun palas dimasaknya kerana ia menjadi kegemaran kedua anaknya. Mujur juga rumah bekas mentua dan rumahnya dalam kawasan sekitar Lembah Klang. Maka ia tidak jadi penghalang bagi Intan untuk menjemput dan menghantar anaknya dari Ampang ke Hartamas.
Kredit Foto: Google
Buat masa ini hak penjagaan anak-anak diberi kepada kedua ibu bapa. Setiap hari Khamis hingga Ahad, giliran Intan menjaga anak-anaknya. Manakala Isnin hingga Rabu pula giliran Izat menguruskan perihal anak-anak. Moga ada sinar di sebalik episod duka yang dilalui Intan. Juga moga kehadiran Syawal ini menjadikannya wanita yang lebih kuat, tabah dan cekal menempuhi pelbagai liku-liku kehidupan.
Apalah Makna Aidilfitri Apabila Tiada Lagi Emak Disisi
Kata orang-orang tua, biarlah mati ayah dahulu daripada mati emak. Kerana saat wanita istimewa ini melelapkan mata, menghembuskan nafas terakhir; apa jua yang kita lalui bersamanya takkan pernah sama seperti biasanya. Perginya emak membawa bersama separuh jiwa dan raga. Dan bukan mudah untuk meneruskan kehidupan, hari-hari mendatang hanya berbekalkan kenangan dan memori yang diukir bersama.
Kredit Foto: Google
Tidak disangka, kenangan menyambut Hari Raya tahun lalu adalah yang terakhir seumpamanya bersama Umi. Masih segar dalam ingatan Lina, betapa beria-ia Umi mengatur segala persiapan menyambut raya. Kebetulan, giliran semua anak-anaknya berdaya dikampung menambah ceria suasana dan bangkitkan semangatnya.
Dari sisi lain, mungkin juga Umi dapat merasakan hayatnya tidak lama kerana menghidap kanser usus tahap empat. Biarpun jika diikutkan kudratnya tidak lagi selincah dahulu, tetapi Umi tetap pastikan juadah masakannya pada pagi raya siap terhidang diatas meja untuk dinikmati semua. Walaupun sakita dan penat, Umi tetap gagahkan diri memasak.
Kredit Foto: Google
Dapur itu tidak berseri lagi tanpa leteran, bebelan Umi yang mengomel pelbagai perkara. Seakan terngiang-ngiang di telinga Umi berkata, “Ha, lepas dah mendidih baru masukkan ayam. Ayam pencen tak apa, tahan lasak waktu nak gaul. Taklah nanti hancur masa nak balik-balikkan, kacau dengan kuah rendang tu. Daun kunyit dah hiris ke belum? Asam keping tak payah masukkan banyak, sekeping kecil aje dah cukup,” begitulah antara bait-bait ayat yang sentiasa mereka dengar ketika membantu Umi memasak.
Sementelahan hanya mereka dua beradik sahaja perempuan, dan adik serta abang sulung sibuk melakukan kerja-kerja membersih dan mengemas; maka saban tahun waktu memasak untuk juadah raya memang dinanti. Dan tahun ini, Lina bersama ahli keluarganya hanya mampu tonton semula video yang dirakamnya semasa memasak menu raya tahun sebelumnya. Terubat juga rindu nak dengar suara Umi dan berasakan seolah-olah Umi masih ada disisi mereka. Al-Fatihah.
Must-Watch Video