Fasa mengadung dan melahirkan seharusnya menjadi momen terindah untuk seorang ibu. Tidak seharusnya mereka dihambat dengan rasa risau, tertekan dan keliru. Informasi salah dan dakyah tentang hal-hal bersalin selalu menjadi faktor ada ibu berdepan dengan tekanan emosi dan fizikal yang lambat pulih.


Ditambah dengan situasi pandemik sekarang ini adalah lebih baik untuk seorang ibu mula memikirkan cara berpantang yang lebih tenang dan relaks bukan lagi yang terlalu remeh dan serabut sehingga ada yang terpaksa merentas negeri untuk pulang ke kampung dalam keadaan kesihatan semasa belum stabil.


Apatah lagi untuk menyusahkan ibu kita yang sudah tua di kampung itu. Ada ibu yang tidak mampu menolak apabila anak perempuan minta dijaga mereka selepas beranak atas alasan suami tidak tahu jaga dan kerisauan diri sendiri tentang banyak perkara seperti takut bentan, meroyan dan sebagainya.


Dr. Rusyainie berkongsi cara berpantang yang tidak menyusahkan diri dan orang lain. Dan yang paling penting, sesuai untuk rakyat marhaen yang tidak ada kemampuan kewangan untuk berpantang cara orang kaya.







7 Langkah Berpantang Yang Mudah Tak Menyusahkan, Saranan Dr. Rusyainie Ramlie:



1. Berurut dan bertungku hanyalah untuk memanjakan diri. Tidak wajib. Harga yang dikenakan tukang urut bukan murah. Saya tidak pernah menyarankan kepada pesakit saya untuk mengambil tukang urut. Anggaran caj yang dikenakan tiga hari berurut antara RM300 ke RM500. Kos itu boleh menampung makanan berkhasiat untuk satu keluarga. Kalau mampu silakanlah, tapi bukan untuk sengkaklah, angkat rahim sampai ke langitlah. Bukan. Ia hanya untuk relaks.



2. Makan minum seperti biasa. Ikut sukatan:
Tiada pantang larang makan minum yang tak berasas yang diwarisi daripada nenek moyang kita yang mana mereka dulu tidak dapat akses kepada makanan berkhasiat macam kita sekarang. Ayam, ikan, daging, telur, udang, sotong, kerang semua boleh dimakan. Kalau sebelum ini tidak ada alahan pada makanan itu semua, dalam berpantang lepas bersalin pun samalah. Tidak ada istilah ikan gatallah, berbisalah.

Luka cepat sembuh dengan protein sebab protein gunanya untuk membaiki sel-sel yang rosak. Luka yang bernanah adalah disebabkan jangkitan bakteria. Bukan sebab makanan. Tolong tanam fakta tu dalam kepala dan turunkan ilmu yang betul kepada generasi akan datang.

Sayur dan buah makan ikut porsi yang Kementerian Kerajaan Malaysia sarankan. Tidak ada istilah sayur menjalar tidak boleh itu dan ini. Sayur dan buah mempunyai vitamin, mineral dan serat yang sangat penting untuk kita sembuh cepat dan kembali sihat.

Sesetengah sayur dan buah susah sikit nak dihadam oleh bakteria di usus dan menghasilkan gas. Tu saja. Tak ada masalah pun. Apa pun yang kita makan akan dicernakan dalam sistem digestif. Makan lah tembikai ke, nenas ke, apa sekali pun, dengan kadar sederhana.

Pening kepala saya, kenapalah pelik sangat budaya bangsa saya ini? Saya fahamlah nenek moyang kita dulu tidak ada ilmu Sains. Mereka turunkan petua semua berdasarkan pemerhatian saja. Tetapi kita ini yang belajar Sains di sekolah dari darjah satu, kenapa masih di takuk lama?

Makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan bilis itu tidak berkhasiat! Protein mana? Dapat karbohidrat dan kandungan garam tinggi saja!

Masakan cara bakar, rebus, singgang, stim tu memang lebih baik daripada digoreng dengan minyak banyak. Namun, kenapa hendak menipu diri sendiri? Hanya ketika 44 hari itulah masakannya begitu? Yang beratus hari lagi? Amalkanlah cara masakan sebegitu sepanjang hayat.

Yang kelakar – pantang belum pun habis, dah merancang nak makan apa nanti dan senarai tu tak ada pun makanan yang sihat. Haih la. Menipu diri sendiri lagi.

Makan dalam pantang untuk mereka yang bersalin normal atau Caesarean sama sahaja. Sebenarnya, cara makan yang sama mesti diamalkan sepanjang hayat. Bukan hanya 44 hari.



3. Minum air yang cukup. Tidak kiralah sejuk, panas atau suam. Kasihan betul dengan mereka yang pantang tegar sangat dan alergik dengan ais. Agaknya mereka tak pernah dengar tempat di dunia yang ada musim panas yang sangat terik macam kat Arab tu, bagaimana? Agaknyakan kalau mereka berpantang kat situ, tahan ke dengan berstokin, berbaju tebal, tak ada pendingin hawa atau kipas dan minum air panas?

Air kosong tidak kiralah apa suhunya tetap kalorinya kosong. Kajian menunjukkan jika minum air sejuk, kita akan minum lebih banyak berbanding air suam terutamanya selepas melakukan aktiviti fizikal. Matahari panas ‘lit lit’ suruh minum air panas dah kenapa? Tapi milo cicah biskut tu pula yang dibanggakan mereka. Sedangkan itulah minuman yang hanya penuh dengan gula dan gula. Lepas itu, berat badan tak turun-turun, mula salahkan tak pantang. Padahal yang dia makan itu kalorinya dah berapa?

Air tidak akan menyebabkan urat kembang atau becak pada vagina. Itu hanya momokan yang tidak logik. Sudahlah tu. Jangan dengar cakap mereka yang suruh minum air dengan sudu. Air pun air herba entah apa-apa, mendera namanya! Nak suruh mak-mak ni dehidrasi agaknya!



4. Sihat dalaman tu adalah mitos yang saya tak faham. Apa maksud? Rahim kecut sendiri secara normalnya dalam masa empat ke enam minggu lepas bersalin. Tak payah nak buat apa-apa. Jamu dan ma’ajun semuai tu adalah produk sampah yang dijaja untuk menjatuhkan maruah wanita. Kalau tak ambil kononnya nanti peranakan jatuh, buncit abdomen, faraj longgar? Itu semua hanyalah mitos yang meletakkan wanita semata-mata sebagai objek seksual lelaki.

Untuk mengelakkan tombong. Senaman Kegel. Habis cerita.

Silakan bangun berjalan dan bergerak masa dalam pantang. Terbaring saja tu meninggikan risiko darah beku di kaki. Darah beku di kaki yang terserpih dan masuk ke saluran darah pulmonari adalah salah satu sebab kematian mak dalam pantang. Jangan bagi banyak alasan. Buatlah kerja rumah selagi mampu.




5. Belajar tentang perubahan fizikal kepada diri yang berlaku. Sekiranya ada simptom seperti demam menggigil, pergilah ke klinik. Dapatkan nasihat doktor. Bukan panggil ‘makcik bawang’ entah dari mana yang mulalah buat diagnosis sendiri. Dia haya akan salahkan ‘tak pantang’ padahal mak itu rupanya ada jangkitan kuman. Pandai dia daripada doktor.



6. Berbengkung bukan untuk bagi abdomen kempis. Itu kena bersenam. Ia hanya sebagai sokongan pada postur badan. Itu saja. Berpilis, tak mandi berhari-hari, sanggul rambut ketat-ketat dan tinggi-tinggi itu semua perkara sia-sia. Nak buat juga silakanlah. Jangan cuci rambut? Tapi tulah busuklah kalau tak basuh rambutkan? Tak adanya air masuk ikut kepala, kulit kita ni bukan span nak serap air!



7. Suplemen lepas bersalin? Tidak payah kecuali doktor yang bukan ‘cap ayam’ nasihatkan. Set bersalin yang harga beratus RM? Itu lagilah tak payah. ‘Sampah’ saja. Makanan yang lengkap nutrisi, segar dan cukup jumlahnya sudah terbaik. Makanan asal tidak akan boleh diganti denganpil, jus, kapsul atau seangkatan dengannya.


Tidak perlu stres pasal berpantang ni. Hidup macam biasa dengan sedikit limitasi. Raikan kehadiran orang baru dalam keluarga kita. Abaikan segala tohmahan ‘makcik bawang’. Kita dah bertahun belajar Sains kan, maka dah tiba masanya kita jadi bijak, cerdik dan pandai.