Personaliti

Elak Jadi Mangsa Gangguan SEKSUAL, Sejauh Mana Wanita Jaga Kehormatan Diri, Sekuat Mana Iman Lelaki?

gempak
Penulis Jemputan
17/02/2021
01:00 MYT
Sponsor Banner
Elak Jadi Mangsa Gangguan SEKSUAL, Sejauh Mana Wanita Jaga Kehormatan Diri, Sekuat Mana Iman Lelaki?
Teks: Nor Hatina Shuib
Tular berkenaan kes seorang wanita yang menerima gangguan seksual daripada pihak berkuasa, baru-baru ini sehingga menjadi topik perbahasan di media sosial.
Ini ekoran anggota berkenaan didakwa meminta beliau membuka baju tidur untuk ditunjukkan sebagai bukti bahawa dia benar-benar tidak memakai coli dalam satu sekatan jalan raya di ibu kota.
Susulan rasa marah dan kecewa dengan tindakan anggota keselamatan berkenaan, wanita itu memilih untuk menularkan kes berkenaan dan turut melaporkan kepada pihak berkuasa.
Susulan kes yang mendapat reaksi pelbagai pihak, wanita yang terdedah dengan risiko serangan gangguan seksual mungkin lebih sedikit lega memandangkan Rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual dijangka siap Mac ini dan dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menerusi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, beliau memberitahu, draf rang undang-undang itu, kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara.
Katanya, pada masa sama, usaha kesedaran dan pendidikan mengenai gangguan seksual terus digerakkan semua agensi di bawah kementeriannya.
Rina turut memberi jaminan RUU itu akan bersifat holistik dalam membendung isu berkaitan gangguan seksual yang tidak terhad terhadap gangguan di tempat kerja semata-mata.
Wanita Juga Perlu Bertanggungjawab Menjaga Diri
Namun dalam kelegaan dengan sokongan undang- undang, diharapkan lebih ramai wanita mempunyai ilmu berkenaan pendidikan seksual dan bagaimana mengatasi serangan gangguan seksual serta tahu bagaimana untuk melaporkan ia kepada pihak berkuasa.
Malah, daripada segi penampilan dan kelakuan, wanita boleh mengambil langkah berjaga-jaga supaya risiko untuk dijadikan alat gangguan seksual daripada lelaki tidak bertanggungjawab dapat dielakkan atau dikurangkan.
Ini kerana kita tidak tahu siapakah yang mempunyai niat tidak baik kepada kita. Jadi antara langkah berhati-hati, elakkan memakai pakaian terlalu mendedahkan figura fizikal, berada di tempat yang cenderung untuk dijadikan mangsa gangguan seksual atau pun terlalu mendedahkan diri di laman sosial.
Ini kerana ada mata-mata nakal yang sentiasa memerhatikan wanita yang mempunyai ciri-ciri kesukaan mereka.
Walaupun ada yang mengatakan berpakaian seksi atau berkelakuan yang agak menonjol di khalayak awam adalah hak masing-masing, tidak salah kita sebagai wanita menjaga peribadi diri dan tampil dihormati berbanding mudah dilihat sebagai mangsa untuk diganggu.
Sebagai wanita, sama ada sudah berkahwin atau belum, mereka boleh saja diganggu lelaki yang dikenali atau tidak dikenali.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah kesan berpanjangan yang dilalui apabila diperlakukan sebagai mangsa gangguan seksual. Kemurungan, rasa rendah diri, memendam rasa dan ada yang sehingga memencilkan diri adalah kesan diterima mangsa gangguan seksual.
Kredit foto: Google
Pendidikan Seksual Bantu Tangani Gangguan Seksual
Oleh itu, masalah gangguan seksual yang berlaku dalam negara kita perlu dipandang serius. Selain daripada mengunakan pendekatan proses pendidikan bagi melahirkan kesedaran orang ramai terhadap isu gangguan seksual ini, negara kita juga perlu memiliki satu bentuk perundangan yang kuat dan lebih berkesan bagi hadapi masalah gangguan seksual ini.
Dalam zaman teknologi tanpa batasan ini, wanita amat disarankan untuk memenuhi diri dengan ilmu pendidikan seksual supaya mereka tidak berterusan menjadi mangsa.
Ramai tidak tahu, hanya dengan memanggil wanita dengan panggilan ‘sayang’ sehingga wanita rasa tidak selesa, lelaki boleh didakwa atas gangguan seksual.
Ini kerana gangguan boleh berlaku secara lisan, tulisan (mesej, gambar), isyarat, visual dan sentuhan. Gangguan seksual sebahagian daripada perlakuan lucah terhadap wanita dan tidak dikehendaki atau direlakan mangsa.
Jangan diamkan diri Kerana Takut , Dapatkan Keadilan
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, berpendapat golongan wanita yang menjadi mangsa kepada masalah gangguan seksual tidak boleh biarkan masalah yang dihadapi oleh mereka begitu sahaja.
Ia bukan sahaja akan menjejaskan hak mangsa yang terlibat untuk menuntut keadilan malah sikap berdiam diri mangsa akan menyebabkan pelaku gangguan seksual akan menjadi lebih berani serta melakukan gangguan seksual kepada orang lain pada masa akan datang.
“Nasihat saya kepada kaum wanita yang menjadi mangsa kepada masalah gangguan seksual adalah mereka perlu tampil berani melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak-pihak yang berkaitan,” katanya .
Ini kerana wanita yang menghadapi masalah gangguan seksual boleh melaporkan masalah gangguan seksual yang dialami oleh mereka kepada pihak polis.
Sekiranya mangsa berasa takut ataupun bimbang untuk membuat laporan kepada pihak polis, pihak mangsa boleh mendapatkan khidmat bantuan daripada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang ada dalam negara kita bagi membantu mereka mendapatkan sebarang jenis bantuan.
Terdapat banyak NGO dalam negara kita yang boleh menghulurkan bantuan kepada mangsa gangguan seksual ini. Antara NGO yang boleh menghulurkan bantuan kepada pihak mangsa adalah All Women’s Action Societu (AWAM), Women’s Centre for Change (WCC), Women's Aid Organisation (WAO), dan lain – lain lagi.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow
Tahap Emosi dan Pemikiran Mangsa Terganggu Disebabkan Gangguan Seksual
Tegasnya, masalah gangguan seksual ini bukan satu masalah yang jarang kita dengari. Hampir setiap tahun kita akan didedahkan dengan masalah yang melibatkan gangguan seksual ini dalam negara kita.
Tidak beberapa lama dulu, kita telah didedahkan dengan masalah yang melibatkan masalah gangguan seksual yang dihadapi oleh kalangan peguam muda serta doktor pelatih.
Masalah gangguan seksual ini juga turut pernah dilaporkan berlaku terhadap golongan wartawan serta terbaru melibatkan golongan pelajar di universiti.
Masalah gangguan seksual ini perlu dipandang serius kerana ia memberi kesan yang amat mendalam kepada diri mangsa dan kehidupannya. Mangsa yang hadapi masalah gangguan seksual ini selalunya tidak dapat hidup dengan aman akibat daripada gangguan yang dihadapinya.
Tahap pemikiran dan emosi mangsa gangguan seksual akan terjejas dan ini akan menyebabkan mangsa tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti yang biasa dilakukannya.
Sekiranya tiada langkah diambil dari sekarang bagi membendungnya, masalah gangguan seksual ini akan terus berlaku dan lebih ramai pihak lagi dalam negara kita yang berisiko menjadi mangsa.
Gangguan seksual ini boleh berlaku pada sesiapa pun tanpa mengira jantina mereka sama ada wanita, lelaki ataupun golongan transgender dan ia boleh berlaku dimana – mana tanpa mengira tempat dan masa.
Hormati Wanita, Elak Gurauan Melampau
Bagi penulis sendiri, untuk golongan lelaki pula, jangan anggap gurauan anda yang berbaur perkataan dan reaksi lucah adalah perkara biasa. Anda juga akan berasa tidak selesa jika perkara sama dilakukan kepada anak, ibu atau adik beradik perempuan anda.
Realitinya, gangguan seksual bukanlah satu isu yang baru, tapi telah menjadi isu global yang telah hangat dibincangkan oleh banyak pihak bukan sahaja di negara ini bahkan diseluruh dunia. Saban hari, terdapat sahaja berita yang membicarakan isu ini sama ada melalui media elektronik atau media cetak.
Justeru, sebelum melakukan tindakan atau gurauan, fikir sedalam-dalamnya kerana ada undang-undang yang melindungi wanita daripada ancaman gangguan seksual dan pada masa sama menjerut anda kepada hukuman undang-undang.
Kesannya bukan pada anda seorang tetapi menjangkaui maruah keluarga dan tidak terkecuali pekerjaan anda tergugat. Walaupun mungkin, perlakuan dan pemakaian wanita agak menonjol perhatian lelaki, ia bukan tiket untuk anda menguasai diri mereka dan melakukan apa saja gangguan yang memberikan rasa marah atau tidak selesa.
Salah tetap salah. Walaupun ramai menyalahkan wanita yang biasanya diganggu disebabkan penampilan mereka agak menonjol, ia bukan faktor untuk wanita sewenang-wenangnya diganggu.
Jadilah lelaki budiman yang mendokong wanita kearah kebaikan, bukan merendah-rendahkan hak dan maruah mereka. Sama-samalah kita memperbaiki kesilapan diri.
Wanita jaga tingkahlaku dan penampilan manakala lelaki jangan ambil kesempatan ke atas wanita kerana ia hanya membawa anda ke jalan yang salah sama ada di sisi agama mahupun undang-undang negara.

Kredit foto: Google

Fahami Gangguan Seksual
Gangguan seksual tidak langsung:
  1. Perlakuan serta ucapan lucah
  2. Perbuatan menjilat bibir
  3. Memegang atau memakan makanan secara menggoda
  4. Isyarat tangan atau bahasa membayangkan perlakuan seks serta menunjukkan bahan lucah.
Gangguan secara langsung
  1. Menepuk
  2. Mencubit
  3. Mengusap
  4. Menggesel badan
  5. Memeluk
  6. Mencium
  7. Meraba

Kredit foto: Google

Informasi Gangguan seksual
80 peratus wanita tidak melaporkan gangguan seksual kerana: - Malu dan enggan melalui proses aduan yang sukar.
- Takut hilang pekerjaan (pelaku pegawai atasan) atau bimbang dicederakan.
- Bimbang dituduh mereka cerita (pelaku ada reputasi baik, pegawai atasan atau dihormati masyarakat).
Tiga sebab lelaki lakukan gangguan seksual: - Menganggap darjat mereka lebih tinggi.
- Salah faham isyarat wanita hanya kerana mereka berpakaian seksi atau mesra.
- Tidak sedar atau tidak kisah perbuatannya melampaui batas.
Tip elak gangguan seksual: - Elakkan berdua-duaan dengan pelaku (walaupun untuk urusan kerja).
- Bawa teman sekiranya terpaksa berjumpa pelaku.
- Katakan ‘tidak’ dengan tegas. Sekiranya amaran tidak dipedulikan, buat aduan secara rasmi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live