'Double standard', itu yang sering kali kita dengar atau mungkin pernah lalui dalam menjalani rutin seharian. Tidak kiralah sama ada berurusan di pejabat-pejabat kerajaan, pusat perbankan dan lain-lain tempat.
Ada yang mengeluh ‘Mentang-mentang orang biasa, tak ada apa-apa terpaksalah duduk macam tunggu buah durian nak gugur’. Dan berbeza dengan segelintir daripada kita yang mungkin ada akses ekspres dek kerana pangkat, darjat dan nama.

Realitinya walau pahit, itulah yang kita perlu kita terima. Betapa besar impak punya pengaruh, dikenali, ada pangkat dan seangkatan dengannya dalam memudahkan urusan sehari-hari. Tetapi daripada sudut lain cara layanan kita terhadap sesiapa juga perlu diubah.


Kredit Foto: Google


Kerana apa? Kita semua ini hanya manusia dan hakikatnya kita sama sahaja. Jangan sebab orang itu tukang sapu, kita beri layanan buruk lagi teruk. Bahkan ada kalanya seolah-olah nak pandang pun tak mahu. Acuh tak acuh saja.

Dan jangan sebab orang itu ada nama, kita bagi dia pijak orang lain. Tindas sehingga kadang kala seakan merampas hak yang sepatutnya orang lain miliki.

Jujurnya, semua orang layak dihormati, tak kiralah dia itu siapa. Tua, muda, berlainan bangsa dan agama bukan kayu ukurnya. Tetapi nilai kemanusiaan ini kian tipis dan terhakis daripada kita. Seolah sukar untuk tanamkan dalam diri perlu ada sifat hormat-menghormati sesama manusia.

Kredit Foto: Google


Ia mencerminkan diri kita dalam pelbagai perkara. Etika, adab, akhlak dan nilai kemanusiaan itu sendiri. Walau di mana sekalipun baik di tempat kerja, institusi pendidikan, di tempat awam dan pendek kata di mana-mana. Kalau mahu dihormati, kita juga perlu hormat orang sekeliling. Jaga percakapan, penggunaan ayat dan setiap bahasa tubuh yang menggambarkan diri kita.