gaya hidup
Hampir Semua Kawasan di Semenanjung Dalam RED ZONE Dan Kita Masih Selesa Berkeliaran Bebas!
Hampir kesemua kawasan di Semenanjung berada dalam zon merah. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menerusi akaun Twitter rasminya berkongsi situasi semasa daerah-daerah di seluruh negara berdasarkan pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19.
Hanya empat daerah berada di dalam zon kuning, iaitu di Sik, Gua Musang, Kemaman dan Rompin. Manakala lapan daerah lagi berada di dalam zon jingga. Ia termasuk Kangar, Padang Terap, Hulu Terengganu, Maran, Cameron Highlands, Mersing, Tampin, Kampar dan Perak Tengah.
Di Sarawak, masih terdapat tiga daerah dalam zon hijau manakala di Sabah, lapan daerah berada di dalam zon hijau. Beliau menggesa orang ramai agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan duduk di rumah jika tiada urusan penting untuk keluar rumah.
Advertisement
Tidak Perlu Lagi Tunggu Arahan Kerajaan
Walaupun semalam kerajaan telah mengumumkan SOP yang diperketatkan untuk PKP 3.0 ini, namun kebanyakan orang masih beranggapan ia langsung tidak membantu memutuskan rantaian Covid-19 ini selagi individu itu sendiri tidak mengambil langkah untuk duduk di rumah.
Boleh tidak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati dan saling bekerjasama dengan mendisiplikan diri untuk duduk di rumah selagi tiada keperluan untuk berada di luar rumah. Jadilah manusia bijak dengan tahu membezakan antara keperluan penting dan kehendak semata.
Tidak perlu suka-suka untuk keluar hanya kerana mahu membeli sebuku roti atau berjumpa kawan. Dalam keadaan sekarang ini, lakukanlah sedikit pengorbanan tanpa desakan kerajaan. Lakukan dengan jujur. Sekali pun kerajaan membuka pusat membeli-belah, tidak perlu kita ke sana kalau hanya untuk membeli sehelai baju.
Walaupun kerajaan membenarkan aktiviti bersukan seperti jogging atau berbasikal, pilihlah alternatif bersenam lain jika ia boleh dilakukan di rumah seperti yoga atau aerobik yang boleh dibuat tanpa perlu keluar rumah. Kita tidak tahu pada ketika bila virus itu tersebar dan hingga kepada kita pula.
Tolonglah wahai rakyat Malaysia sekalian. Usah lagi kita harapkan kerajaan untuk melancarkan total lockdown. Sebaliknya, marilah kita mulakan hari ini juga untuk duduk di rumah. Susun dan atur pergerakan keluar rumah pada ketika yang benar-benar perlu saja. Cukuplah seorang saja wakil keluarga yang keluar.
Tidak lama. Cukup kita lakukan setidak-tidaknya dua minggu ke satu bulan. Dan, doalah kes positif ini dapat turun dengan lekas dan kita dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.
Must-Watch Video