Terlerai sudah desas-desus yang bertebaran mengenai pasangan sejoli, Kamal Adli dan Uqasha apabila kedua-duanya berkongsi perkhabaran sudah sah bernikah tanggal 5 November lalu dalam satu sidang media yang berlangsung petang tadi.

Dek kerana pandemik dan terikat dengan SOP; majlis yang awalnya dirancang pada Jun tahun ini tidak dapat diteruskan. Mengakui agak tertekan dengan semua ini, mujur Kamal tenang sekali gus menenteramkan segala gundah yang menyelubungi Uqasha. “Kamal cakap tak apa, sabar. Kita tunggu. Sabar je,” terang Uqasha ketika berkongsi perasaan sebenarnya dek majlis pernikahan terpaksa ditunda.


Kredit Foto: Astro


Dan berkat kesabaran juga dengan izin-Nya, majlis pernikahan kedua mempelai pada 5 November lalu diadakan secara tertutup di sebuah lokasi persendirian di Janda Baik, Pahang. Mas kahwin berjumlah RM 22.50 dengan tujuh dulang berbalas sembilan menjadi saksi terpatrinya ikatan sah antara Uqasha dan Kamal bergelar suami dan isteri.

Berkongsi mengenai destinasi bulan madu, ada sesuatu yang menarik perhatian semua wakil media. Ujar Uqasha, “First Qasha pergi umrah masa tu nak start megadrama Setelah Terlafaznya Akad. Orang kata kalau berdoa depan kaabah, minta yang spesifik. Dalam banyak-banyak doa-doa yang Qasha minta tu, Allah makbulkan 80 doa. Qasha juga doa biarlah drama tu jadi satu fenomena, biarlah drama tu ‘meletup’ sebab ia megadrama. Qasha doa kat situ. And then after that, Qasha pun shoot dengan dia. Habis shoot dengan dia, lima bulan kita orang berkampung kat Melaka untuk Setelah Terlafaznya Akad, dan Alhamdulillah lepas drama tu dalam banyak-banyak doat u Allah angkat drama ni jadi satu fenomena juga. Kemudian kali kedua Qasha pergi umrah sekali lagi masa tu Qasha tengah kenal hati budi Kamal.

Kredit Foto: Astro


Sekali lagi Qasha berdoa kalau betul Ahmad Kamal bin Ahmad Adli ni adalah jodoh buatku Engkau panjangkanlah jodoh kamu. Kalau bukan, pisahkan cara elok. Lebih kurang begitulah doa Sha. Dan Alhamdulillah, benda tu panjang sampai kita orang nikah. So Qasha decide nak pergi umrah untuk terjemahkan rasa syukur sebab Allah makbulkan doa-doa Qasha” tutur Uqasha tanpa mampu menghabiskan ayat kerana sebak dan terharu dengan kurniaan jodoh buatnya.

Melanjutkan bicara, jelas Kamal pula “Saya tak pernah sampai dan memang excited sangat nak pergi. Bersama dengan isteri pula tu, bukan pergi ‘single’. Saya lagi seronok dapat tahu yang dia pergi sana sebelum ni sebab doa-doa tu semua. Jadi saya nak pergi dengan list-list doa yang banyak. Dan saya nak ucapkan terima kasih dengan dia sebenarnya.

Kredit Foto: Astro


Sambung Uqasha lagi, “One more thing dia tak pernah pergi lagi umrah. Jadi Sha nak jadi orang pertama bawa dia,” ujarnya mengakhiri bicara.

Mengulas lanjut mengenai liputan eksklusif majlis perkahwinan berkenaan, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Ria berkata,“Selaku satu-satunya penyiar rasmi, pihak Astro amat berbesar hati dengan kepercayaan dan kebenaran penuh yang diberikan oleh pasangan merpati dua sejoli, Kamal dan Uqasha kepada kami untuk sama-sama meraikan majlis perkahwinan mereka secara eksklusif untuk dikongsikan bersama penonton. Program istimewa ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ terbitan Astro Ria ini bakal mengimbau momen manis dan merungkai rahsia sepanjang percintaan mereka yang belum pernah dikongsi dengan mana-mana pihak sebelum ini. Selain paparan menarik tentang persiapan perjalanan kasih pasangan romantis ini dalam menghitung saat paling dinantikan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan, kami juga bakal menyiarkan liputan penuh sekitar majlis akad nikah dan majlis persandingan mereka nanti."


Kredit Foto: Astro


Bahagian pertama program ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ yang dijadualkan untuk bersiaran pada 11 Disember ini bakal menjejaki kisah cinta kedua mempelai daripada kaca mata mereka sendiri serta kenalan dan ahli keluarga sejak awal perkenalan sehingga berakhir ke jinjang pelamin. Bahagian kedua pada 18 Disember pula bakal membawakan liputan persiapan menuju gerbang perkahwinan dan sewaktu majlis ijab kabul yang bertemakan dalam taman atau ‘Garden Wedding’. Manakala bahagian ketiga yang akan disiarkan pada 25 Disember kelak bakal menyiarkan liputan persiapan terakhir dan sewaktu majlis malam berinai serta resepsi pasangan raja sehari Kamal dan Uqasha.