Highlights

ISTERI Kunci Pintu Rezeki. Jangan Hilangkan Kunci Itu – Simpan Baik-Baik, Jangan Sampai Ada Pendua!

gempak
Afiza Kamarulzaman
17/04/2020
14:37 MYT
Sponsor Banner
ISTERI Kunci Pintu Rezeki. Jangan Hilangkan Kunci Itu – Simpan Baik-Baik, Jangan Sampai Ada Pendua!
Ramai lelaki terlupa bahawa sejak dia berkahwin dengan suri hatinya itulah, rezekinya berlipat kali ganda. Selepas menikahi wanita itulah, pekerjaannya dipermudahkan. Dan kerana doa permaisurinya itu jugalah (selepas doa ibu), hidupnya lancar dan sentiasa dicukupkan dari segala segi. Kerana wanita yang bernama isteri itu jugalah, dia nikmati pelbagai pahala dan nikmat kerana menyantuni keluarganya.
Namun,begitulah adat manusia. Kadang-kadang, dek terleka seketika dengan nikmat yang dikecapi, dia terlupa untuk bersyukur dan menghargai suri pencetus rezeki itu. Benar, rezeki itu milik Allah, namun Allah juga memberi sesuatu itu kena pada tempat dan doa hamba-hambanya yang yakin dengan-Nya. Kebaikan yang dilakukan pasti menerima ganjaran setimpalnya. Kerana itu kita selalu mendengar, ‘dalam rezeki kita itu pasti ada rezeki orang lain di dalamnya’. Ternyata besarnya rezeki suami itu adalah milik bersama si isteri.
Kredit Foto: Google
Kisah Suami Jatuh Muflis Selepas Menceraikan Isteri
Benar, bukan hak kita untuk menghukum kegagalan seorang itu akibat daripada kisah lampaunya. Namun, yang baik itu wajarlah dijadikan pengajaran dan buruk itu dijadikan sempadan agar hidup kita sentiasa berada di landasan yang lurus. Kisahnya tentang Norman yang mendaki tangga kejayaan sebagai usahawan bersama isteri tercinta, Sabrina. Mereka berkahwin ketika masing-masing masih muda dan belum ada kewangan yang baik.
Dipendekkan cerita, Norman yang sangat dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja dan Sabrina yang sentiasa menyokong usaha suaminya itu, akhirnya berjaya membangunkan perniagaan bersama. Setangga demi setangga didaki sehingga akhirnya daripada syarikat enterprise, mereka berjaya membina empayar bertaraf Sdn. Bhd. Keuntungan syarikat makin hari, makin meningkat sehingga mereka mampu hidup mewah. Norman pandai daripada segi pemasaran dan Sabrina bijak mengurus dan menjaga kewangan syarikat.
Daripada situ, mulalah ramai yang membuka mata terhadap kehidupan mereka sekeluarga. Ketika itu, mereka sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata. Ditakdirkan, Norman berjumpa dengan rakan perniagaan, bernama Elly yang baru berusia 25 tahun. Orangnya cantik dan bergaya. Berbeza dengan Sabrina yang sangat sederhana dan sedikit kekampungan. Cinta berputik, dan kemesraan terjalin hari demi hari tanpa gangguan sesiapa. Akhirnya, tembelang tidak dapat disorok lagi. Sabrina terhidu hubungan intim mereka.
Kredit Foto: Google
Masjid Lama Diruntuhkan Demi Masjid Baru
Sebaik mana pun seorang isteri itu, pasti akan terluka hatinya apabila diduakan dan kepercayaan dikhianati. Tanpa banyak cerita, Norman menceraikan Sabrina dan terus keluar dari rumah itu meninggalkan Sabrina dan anak-anak untuk memulakan hidup baru bersama Elly. Sabrina reda dan meneruskan kehidupannya bersama anak-anak dengan berjualan secara kecil-kecilan tanpa menuntut sebarang harta sepencarian bersama Norman. Mujurlah, Sabrina bijak membuat simpanan dulu.
Setelah dua tahun bercerai. Sabrina dapat tahu, syarikat yang dibina bersama Norman dulu jatuh muflis. Semua aset dibekukan pihak bank dan pejabat mereka disita. Sabrina tidak tahu di mana silapnya, namun menurut bekas pekerjanya, sejak berkahwin dengan Elly, kebanyakan hal urusan syarikat terutamanya kewangan diuruskan oleh Elly dan keluarganya. Maka, banyak campur tangan yang mengakibatkan syarikat huru-hara yang akhirnya melumpuhkan kewangan syarikat. Sabrina tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu keadaan Norman sekarang ini.
Begitu coretan ringkas kisah jatuh bangun seorang lelaki apabila bersama isteri sebelum kaya dan selepas kaya. Kita tidak menjatuh hukum siapa benar, siapa salah? Namun, hukum alam, sesiapa sahaja yang mengkhianati dan menyusahkan hidup seseorang itu, sepanjang hayatnya pasti tidak akan aman. Fikir dan muhasabahlah perjalanan hidup ini yang saling berkait.
Kredit Foto: Google
10 Panduan Isteri Kunci Rezeki
  • Jadilah isteri solehah yang mengikut perintah dan suruhan agama, jaga aurat dan maruah suami.
  • Sentiasalah mendoakan kesejahteraan dan kemudahan hidup suami.
  • Lekas-lekas mohon maaf kepada suami jika berlaku kesilapan dan suami juga harus meminta maaf kepada isteri.
  • Suami harus bijak menjaga hati isteri yang sensitif. Jaga kata-kata dan gurauan. Puji apabila perlu dan kritiklah dengan ayat berlapik.
  • Selalulah berterima kasih antara keduanya walaupun pekerjaan yang dilakukan tidak sebesar mana.
  • Jangan kedekut dengan isteri. Jika mampu, belilah makanan dan pakaian yang baik-baik buat isteri.
  • Jaga hubungan dengan keluarga pasangan, mentua dan ipar-duai.
  • Jangan ungkit kesilapan lama pasangan.
  • Halalkan semua yang telah diberikan kepada pasangan seperti wang, makan minum dan sebagainya.
  • Berkatalah yang benar dan jangan ditidak-tidakkan perasaan isteri. Jangan diduakan isteri walau hanya dengan niat.
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live