gaya hidup

“Jangan Bimbang Jika Rasa Tidak Sihat. Anda Masih Boleh Menerima Suntikan,” – Prof Dr James Koh Kwee Choy

gempak
Huda Hussain
20/05/2021
06:30 MYT
Sponsor Banner
“Jangan Bimbang Jika Rasa Tidak Sihat. Anda Masih Boleh Menerima Suntikan,” – Prof Dr James Koh Kwee Choy
Prof James sampai agak awal, sekitar sejam tiga puluh minit sebelum sesi janji temu bermula. Seperti biasa, kod QR diimbas, suhu badan diambil, tangan disanitasi, pelitup muka dipakai dan penjarakan sosial dipatuhi – segala SOP dituruti. Bersama penerima vaksin yang lain, beliau turut menunggu sehingga namanya dipanggil dan identiti disahkan.
Kemudian, beliau perlu mendengar taklimat dan sesi kaunseling oleh seorang doktor yang berlangsung selama 10 minit. Sejarah perubatan masing-masing disemak – termasuklah status kesihatan. Ruang masa untuk soal-jawab diberikan. Hanya setelah doktor berpuas hati dan yakin beliau layak divaksin, borang persetujuan menerima vaksin COVID-19 dihulurkan untuk ditandatangani.
Kredit Foto: Google
“Ia satu proses yang agak panjang,” kata Prof Dr James Koh Kwee Choy, ketika mengimbau kembali pengalaman kali pertama menerima vaksin COVID-19. “Tapi tempoh suntikan diberikan itu sekejap saja dan tidak sakit, seakan cubitan kecil digigit semut,” katanya.
Keseluruhan proses janji temu mengambil masa sekitar dua jam, termasuk tempoh pengawasan oleh doktor selepas menerima suntikan. “Mereka membuat pengawasan—sekitar sejam setengah—ke atas kami untuk memastikan tiada sebarang tindak balas yang serius seperti kejutan anaphylactic,” jelas Prof James.
KESAN SAMPINGAN
Menurut Prof James, kesan sampingan berlaku pada kadar yang berbeza-beza dan pada tahap yang sangat minimum. Berdasarkan pengalaman beliau, tempat suntikan terasa sakit dan bengkak, beliau sendiri terasa sedikit letih sepanjang tiga hari selepas menerima suntikan. “Saya banyak tidur,” katanya. Malah, di kalangan rakan sekerjanya, ada yang demam dan rasa sakit menyucuk di badan.
Sementara itu, kesan sampingan suntikan kedua pula terasa lebih sakit berbanding suntikan sebelumnya. “Rasa lebih perit sedikit berbanding dos pertama. Sakitnya lebih ketara, bahu kiri saya membengkak, tubuh pula berasa amat letih dan rasa mengantuk,” katanya. Beliau turut mengalami bengkak kelenjar selama lebih seminggu. “Kali ini, saya mengambil paracetamol untuk mengurangkan rasa sakit,” tambahnya. Menurutnya, mengambil paracetamol pada kadar yang diluluskan adalah dibenarkan.
Kredit Foto: Google
“Tidak perlu risau tentang kesan sampingan yang akan dialami kerana semuanya itu sudah dijangkakan. Ia menunjukkan badan kita sedang bertindak balas untuk menghasilkan antibodi,” jelasnya. Tetapi, jangan pula bimbang sekiranya tidak mengalami apa-apa kesan sampingan. “Itu bukan bermakna vaksin tersebut tidak berkesan. Tetapi, anda dikira beruntung!” Walau bagaimanapun, kita dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami kesukaran untuk bernafas atau mengalami pening yang melampau.
BERSIAP SEDIA
Ketika ini, kebanyakan rakyat Malaysia sedang menunggu giliran masing-masing dan ada di antara anda mengambil langkah lebih berjaga-jaga dengan cara mendapatkan tidur yang cukup, menjaga pemakanan, dan kerap bersenam. Tetapi, adakah amalan-amalan ini wajar?
Sambil tergelak, Prof James menjawab, “Pada asasnya, kita memang perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat!” Tambahnya lagi, “Betul, kena rehat secukupnya sebab apabila kita menerima suntikan vaksin, tubuh anda seolah-olah sedang berada dalam medan peperangan. Jadi, apabila kita mendapat rehat yang secukupnya, tubuh akan lebih bersedia untuk memberi tindak balas berbanding sekiranya badan dalam keadaan keletihan. Sejujurnya, tiada persiapan khusus ditetapkan sebelum menerima suntikan.”
Sama juga setelah menerima vaksin, katanya: “Kalau berasa letih, rehat. Jangan pula secara tiba-tiba hendak buat aktiviti di gimnasium atau memulakan senaman berat sedangkan sebelum ini, tidak pernah buat pun. Memang tiada peraturan khusus dalam hal ini. Memadai untuk dengar dan fahami tubuh anda sendiri.”
Selain itu, tidak ada sebarang amalan khusus sama ada perlu berpuasa atau tidak sebelum menghadiri janji temu. “Tapi kalau anda seperti saya yang mudah berasa lapar, makanlah sesuatu untuk mengalas perut sebelum pergi,” katanya. Boleh juga bawa bersama sebarang snek sewaktu menghadiri janji temu. “Jangan bimbang jika rasa tidak sihat. Anda masih boleh menerima suntikan,” tambahnya.
Kredit Foto: Google
DOS KEDUA
Dos kedua pula akan diberikan selepas tiga minggu menerima dos pertama. Sekiranya anda tidak dapat hadir pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan, ia boleh dijadualkan semula. “Cuma jangan biarkan jarak masa yang terlalu lama. Walaupun terlepas dos kedua—terdapat beberapa hasil kajian yang menunjukkan satu dos masih mampu membekalkan perlindungan—namun amat penting untuk mengambil kedua-dua dos untuk memastikan keberkesanannya,” katanya.
Menurut pengalaman Prof James, janji temu kedua berlangsung dengan lebih cepat berbanding janji temu pertama, sekitar sejam lebih. “Tidak ada sesi taklimat atau kaunseling dan juga tidak ada sebarang borang untuk diisi,” jelasnya.
Tubuh anda akan mula dilindungi daripada virus selepas dua minggu daripada suntikan dos kedua. Ini bukan bermaksud anda tidak terdedah langsung kepada risiko jangkitan virus. “Anda masih boleh dijangkiti virus. Peranan vaksin bukanlah untuk melindungi tubuh daripada virus berkenaan. Ia sebenarnya berfungsi untuk mengurangkan tahap keseriusan jika berlakunya jangkitan COVID-19 yang boleh membawa kematian,” katanya.
Pada ketika ini, ramai pihak mula mempersoalkan keperluan vaksinasi. Tetapi, Prof James menjelaskan: “Sekiranya kita dijangkiti COVID-19 selepas menerima vaksin, jangkitan tersebut tidak seteruk seperti kebiasaannya. Sekiranya jangkitan itu sederhana, ia akan mengurangkan kadar kebolehjangkitan kepada pihak lain dan seandainya berlaku juga jangkitan, ia berlaku pada kadar lebih sederhana.
Kredit Foto: Google
KELAYAKAN PENERIMA VAKSIN
Terdapat dua kumpulan yang perlu berjaga-jaga. Pertama, mereka yang mempunyai daya tahan imunisasi badan yang lemah seperti pesakit HIV/AIDs atau mereka yang sedang menerima rawatan kemoterapi. Kedua, mereka yang mempunyai sejarah mengalami kejutan anaphylactic.
“Jika anda merupakan sebahagian daripada kumpulan yang disebutkan, sila rujuk dengan doktor yang merawat anda kerana mereka akan memberi nasihat dan menentukan jika tubuh anda boleh menerima vaksin atau tidak,” katanya.
Ada juga kumpulan yang perlu menangguhkan suntikan vaksin mereka. Ini boleh berlaku sekiranya anda ada menerima vaksin lain, seperti vaksin untuk flu atau hepatitis B, dalam tempoh dua minggu sebelum janji temu penerimaan vaksin COVID-19. “Anda akan diminta untuk menjadualkan semula tarikh suntikan vaksin COVID-19,” kata Prof James. “Ini bagi memastikan tubuh anda mempunyai masa yang cukup untuk pulih seperti sedia kala sebelum menerima vaksin yang lain.”
Faktor lain bagi penangguhan suntikan vaksin adalah apabila anda dijangkiti COVID-19. “Di Malaysia, praktis yang diguna pakai untuk memastikan bekas pesakit COVID-19 benar-benar layak untuk menerima vaksin adalah selama tiga bulan selepas anda sembuh,” ujar Prof James.
Situasi ini mungkin sukar untuk difahami – adakah antibodi terhadap COVID-19 tidak terhasil walaupun sudah sembuh daripada jangkitan COVID-19? “Ia terhasil tetapi tidak mencukupi,” jelas Prof. James. “Antibodi akan terhasil dalam tubuh bekas pesakit COVID-19, namun banyak kajian menunjukkan antibodi tersebut hanya bertahan selama enam bulan sahaja. Oleh itu, daftarlah untuk menerima vaksin seperti orang lain. Tidak perlulah merisikokan diri untuk dijangkiti sekali lagi,” tambahnya lagi.
TANDA SAYANG DENGAN MELINDUNGI MEREKA
“Sesiapa yang layak, ambillah vaksin kerana dengan cara itu, anda dapat melindungi golongan yang lemah,” kata Prof James. Bagi mencapai imuniti kelompok, 80 peratus populasi harus menerima vaksin. Maknanya, sebilangan besar daripada anda mesti menerima suntikan vaksin. Dengan menggunakan analogi dalam sebuah peperangan, Prof James membayangkan keadaan sebuah kota yang dipertahankan oleh sejumlah rakyat yang melindungi kanak-kanak, orang sakit dan golongan tua. “Jika kita lakukan bersama, kita pasti akan menang. Tapi sekiranya masing-masing cuba mengelak daripada berjuang, dan kita pula hanya mahu orang lain berjuang untuk kita, agak-agaknya apa yang akan berlaku?” soalnya.
Terdapat satu lagi soalan penting yang masih menjadi tanda tanya masyarakat di luar sana: “Vaksin jenama apa yang lebih baik?”
Prof James menjelaskan bahawa terdapat beberapa jenis vaksin yang bertindak dengan cara yang berbeza-beza. “Vaksin tradisional menggunakan virus tidak aktif, di mana tubuh badan manusia akan bertindak balas dengan cara mengeluarkan antibodi. Kaedah baharu pula menggunakan sesuatu yang dipanggil pengutus RNA (mRNA), di mana ia akan memasuki sel-sel otot—sebab itu, otot terasa sakit. mRNA menyebabkan sel otot menghasilkan komponen atau subunit-subunit virus corona, iaitu spike-protin virus sahaja. Lantas, tubuh akan bertindak balas dengan mengeluarkan antibodi,” jelas Prof. James. “Walaupun vaksin berbeza bertindak dengan cara yang berbeza-beza, namun ia telah dibuktikan selamat dan berkesan untuk digunakan.”
JALANKAN TANGGUNGJAWAB
Bagaimana dengan mereka yang mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat? Menurut Prof James, “Tiada manfaatnya untuk menunggu. Imuniti kelompok mesti dicapai dengan kadar segera memandangkan virus juga akan terus bermutasi. Lebih cepat kita semua menerima vaksin, lebih sukar untuk virus bermutasi dalam komuniti masyarakat. Melalui cara ini, kita dapat mengekang peluang virus untuk bermutasi menjadi sesuatu yang lebih membahayakan.”
Prof James juga menjelaskan salah faham mengenai jumlah penerimaan dua dos vaksin, sama ada ia memadai atau tidak. “Virus akan terus bermutasi dan kita perlu mendapatkan suntikan penggalak secara berkala.” Maksudnya, sama ada anda mahu menunggu atau tidak, suntikan penggalak akan menjadi sebahagian daripada hidup kita untuk satu jangka masa tertentu pada masa hadapan.
“Dapatkan vaksin, kerana kita bukan hanya melindungi diri kita, tapi turut melindungi orang lain,” katanya. Jika anda masih ragu-ragu, renungi kata-kata ini: “Sekiranya kita tidak mencapai imuniti kelompok, ia tidak akan merugikan mereka yang divaksin, cuma apa yang berlaku adalah, kita akan terus hidup dalam tempoh PKP yang tiada penghujungnya.”
Kredit Foto: Google
PADA HARI JANJI TEMU
  • Tiba awal untuk janji temu (sekitar satu jam setengah sebelum waktu janji temu)
  • Pilih pakaian yang longgar untuk memudahkan urusan suntikan vaksin pada bahagian bahu anda.
  • Bawa telefon bimbit bersama dengan ID MySejahtera dan Nombor Kad Pengenalan.
  • Hadiri taklimat dan pengesahan identiti. Anda akan diminta mengimbas kod QR beberapa kali dengan menggunakan aplikasi MySejahtera.
  • Satu sesi kaunseling ringkas akan disampaikan oleh doktor yang akan turut menyemak rekod sejarah perubatan serta masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ini, seperti alergi dan lain-lain.
  • Selesai urusan tersebut, anda dikehendaki menandatangani borang persetujuan sebagai bukti persetujuan anda untuk divaksin. Ini hanya akan dilakukan sewaktu menerima dos pertama.
  • Anda akan menerima suntikan vaksin. Disarankan untuk menerima suntikan di tangan yang tidak selalu digunakan, kerana kebanyakan penerima vaksin mengalami rasa sakit dan lenguh di tempat suntikan.
  • Anda perlu berehat untuk diawasi pihak doktor dalam tempoh 30 minit, bagi melihat sekiranya terdapat kesan-kesan sampingan yang serius.
  • Anda akan menerima notifikasi dos kedua (dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas menerima suntikan pertama). Proses menerima dos kedua lebih pantas kerana tiada sesi taklimat atau kanseling.
Selepas menerima dos kedua, anda akan diberikan kad untuk mengesahkan yang anda telah menerima kedua-dua dos. Kad ini juga boleh didapati di aplikasi MySejahtera.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live