Highlights

Jangan Buang Adik-Beradik Saudara Sedaging Asbab Beza Pendapat, Tak Sepakat. Hilang Berkat Dunia, Akhirat.

gempak
Huda Hussain
04/11/2020
14:45 MYT
Sponsor Banner
Jangan Buang Adik-Beradik Saudara Sedaging Asbab Beza Pendapat, Tak Sepakat. Hilang Berkat Dunia, Akhirat.
Sepanjang tempoh PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya penulis juga tidak terkecuali perlu bekerja dari rumah. Bahkan sudah berbulan lamanya, segala urusan kerja hanya beroperasi dirumah. Dan memandangkang masa yang banyak terluang, maka ada ketikanya memori dan ingatan ini terimbau pada kenangan lalu. Menyorot kembali album maya, memori yang diingatkan Facebook ada masanya menjeruk rasa. Memori zaman kecil bersama adik-beradik dan sepupu sepapat yang terlalu indah untuk dikenang.
Namun kini atas asbab keterbatasan waktu, kesibukan kerja juga kekangan pergerakan susulan pandemik Covid-19 banyak mengajar tentang soal muhasabah diri dan pengertian syukur yang mencakupi segala aspek. Dan dalam konteks nukilan ini (berbicara mengenai adik-beradik) membuatkan penulis terpanggil untuk berkongsi kisah mengenainya. Dikurniakan adik-beradik yang akrab dan rapat (hampir setiap hari kami berkomunikasi menerusi Whats App group, walau ahlinya hanya tiga orang). Saling ingat-mengingati antara satu sama lain, bertukar cerita mengenai apa yang dilakukan saban hari, berkongsi menu masakan, meluah rasa rindu untuk bersua muka kerana feel kala video call memang takkan pernah sama apabila dapat bertepuk tampar, bergelak tawa hingga keluar air mata.
Kredit Foto: Google
Kerana itulah hakikat adik-beradik. Lebih-lebih lagi yang tinggal berjauhan. Rasa rindu, ingin tahu dan mengambil berat itu mengatasi segalanya. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya (jika bersesuaian) akan diceritakan. Tiada rahsia, iri hati, cemburu mahupun dengki sesama sendiri kecuali jalur privasi tersendiri yang perlu dihormati dan dibatasi. Itu sudah memadai. Renungkan dan ambil iktibar daripada perkongsian kata bijak pandai mengenai perihal adik-beradik ini.
  1. Ketika ada peluang dan kesempatan, pergilah ke mana jua bersama adik beradik dan anak-anak buah. Berkumpul beramai-ramai bukan sekadar makan, minum dan bersembang. Tetapi beringatlah, waktu hidup kita semakin singkat. Mungkin antara kita atau adik, kakak dan abang yang bakal menemui Maha Pencipta terlebih dahulu. Maka dengan itu, kukuhkanlah persaudaraan.
  1. Mungkin lain waktu kita tidak akan bertemu lagi. Contohnya sepanjang pandemik Covid-19. Beruntunglah adik-beradik yang tinggal hanya sekangkang kera. Berbeza amat yang perlu merentas negeri, menyeberangi Laut China Selatan dan sebagainya. Sungguh terasa kerinduan kepada keluarga yang jauh di mata.
Kredit Foto: Google
  1. Mungkin lain waktu kita sudah semakin susah untuk berjalan. Atas asbab penyakit, kesakitan lain dan apa jua yang membataskan pergerakan kita. Tak perlu tunggu sehingga masing-masing melangkah ke fasa warga emas. Ketika remaja dan belia sekalipun diuji dengan pelbagai kesukaran. Insaflah.
  1. Menghabiskan sebahagian waktu dengan adik-beradik akan membuatkan hidup kita lebih sihat secara mental dan fizikal. Apabila bersua, secara automatik kita takkan terfikir soal kerja kan? Seolah-olah bersua muka dengan adik-beradik, hilang seketika bebanan kerja yang takkan pernah habis itu.
  1. Umur itu seperti ais batu. Dipakai atau tidak akan tetap mencair dan berakhir. Bagaikan rugi andai ia tidak dimanfaatkan sebaiknya. Begitu juga dengan umur kita. Digunakan atau tidak digunakan, umur kita akan tetap berkurang, dan akhirnya kembali ke pangkuan Ilahi.
Kredit Foto: Google
  1. Senyumlah dan berfikir tentang perihal positif. Air yang mengalir tidak dapat berbalik arah. Begitu jualah dengan kita yang tidak akan mungkin dapat kembali menjadi muda lagi.
  1. Kita tidak akan dapat lari daripada berhadapan dengan realiti hidup bahawasanya suatu hari nanti kita akan tua, sakit dan akan meninggalkan dunia ini. Justeru, jalani hidup ini dengan ceria, sabar dan santai serta memperbanyakkan amal ibadat sesama kita.
  1. Jangan suka mahu menang sendiri, sementara adik-beradik lain selalu salah. Kerana hakikatnya hidup sebagai adik-beradik kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kekurangan yang ada dalam diri adik bisa ditampung dengan kelebihan yang ada pada susuk seorang kakak. Dan begitu juga sebaliknya.
  1. Fahami dan terimalah prinsip persaudaraan. Jangan suka mengeluh atau membenci sesama adik-beradik sendiri. Kerana apa? Hidup ini terlalu singkat untuk selalu mementingkan diri sendiri.
Kredit Foto: Google
  1. Jangan buang adik-beradik saudara sedaging, hanya disebabkan berbeza pendapat dan tidak sepakat. Satu keburukan adik-beradik dalam keluarga, bukan bererti hilang sembilan kebaikan yang pernah dilakukannya.
  1. Perbanyakkanlah waktu untuk berkumpul dengan adik-beradik kita. Siapa tahu mereka inilah nanti yang akan menjadi penolong kita di akhirat kelak. Buang jauh-jauh sifat ego, cemburu, dengki yang bersarang dalam hati.
  1. Terimalah kekurangan dan kelebihan sesama adik-beradik. Kerana sesungguhnya tiada yang sempurna sesama kita kecuali berusaha untuk menyempurnakan dan menutupi kelemahan serta kekurangan masing-masing.
Kredit Foto: Google
  1. Nikmati semua masa bersama. Saat bergurau senda dan bergelak ketawa. Hargai dan raikan perbezaan yang ada. Usah sampai mencetus perbalahan dan membangkitkan perselisihan yang mengguris hati dan perasaan.
  1. Jaga perasaan mereka, tutupi aibnya. Hormati yang berusia, kasihi yang muda. Bantu ketika dia jatuh, sediakan bahu ketika dia menangis. Jika bukan kita yang bantu mereka darah daging kita, siapa lagi yang boleh diharapkan?
  1. Percaya pada kemampuan adik- beradik kita. Tunjukkan sokongan, raikan kejayaan dan bergembiralah bersama-sama saat mereka mengecap kejayaan. Jangan sesekali lupakan adik-beradik kita. Sebut namanya dalam doa kita dan ikhlaskan hati memohon perlindungan-Nya buat semua.
Kredit Foto: Google
Waima apa jua yang pernah berlaku, sengketa yang pernah berbangkit sesama adik-beradik, tetaplah dengan pendirian ini. Bertemanlah dengan hati yang baik dan tulus. Damaikan rasa gundah dengan penuh ikhlas. Kerana ketika hatimu baik dan tulus, yakin dan percayalah; Tuhan juga akan selalu ada bersama. Teruskan bersilaturahim dengan adik-beradik sehinggalah saat Tuhan berkata tiba waktunya salah seorang daripada kita pulang bertemu-Nya. Dan andai ajal yang memisahkan, tiada apa lagi yang mampu menghalang. Hiduplah kita dalam imbauan yang membuatkan kita sentiasa terkenang-kenang susuk yang tiada lagi dihadapan mata. Tak mampu merangkul erat pelukan mesra, mengucup tangan dan pipi dengan penuh kasih dan sayang. Hargai dan jagalah silaturahim ini. Biar kekal mewangi hingga ke akhir masa. Sayangi dan kasihi adik-beradik kita lillahitaala.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024