gaya hidup

Jangan Samakan Suami Kita Dengan Suami Orang Lain – Lain Suami, Lain Cara Sayangnya. Terima Seadanya.

gempak
Afiza Kamarulzaman
10/03/2021
14:22 MYT
Sponsor Banner
Jangan Samakan Suami Kita Dengan Suami Orang Lain – Lain Suami, Lain Cara Sayangnya. Terima Seadanya.
Ramai isteri hari ini bersikap terbuka di laman sosial apabila bercakap soal rumah tangga khususnya sikap suami masing-masing. Ada yang suka memuatnaik status memerli atau menyindir suami. Ada pula yang suka ‘tag’ suami pada mana-mana posting orang lain dengan niat suami mengetahui hasrat hatinya secara halus.
Apa pun alasan atas tindakan itu, jika suami tidak berkenan dan tidak reda dengan kelakuan isterinya itu, ia tetap jatuh dosa. Ingatlah matlamat tidak menghalalkan cara walaupun mungkin niat asal kamu sekadar suka-suka atau mahu menegur suami dengan cara berhikmah dan sinis.
Ada isteri secara tidak sengaja atau tidak sedar, tindakan mereka itu telah pun membuka aib suami sendiri. Walaupun dimuat naik sesuatu itu secara berlapik atau tidak ‘direct’, namun jika pengikut mampu membuat andaian sendiri, ia sedikit sebanyak mencalarkan maruah si suami.
Nabi pernah berkata, “Diperlihatkan Neraka kepadaku dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, mereka kufur.”
Para sahabat bertanya, “Apakah kerana mereka kufur kepada Allah?”
Rasullulah SAW menjawab: “Tidak, mereka kufur kepada suaminya dan mereka kufur kepada kebaikan suaminya. Seandainya seorang suami daripada kalian berbuat kebaikan kepada isterinya selama setahun, kemudian isterinya melihat sesuatu yang jelek pada diri suaminya, maka dia mengatakan, ‘Aku tidak pernah melihat kebaikan pada dirimu sekalipun.”
Kredit Foto: Google
Berkomunikasilah Dengan Baik
Jadilah seperti pasangan suami isteri dulu-dulu yang sebelum memiliki media sosial. Bagaimana mereka menyelesaikan masalah rumahtangga tanpa perlu menghebahkannya di khalayak umum? Mereka tidak perlu memuatnaik status memerli atau ‘tag’ sana sini suami mereka semata-mata mahu menyampaikan mesej.
Tanyalah kepada mana-mana pasangan bahagia lainnya, apakah petua atau tips kerukunan rumah tangga? Jawapan yang pasti ada ialah komunikasi yang berkesan antara suami dan isteri. Percakapan secara terus sangat penting untuk menyampaikan isi hati kita kepada pasangan.
Usahlah amalkan kata berlapik-lapik atau berfikiran ‘nanti dia faham sendirilah’. Hati dan fikiran seseorang boleh berubah dalam masa beberapa minit, walaupun kamu sudah kenal pasangan bertahun-tahun lamanya. Maka, apa juga mesej yang ingin disampaikan, lontarlah secara jelas.
Kredit Foto: Google
Terima Saja Baik Buruk Suami Kita Seadanya
Jangan pandang suami orang itu baik semuanya. Seperti juga suami kita sendiri, suami orang itu juga pasti ada buruknya. Bezanya keburukan atau kelemahan suaminya itu tidak dicanangkan. Atau dia sejenis isteri yang suka telan saja apa jua keburukan suami tanpa memikirkannya sangat.
Begitulah sebaiknya bagi kamu sebagai isteri. Kenapa harus dilihat baiknya suami orang, jika suami sendiri mempunyai kebaikan yang mungkin kamu terlepas pandang. Lain orang lain caranya. Kamu sendiri pasti ada kekurangan jika dibandingkan dengan isteri orang lain. Tapi, mungkin suami tidak pernah memikirkannya.
Jadi, terimalah pasangan itu seadanya selagi sikapnya tidak melampaui batas. Jika dia bukan seorang yang romantik, reda sajalah. Mungkin cara romantiknya ditunjukkan dengan mencuci berak anak atau membawa kamu berjalan ke pasar malam. Dia mungkin tidak reti mahu membuat kejutan sejambak bunga atau membawa kamu ke hotel lima bintang.
Namun, di hatinya hanya ada kamu. Adakah kamu rasa isteri yang suaminya selalu membuat kejutan itu benar-benar menyanyangi isterinya sepenuh hati? Adakah isterinya tidak pernah makan hati dengan suaminya di rumah? Jadi, hargailah apa saja yang Tuhan tadirkan untuk hidupmu.
Insya-Allah, jika kita sentiasa bersyukur dan reda dengan setiap yang Tuhan tentukan, kehidupan kita akan menjadi lebih baik hari demi hari. Allah akan beri kecukupan dalam hati dan jiwa kita. Memandang suami sendiri paling sempurna dan the one and only di dunia hinga akhirat nanti.
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live