Inilah yang dikatakan kekuatan jodoh; walau ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu jua. Walau yang perempuan Melayu, dan lelakinya India, kalau sudah takdir tertulis kalian suami dan isteri, maka terikatlah jodoh, tidak kira apa jua bangsa dan agama. Inilah kisah cinta Siti Nurazlinee Azmi, 36 dan Muhammad Hariz Ramesh Pillai Abdullah, 54.


“Ketika masih berkira-kira untuk membuatkan keputusan sama ada menerima atau tolak lamaran suami, saya pegang pada kata-kata seorang sahabat. Katanya, “Lebih baik berkahwin dengan lelaki yang betul-betul mencintai kita sebab mustahil untuk dia berubah hati. Cinta seorang suami mudah beralih arah tetapi sayang seorang isteri akan kekal sampai mati.” Luah Azlinee mengimbas kembali saat bagaimana hatinya terbuka menerima sang suami.







Bagaimana perkenalan bermula dan seterusnya membawa ke ikatan akad?

Awal perkenalan pada akhir tahun 2004. Tempat pertemuan pertama di pejabat Seremban ketika menjalankan tugasan liputan berita untuk RTM Negeri Sembilan. Ketika itu suami di NSTP Seremban. Pertama kali berjumpa di pejabat bekas MB Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sidang media mingguan Kerajaan Negeri. Dari hari pertama itu, saya sudah tahu suami memang suka perempuan Melayu melalui seorang rakan setugas. Sebenannya, pada awal pertemuan itu suami tak pandang pun saya dan saya tak pun tak hairan pun dekat dia. Cuma, dia selalu menumpangkan keretanya kepada saya dan rakan kerana kebetulan kami tiada kenderaan.


Lama-kelamaan, kami menjadi rapat tapi saya berasakan lebih kepada hubungan rakan seperjuangan saja. Sepanjang tempoh kenal antara 2004 hingga 2008 banyak kali juga saya larikan diri daripada dia tetapi dia kejar dan hubungan kami tidak pernah wujud dengan perkataan ‘declaration’ sebagai pasangan kekasih. Walau pun saya cuba menolak hubungan ini, namun dia sanggup datang ke kampung saya di Muar berjumpa wali saya dan merayu untuk menikahu saya. Melalui beberapa peristiwa yang bagi saya ‘biarlah rahsia’, saya pasrah dan terima ketentuan takdir. Inilah jodoh saya yang dah ditentukan Tuhan. Sekitar Jun atau Julai dia memeluk Islam selepas mendapat restu ibunya. Pada 24 Ogos kami bertunang dan tanggal 27 Disember 2008 kami bernikah. Alhamdulillah, tahun ini genap 12 tahun.


Ya, jodoh, rezeki, ajal dan maut sudah ditentukan Tuhan, namun agaknya bagaimana Azlinee boleh ‘tersangkut’ lelaki India?

Saya sendiri tak pernah terfikir untuk bersuamikan bangsa asing, jauh sekali untuk memilih. Saya cuma percaya jodoh itu daripada Allah SWT. Awal pertemuan pun kami bukanlah bercinta sakan. Namun, tak dinafikan dari zaman sekolah lagi, saya selalu doa agar dijodohkan dengan lelaki yang tak ada keluarga. Errr..pelikkan? Hahaha.. Itulah saya ni banyak terpengaruh dengan drama Melayu. Dulu, selalu tengok drama yang memaparkan kisah-kisah keluarga yang punya mak mertua benci menantu, ipar-duai perangai tak baik. Dan, yang paling kelakar sebab saya tak nak kongsi raya! Kalau boleh setiap tahun nak balik beraya di Muar tanpa kompromi. Aduh, lain macam kan impian saya tu! Hahaha... Tapi tak sangka pula Tuhan makbulkan dengan cara berbeza (berjodohan dengan bangsa asing).







Apa kata ke dua-dua belah keluarga apabila kalian menyatakan hasrat untuk berkahwin?


Senang cerita penerimaan awal memang agak susah. Baik keluarga saya dan keluarga dia. Mungkin bagi keluarga saya, dia lelaki India dan bagi keluarga dia pula Ramesh anak lelaki tunggal dan banyak tanggung jawab untuk keluarga. Kadang-kadang tu, apabila difikirkan balik, sesetengah kesilapan itu datang daripada kita yang Islam ini. Ada beberapa kes yang terjadi dalam kalangan orang kita, sebaik berkahwin dengan bangsa asing (bukan Islam), kita bertindak menjauhkan pasangan daripada keluarganya. Tiba-tiba semua jadi ‘haram’, walhal Islam itu cukup indah dalam menyantuni kaum keluarga walau berbeza agama.


Hubungan silaturahim tidak akan putus walau agama sudah berbeza. Sama seperti kita meraikan perayaan mereka. Meraikan bukan bermaksud mengamalkan cara agama mereka tetapi sekadar menghormati apa yang mereka sambut. Contohnya, Deepavali hanyalah sambutan tahun baru. Hadir di rumah mentua dan berkumpul bersama keluarga adalah amalan yang baik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tak kanlah kita nak putuskan hubungan ibu dan anak, kakak dan adik? Tiada larangan tentang itu sama seperti meraikan perkahwinan dan menziarahi kematian. Selagi tahu batas agama, Insya-Allah tiada apa yang haram.



Bagaimana permulaan membiasakan diri dalam keluarga suami dan penerimaan mereka sendiri?


Jujurnya, bukan mudah tetapi Alhamdulillah berkat sabar dan pandai-pandailah membawa diri, lama-kelamaan semua berjalan dengan baik. Alah, mana-mana keluarga pun, walau sebangsa pun, kalau baru nak masuk, mestilah ada canggungnya. Seperti saya katakan tadi, kebiasaannya mereka risau kita yang Islam ini melarang pasangan kita terus berhubung dengan keluarganya. Sebenarnya, apa yang paling saya risaukan pada awal perkahwinan adalah, adakah saya mampu membimbing suami untuk kenal Islam? Insya-Allah, kalau dia betul-betul kenal Islam, dia sendiri akan tahu tanggungjawabnya terhadap keluarganya itu.







Berdasarkan pengalaman Azlinee, apa istimewanya menikahi bangsa asing, terutama daripada segi hubungan kekeluagaan?


Memang banyak istimewanya dan yang paling seronok pastilah anak-anak. Mereka berpeluang kenal dua budaya dan cara hidup. Hubungan kami anak-beranak sangat baik dan saya memang kagum dengan cara keluarga suami terutamanya dalam bab menjaga ibu mereka yang sakit. Sama-sama pikul tanggungjawab dan tidak seorang pun bersikap lepas tangan. Saya sendiri tak pernah melarang suami berbakti kepada ibunya walau dengan apa cara sekali pun. Saya mempunyai tiga kakak ipar dan mereka memang baik, terima saya seadanya dan sayangkan (terlalu sayang) tiga anak buah mereka ni. Anak-anak saya ni pun manja dengan ibu dan bapa saudara yang digelar velama, velacha, tiga sepupu mereka etta dan cechi mereka.



Boleh Azlinee kongsikan apa menariknya cara hidup dan budaya keluarga suami?


Sama seperti dalam filem Kollywood atau Bollywood, taraf ibu itu paling tinggi. Sebenarnya, dalam Islam sendiri pun sudah meletakkan taraf ibu itu setinggi mana, kan? Cuma kita yang kadang-kadang buat-buat lupa. Memang kagum lihat cara mereka jaga ibu mentua. Saya juga sangat bersyukur dikurniakan ibu mentua yang baik, lembut dan pandai pula memasak.


Tidak dinafikan suami memang anak yang manja. Ketika ibu mentua masih sihat, selalulah dia masak dan saya sempat belajar cara masak lauk kegemaran suami. Tak nampak dia bezakan saya hanya kerana saya Melayu atau Islam. Ayah pun selalu pesan, keluarga mentua pun keluarga kita. Jaga adab dan jaga agama. Baru boleh bahagia. Terima apa pun dengan baik, Insya-Allah yang baik juga akan datang kepada kita.






Apa cabaran terbesar mengahwini lelaki berlainan bangsa dan agama?


Cabaran itu lebih kepada berdepan dengan suami. Perempuan nak bimbing lelaki sebenanrya rumit, lagi-lagi untuk lelaki yang dah berumur 42 tahun baru berkahwin dan peluk Islam. Cara saya mungkin agak ‘kasar’ bab mendidik hal agama ni. Niat sebenarnya nak bagi senang sikit untuk faham. Tapi syukur Alhamdulillah, dia sendiri pun banyak belajar mencari sendiri. Suami pun ingat pesanan keluarganya agar mematuhi agama baru dengan baik jika sudah itu yang dia yakini.


Satu kelebihannya, ketika saya kenal dia dulu pun, dia memang seorang lelaki yang baik, lurus dan jujur. Orang kata kalau dah ‘asasnya’ itu memang dah baik, mudah saya dilenturkan walau apa pun agamanya. Saya ni sampai pernah kena warning dengan beberapa kawan baiknya supaya tak permainkan dia. Hahaha...



Nasihat Azlinee buat yang mahu berkahwin dengan bangsa asing, terutamanya bab membimbing mereka mengenal agama?


Kita kena bimbing diri kita dulu sebelum membimbing mualaf. Kalau kita lemah dan kita tak ada ilmu nak membimbing, semua itu sia-sia. Bayangkan soalan pertama suami selepas peluk Islam adalah; “Allah jadikan bermacam agama dan bangsa tetapi kenapa Islam saja yang diterima?” Bayangkan kalau kita tak ada pengetahuan, macam mana nak jawab? Saya pun tidaklah sehebat mana. Kadang-kadang tu pening juga nak jawab macam-macam soalan dia. Namun, mungkin Allah berikan saya hati yang cekal dan mental yang kuat, jadi bolehlah saya tanganinya perlahan-lahan. Kalau ada yang saya tak pasti, saya rujuk dengan ayah saya atau kawan-kawan yang lebih ilmunya.


Saya juga ingin tekankan tentang pentingnya kita menunjukkan adab yang baik dengan keluarga mentua agar mereka nampak nilai baik agama kita. Sebenarnya semua agama praktikkan nilai murni dalam kehidupan tetapi selalunya kita yang Islam ini yang gagal praktikkan. Entah di mana silapnya? Saya pun masih belajar. Pada saya bukan hanya pasangan mualaf yang perlukan hidayah Allah tetapi kita yang dah lahir sebagai Islam ini pun perlukan hidayah Allah untuk menjadi umat-Nya yang baik.