Teks; Nor Hatina Shuib

CURANG, adalah satu perkataan yang sangat dibenci sesiapa saja terutama mereka yang setia dalam perhubungan dan benar-benar mencintai pasangan.


Berbicara berkenaan soal curang, adrenalin pasti membuak-buak kerana perbuatan itu satu perbuatan pengkhianatan dalam satu-satu hubungan perkahwinan atau pun percintaan.


Tidak semua orang bertuah memliki pasangan yang setiap sehingga hujung nyawa. Walaupun sebelum berkahwin bercinta sakan dan umpama merpati sejoli, ia bukan bukti kisah cinta anda tidak akan bertukar kepada kisah curang.


Walaupun bukan semua lelaki cenderung untuk curang, tetapi curang ini adakalanya hadir secara tiba-tiba. Zaman ini, ramai wanita lebih gemar meminati suami orang berbanding lelaki bujang.


Antara faktornya adalah kewangan kukuh, lebih bijak berkata-kata, romantik, mengambil berat dan kerjaya yang stabil. Ini antara yang didambakan ‘si perampas’.


Lelaki pula mudah hanyut dengan perwatakan manja kekasih gelapnya berbandin isteri sendiri biarpun isteri memiliki rupa menawan, tubuh persis model dan sikap kewanitaan yang sempurna.


Sama seperti sikap lelaki, sukar diterjemahkan, begitulah kecurangan yang membabitkan kaum Adam ini sukar dimengertikan.


Kecurangan yang biasanya berakhir dengan pertelingkahan dan paling parah membawa ke arah perceraian ini biasanya bukan disebabkan kelemahan isteri.


Walaupun isteri yang dicurangi begitu sempurna, tetapi lelaki bernama suami masih membuka ruang untuk menempatkan wanita lain di hatinya.
Kredit foto: Google



Adakah mereka ini individu yang sunyi, cuba ‘test market’ atau benar-benar mahu mencabar kesabaran wanita. Kisah seorang teman yang dicurangi suaminya cukup tragis.


Mana tidaknya, dia hanya sedar suami sudah berkahwin lain setelah kematian madu yang tidak pernah dikenalinya.


Mahu tidak mahu, bagi tidak memanjangkan perbuatan suami, dia redha dengan ketentuan Illahi. Sehingga hari ini, dia masih tetap bersama suami dan lebih menyayat hati, sama-sama membesarkan anak hasil perkongsian suami dengan wanita lain.


Lihat, betapa murninya hati seorang wanita yang kamu lukai dan kamu curangi.


Curang itu bukan takdir tetapi pilihan. Malah, curang itu memerlukan dua pihak. Bak kata pepatah, bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi.


Bagaimanapun, jika anda wanita yang setia pada cinta, tidak pernah mencurangi pasangan dan pasangan anda adalah sebaliknya, jangan ada rasa sedikit pun rasa bersalah atau kekurangan.



Lelaki Curang Lebih Cepat Mati, Berbanding Lelaki Setia?

Nah para lelaki…. Baca dan hayati. Satu kajian yang dijalankan oleh saintis dan diterbitkan dalam Jurnal Of Sexual Medicine oleh University Of Florence, Itali mengatakan, tabiat curang terbukti menjadikan lelaki meninggal lebih cepat daripada lelaki setia.


Lelaki curang dikatakan pendek umur atau cepat meninggal. Kajian mendedahkan, lelaki yang gemar belaki curang lebih cepat meninggal daripada jenis lelaki setia dan antaranya disebabkan penyakit serangan jantung.


Kredit foto: Google


Barisan saintis daripada Universiti Florence juga mendapati realitinya, jika lelaki yang sudah berkahwin curang dengan isterinya. Mereka ini lebih berisiko mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.


Ini diperkuatkan lagi oleh banyak laporan yang mengatakan bilangan kes lelaki meninggal semasa curang kerana serangan jantung adalah sangat tinggi.


Menurut pasukan penyelidikan, banyak kes serangan jantung yang menyerang lelaki ketika curang disebabkan oleh beberapa faktor.


Pertama, keadaan kebimbangan yang berlebihan semasa berkahwin adalah faktor utama. Kedua, kegunaan dadah yang berlebihan menjadi faktor tambahan.


Para penyelidik berkata, kebanyakan lelaki yang curang adalah lelaki tua yang kejantanannya mula menurun.


Walaupun pasangan curangnya adalah gadis muda yang masih sangat kuat dalam hal keintiman. namun untuk memenuhi keinginan pasangan, lelaki yang lebih tua sering mengambil ubatan yang menyebabkan serangan jantung tiba-tiba.


Malah, lelaki curang walaupun zahirnya kelihatan cukup gembira, tetapi sebenarnya dalamannya sedang menderita dalam melalui kehidupan yang dipilihnya sendiri.


Secara luarannya, mungkin seorang lelaki yang suka curang kelihatan begitu bahagia bersama pasangannya. Walau bagaimanapun, sebenarnya mereka mengalami tekanan hidup yang cukup berat.


Bukan mudah menyembunyikan rahsia kecurangan daripada isteri dan menuntut komitmen yang tingi.

Kredit foto: Google


Kajian berkenaan juga menunjukkan, setiap kali lelaki curang , mereka akan melalui rasa tidak selesa, cemas, kebimbangan yang berlebihan dan boleh menyebabkan kemurungan atau tekanan stres.


Ini satu kebiasaanya kita lihat kepada lelaki yang curang. Mereka tidak senang duduk, cemas dan sentiasa berhati-hati dengan perbuatan mereka.


Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan fizikal lelaki. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa lelaki yang setia, psikologi lebih sihat dan lebih bahagia daripada lelaki yang suka curang.


Sementara itu, ada satu kajian lain menunjukkan lelaki yang memiliki suara ala-ala 'macho' dan lebih maskulin menarik perhatian wanita dan cenderung untuk curang.


Kajian yang dilakukan di China dan diterbitkan menerusi jurnal 'Personality and Individual Differences' mendapati lelaki bersuara macho ini lebih banyak berlaku curang berbanding lelaki bersuara halus atau feminin.


Manakala sebuah kajian lain juga mendapati kelakuan curang berkait rapat dengan nada ketika berbicara dan komitmen mereka terhadap pasangan.


Tetapi kajian ini bukan melabelkan semua lelaki bersuara macho sebagai tidak setia sebaliknya kajian ini dilakukan terhadap beberapa faktor lain termasuklah koresponden masih belum mempunyai keinginan berkahwin atau mempunyai komitmen hubungan dalam tempoh jangka panjang.


Prespektif mereka terhadap hubungan cinta dan pernikahan juga berbeza berbanding lelaki dan wanita yang lebih berusia dan berpengalaman.

Kredit foto: Google


Jom Kita Lihat Kenapa Lelaki Pilih Untuk Curang


Ingin Tunjukkan Kejantanan?
Biasanya lelaki curang ini sekadar cuba-cuba melihat mereka masih menjadi rebutan wanita atau pun tidak. Selalunya berlaku kepada lelaki yang penuh egois.


Mereka ini adalah golongan lelaki yang kurang prihatin terhadap perasaan pasangan. Curang itu memerlukan seseorang itu kering hati untuk melakukannya.


Ada juga lelaki yang mungkin ada niat untuk mencurangi pasangan akibat digoda wanita tetapi berfikir terlebih dulu berkenaan perasaan, pengorbanan dan kasih sayang isteri.


Membayangkan wajah anak pun cukup membuatkan mereka berpatah balik. Ini bezanya lelaki curang dengan si lelaki setia.



Kurang Kasih Sayang. Benarkah?
Teori curang selalunya dikaitkan dengan seks namun hanya segelintir dari mereka yang mengakui ianya berpunca dari nafsu dan selebihnya mencari seseorang yang sudi mengisi kekosongan hati.


Ramai lelaki curang menjadikan ini sebagai alasan. Mereka mengatakan ruang hati seakan-akan kosong walaupun sudah ada isteri yang dinikahi.


Kebanyakan mereka juga mula mengaitkan isteri kurang memberi perhatian dan fokus kepada mereka.


Kadangkala alasan ini ada benarnya terutama buat wanita yang lebih fokus kepada anak selepas melahirkan anak berbanding memberi tumpuan penuh kepada suami.


Namun, sebagai lelaki fahamilah mereka sedang giat membesarkan waris kamu supaya menjadi anak yang sempurna.

Kredit foto: Google


Rasa Bersalah
Walaupun pernah berjanji tidak akan menduakan anda, lelaki lebih mahir dalam membahagikan perasaan dan menjadi dua orang berbeza dalam situasi di rumah dan situasi di luar.


Menurut kaji selidik, kebanyakan mereka tidak berniat untuk curang tetapi rasa bersalah yang ada masih belum mencukupi untuk sukakan wanita lain.


Kadangkala mereka rasa terhutang budi dengan kebaikan wanita lain, bantuan ditawarkan kepada mereka dan bahu yang dipinjamkan seketika saat mereka rasa sunyi, sedih atau sedang melalui tekanan seperti kerja.




Ada Geng Curang
Cuba perhatikan dengan siapa suami anda sedang berkawan. Kadangkala lelaki ini mudah dipengaruhi temannya sendiri.


Apa yang dimiliki si teman, dia juga tidak mahu kalah memiliki. Biasanya mereka ini dikelilingi lelaki yang turut sama curang, jadi boleh berkongsi idea sama untuk menutup kecurangan masing-masing.


Sikap mencabar satu sama lain juga antara faktor kenapa lelaki pilih untuk curang dengan pasangan.


Malah, ia kadangkala pada awalnya hanya sebagai gurauan, tetapi peluang yang ada itu diteruskan juga kerana rasa satu kerugian jika tidak meneruskan.