Highlights
KISAH BENAR — Asyik Fikir NAK MATI, Boleh Jumpa Mak Kat “SANA”, Lelaki Ini Bongkar Cerita Depresi Yang Hampir Makan Diri
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2018 mendapati 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.
Manakala penyelidikan pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia pula menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga 2015.
Malah berdasarkan Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 sebelum ini mendedahkan, sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.
Ya, mendengarkan angka ini sahaja sudah cukup menyesakkan dada lantas mencetuskan kebimbangan tentang masa hadapan anak muda yang bakal menerajui segalanya di masa akan datang.
Memetik kata Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye tahun lalu, depresi atau kemurungan bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020 susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.
Dan terbukti ia bukan sekadar cakap kosong kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak kes kemurungan dan penyakit mental lain yang berakhir dengan tragedi kematian lantas mengejutkan semua pihak.
Kemurungan atau dalam terma perubatan dikenali sebagai "Major Depressive Disorder (MDD)" adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan individu itu berasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan tiada tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.
Pada mulanya ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu. Penyakit ini boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira faktor umur, jantina atau bangsa. Bahkan kemurungan boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan atau ber tahun-tahun.
InTrend berkesempatan menemu bual bersama seorang individu yang ‘berperang’ dengan penyakit ini sehingga dimasukkan ke hospital dan masih bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan. Ikuti pengakuan Faizul (bukan nama sebenar) mengenai kisah depresinya.
Sejak bila mula rasa ada sesuatu yang tidak kena pada diri Faizul?
Pada tahun 2016, waktu itu sibuk bekerja dalam bidang fesyen dan penataan gaya. Galak berpesta, party sana sini. Dan ya, saya mengaku mengambil dadah dan minum alkohol ketika itu.
Simptom awal atau perubahan yang dirasai?
Saya banyak jauhkan diripada orang ramai. Cuma duduk rumah saja selama setengah tahun. Dan saya tak berhubung dengan sesiapapun. Pendek kata memang saya tak contact dengan semua orang yang saya kenal.
Apa perasaan dan apa yang Faizul fikirkan waktu itu?
Ia datang dengan tiba-tiba terutamanya apabila saya mula rasa down, bila tengah penat dan lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini saya banyak jatuh sakit.
Sejauh mana faktor ketiadaan ibu beri impak dalam semua ini?
Sejak Mak meninggal, hidup saya bagaikan berubah 360 darjah. Hidup rasa kosong sangat. Pernah terfikir nak mati sahaja. Kalau hidup seharian pula, dari punya kedai di Klang; saya abaikan dan biarkan macam itu sahaja. Bisnes sendiri pun entah ke mana.
Kalau pandu kereta, saya suka bawa laju-laju. Tak kisahpun kalau mati tengah-tengah jalan pun tak apa. Saya cuma fikir satu saja, kalau mati boleh ‘jumpa’ Mak di sana. Itu yang saya sematkan dalam kepala, yang saya nak sangat. Saya tak mahu bunuh diri tapi perasaan nak mati sentiasa ada.
Kawan-kawan pula, kenapa Faizul jauhkan diri daripada mereka?
Saya selalu fikir tak mahu susahkan kawan-kawan dan tak mahu kawan-kawan tahu masalah yang saya alami. Saya suka dan selesa pendam sendirian. Dan kemudian saya bawa diri, duduk memerap di rumah saja.
Adakah kerana kawan juga membuatkan Faizul berasa tertekan dan sebagainya?
Ya, ia salah satu puncanya. Hinggakan, saya rasa susah sangat kalau nak berjumpa dengan orang. Pendek kata, kemahiran berkomunikasi dan interaksi itu sudah hilang. Jadi kekok kalau nak jumpa orang dan berbual.
Entah kenapa, sebelum berjumpa sesiapa saya diselubungi perasaan berdebar dan takut. Dan tahap nervous itu boleh buatkan rasa sakit dada dan simptom panic attack mula saya rasai.
Ada masanya, saya tak tahu macam mana nak bercakap dengan orang. Saya tak reti nak berkomunikasi dengan orang, tak reti nak susun kata dan percakapan pun berterabur.
Kesudahannya orang tak faham apa yang saya cakap. Malah saya sendiri rasa tidak selesa nak bergaul dengan orang sebabnya cepat rasa panik.
Dan macam mana keadaan Faizul berlarutan hingga jatuh sakit lantas dimasukkan ke hospital?
Waktu sedang depression, saya pinggirkan diri. Duduk dalam bilik saja, tak keluar ke mana-mana. Dan lama-kelamaan beri kesan pada kesihatan. Saya mula sakit apabila batuk tanpa henti dan demam yang tidak kebah selama sebulan.
Kemudian, ayah terus bawa ke hospital. Hasil pemeriksaan melalui ujian x ray, doktor kenal pasti paru-paru saya penuh dengan air. Doktor juga mengesyaki saya punya penyakit tibi.
Saya tak mahu pergi buat rawatan susulan, waktu itu saya fikir kalau diselamatkan saya fikir orang lain dapat malapetaka.
Tak tahu sama ada kesan daripada pengambilan ubat, waktu malam bila mula fikir, sampai boleh menangis seorang diri. Setiap bulan kena pergi berjumpa dengan Pakar Psikiatri dan ambil ubat.
Boleh ceritakan bagaimana doktor sahkan Faizul punya masalah depresi dan perlu rawatan susulan?
Waktu mula-mula dimasukkan ke hospital, saya berkelakuan pelik dan fikiran bagaikan tak boleh bezakan yang mana logik dan sebaliknya. Saya enggan lakukan rawatan susulan, ujian CT scan, MRI semua tak mahu buat.
Rasa takut yang amat bila lalui semua ujian itu. Saya fikir, kalau diselamatkan, orang lain yang akan terima malapetaka. Begitu sekali tahap saya berfikir. Tak pasti sama ada, adakah ia kesan daripada ubat-ubatan yang dimakan atau kerana saya terlalu banyak memikir.
Dan apabila waktu malam, dek kerana saya terlalu memikirkan banyak perkara; saya akan menangis seorang diri tanpa henti.
Sekarang, saya masih dapatkan rawatan susulan bagi masalah depresi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama doktor psikiatri. Masih lagi bergantung kepada pengambilan ubat setiap hari untuk tempoh enam bulan.
Doktor banyak bertanya sama ada saya masih diselubungi perasaan nak mati, adakah ubat yang diberi membantu untuk kurangkan berfikir dan sebagainya.
Bagaimana Faizul jalani hidup seperti hari ini, lebih tenang mungkin? Kongsikan?
Setiap hari saya makan ubat dan baru minggu lepas dos dinaikkan sebab simptom depression itu datang semula. Sekarang saya cuba bergaul dengan kawan-kawan, cuba untuk tidak duduk berseorangan dan semua proses ini memerlukan masa.
Ya, saya perlukan masa untuk membiasakan diri dengan rutin harian yang lebih positif dan sihat. Alhamdulillah, sekarang kalau nak tidur terasa lebih tenang berbanding sebelum ini.
‘Support system’ Faizul sekarang, siapa yang banyak bantu untuk pulih seperti sedia kala?
Keluarga dan rakan-rakan. Ramai yang sudi dan tawarkan diri mahu bantu. Dan saya perlu lebih bersikap terbuka, cuba perlahan-lahan kembalikan diri saya yang dahulu.
Nasihat Faizul yang punya pengalaman depresi, apa yang mahu orang sekeliling faham dan tahu mengenai penyakit ini?
Kalau sesiapa pernah ada rasa depresi yang melampau, diserang panic attack, ada masalah anxiety, carilah mereka yang berkepakaran. Pergilah jumpa doktor psikiatri misalnya.
Janganlah pergi jumpa bomoh atau orang yang tidak bertauliah. Berdasarkan pengalaman sendiri, saya percaya dan yakin bahawa masalah depresi adalah suatu penyakit yang boleh diubati.
Jangan pendam seorang diri atau cuba menahannya. Sebabnya takut suatu hari nanti, kalau sudah tak tertanggung lagi; ia akan menyusahkan diri dan orang lain.
Must-Watch Video