Highlights
Kuatkan Iman, Kurangkan Intim Pada Fasa BERTUNANG – Darah Sedang Manis, Takut Undang ‘Penyakit’.
Fasa pertunangan dibenarkan Islam untuk membolehkan seseorang itu ‘diikat’ sebelum pernikahan dilangsungkan. Ia juga tempoh untuk keluarga saling mengenali dan memberi peluang kepada bakal pengantin membuat persediaan daripada segi fizikal, mental, ilmu dan tanggungjawab.
Walau bagaimanapun, tempoh ini tidak disarankan untuk dilama-lamakan dalam tempoh yang panjang. Seeloknya, fasa pertunangan berlaku dalam waktu yang singkat saja dan eloklah majlis akad nikah disegerakan jika semua syarat sudah dipenuhi. Tempoh pertunangan yang terlalu lama dikhuatiri mengundang banyak ujian dan fitnah.
Ujian Dalam Tempoh Pertunangan
- Hasutan syaitan – sememangnya waktu inilah, bisikan dan godaan iblis itu semakin kencang. “Tak apa, engkau dah nak kahwin..” Dan lain-lain hasutan yang sengaja mahu menyesatkan anak Adam. Justeru, kuatkan iman dan kurangkan keluar berdua.
- Banyaknya fitnah – ketika ini juga fitnah bertaburan di sana-sini. Salah sikit pasti akan dibangkitkan oleh mata-mata yang memerhati sama ada yang menaruh dengki atau sengaja mahu merosakkan hubungan kalian. Kena selalu bersikap berterus-terang dan berbincang.
- Orang ke tiga – kemungkinan juga muncul orang ke tiga yang datang entah dari mana. Biasalah, apabila ada orang yang sengaja kacau daun untuk menggagalkan rancangan menuju mahligai bahagia. Justeru, kuatkan cinta kalian dengan bersikap jujur dan setia.
- Perselisihan faham dan pendapat – ketika tempoh ini pasti banyak perancangan sedang dibuat sama ada rancangan majlis kahwin atau kehidupan selepas bergelar suami isteri nanti. Daripada hal duit, kerjaya, masa dan sebagainya. Untuk kurangkan stres tersebut, cubalah bersikap ‘chill’ dan lalui setiap hari dengan tenang. Jika tidak mampu mengatur semuanya dengan sempurna, biarkan masa saja menentukan. Lalui dan lakukan seadanya.
- Emosi tidak stabil – tidak dinafikan dalam tempoh ini juga memang memenatkan kerana banyak perkara hendak diselesaikan. Pada waktu ini, emosi dan ketenteraman mula terganggu. Sebagai pasangan, kena ada tolak-ansur dan saling memahami. Jangan sesekali uji pasangan melebihi had kesabaran yang anda sendiri tahu. Banyakkan bersabar okey.
- Hati berbolak-balik – ada masanya pula hati mula diusik dan tidak keruan. Walaupun, ya itu pilihan kamu, namun ujian di sekeliling ada kala menjentik ketahanan jiwa. Jika benar ini pilihan tepat, jangan toleh ke belakang lagi. Banyakkan solat taubat, istikharah dan mohon petunjuk daripada Allah. Jika, memang sudah tiada hati, putuskan dengan cara paling baik.
- Campur tangan ahli keluarga – ketika membuat persediaan perkahwinan, ahli keluarga terutamanya ibu ayah adalah orang terpenting untuk sentiasa di’update’. Ada kala, mereka yang membuat keputusan lebih banyak daripada bakal pengantin. Kedua-dua belah pihak keluarga harus sentiasa bersangka-baik dan bertimbang-rasa, barulah hidup harmoni.
Must-Watch Video